March 2011


Ketahuilah bahawasanya saudaramu itu mempunyai bermacam-macam hak. Hak-hak saudara ini berjumlah delapan kesemuanya, iaitu:

  1. Hak di bidang harta
  2. Hak memberikan bantuan dengan jiwa dan raga.
  3. Hak memelihara lidah dan hati
  4. Hak memelihara ucapan
  5. Hak pengampunan
  6. Hak mendoakan
  7. Hak menepati janji dan ikhlas diri
  8. Hak memberi kemudahan, meninggalkan bersusah payah atau menyusahkan.

Hak-hak di atas akan diterangkan satu persatu dalam siaran seterusnya.

Advertisements

Berkata Saiyidina Ali r.a:

“Saudaramu yang sebenar ialah orang yang sentiasa berada di sampingmu.

Ia sanggup membahayakan dirinya demi kemaslahatanmu.

Orang yang setiap masa bekerja untuk keperluanmu.

Sanggup mengorbankan segala-segala untuk kepentingan dirimu.”

Abu Sulaiman ad-Darani rahimahullah berkata pula: jangan sekali-kali engkau bersabahat melainkan dengan salah seorang dari dua orang berikut:

1. Orang yang engkau merasa senang dengannya dalam menguruskan hal-ehwal keduniaanmu.

2. Orang yang engkau dapat menambah faedah dan manfaat dalam hal-ehwal keakhiratanmu.

Memasyghulkan diri dengan bersahabat selain dari dua orang yang tersebut di atas itu, akan menyebabkan kerugian dan menunjukkan kebodohan yang besar.

Adapun berkawan dengan orang yang sangat mementingkan perkara keduniaan semata-mata, adalah semacam meminum racun yang membinasakan. Kerana tabiat manusia itu sentiasa terpengaruh untuk meniru-niru dan mengikut sikap kawan. Dan memang sudah ternyata, bahawa tabiat manusia selalu meniru tabiat rakannya tanpa disedari oleh yang lain.

Jadi bercampur-gaul atau berkawan dengan orang amat mementingkan hal-hal keduniaan semata-mata, akan menarik hati kepada sifat tamak dan sayangkan dunia.

Begitu pula bercampur gaul atau berkawan dengan orang yang zahid atau orang yang mementingkan hal-hal keakhiratan, akan menarik hati kepada cintakan kezahidan.

Oleh itu dimakruhkan persahabatan dengan penagih dunia atau pencinta dunia, dan dianjurkan persahabatan dengan para ulama dan para bijaksana dan cendekiawan.

Luqman memberikan nasihat kepada puteranya katanya:

Wahai anakku! Dampinglah para ulama dan hubungkanlah kedua lututmu dengan mereka, kerana hati itu akan menjadi hidup dengan diresapi hikmat sebagaimana bumi yang mati itu akan hidup semua dengan diresapi air hujan.

Alqamah berpesan kepada puteranya katanaya:

Wahai anakku! Kiranya engkau merasakan perlu bersahabat dengan seseorang maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:

1.  Jika engkau membuat bakti kepadanya, ia akan melindungimu.

2.  Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya ia akan membalas baik persahabatanmu itu.

3.  Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya ia akan membantumu.

4.  Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya ia akan menerima dengan baik.

5.  Jika ia mendapat sesuatu kabajikan (bantuan) daripadamu, ia akan menghargai atau menyebut kebaikanmu.

6.  Jika ia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, ia akan menutupnya.

7.  Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, ia akan mengusahakannya.

8.  Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), ia akan menanyakan kesusahanmu.

9.  Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, ia akan meringankan kesusahanmu (membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu).

10. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya ia akan membenarkanmu.

11. Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya ia akan membantumu.

12. Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya ia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.

Demikian pesanan Alqamah kepada puteranya dalam menggambarkan perilaku sahabat yang sejati.

Ketahuilah, bukan semua manusia patut dijadikan sabahat. Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Seseorang itu atas agama (perjalanan) rakannya, maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapa yang harus dipilih menjadi rakan.”

Sayugialah hendaknya rakan yang dipilih itu mestilah mempunyai beberapa sifat dan kelakuan yang istimewa, yang menyebabkan anda memilihnya untuk dijadikan rakan atau sahabat.

Kesimpulannya hendaklah sabahat itu seorang yang waras fikiran, baik budi pekerti, tidak fasik, dan tidak terlampau mementingkan hal-hal keduniaan.

Adapun sifat waras pemikiran itu menjadi modal atau pokok dalam kehidupan, kerana tidak ada gunanya membuat sahabat pada orang yang ahmak (dungu) atau kurang akalnya, sebab yang demikian itu akan membawa kepada perasaan tidak tenteram dan perselisihan, sekalipun persahabatan itu berjalan begitu lama.

Ada pula yang berkata bahawasanya memutuskan persahabatan dengan orang yang ahmak itu, adalah suatu pengorbanan (mendekatkan diri) kepada Allah.

Adapun perihal budi pekerti yang luhur itu, maka setiap orang patut bersifat dengannya. Sebab tidak ada gunanya bersahabat dengan orang yang sering dikuasai oleh perasaan marah, suka dipengaruhi oleh nafsu syahwat, atau orang yang bersifat kikir dan pengecut atau orang yang selalu menurutkan segala hawa nafsunya yang buruk itu.

Adapun orang yang fasik dan tetap pula dengan kefasikannya, tidak mahu bertaubat dan tidak mengendahkan nasihat orang supaya mengubah sikapnya, maka orang ini juga tidak ada faedah untuk bersahabat dengannya. Malah melihat kelakuannya saja akan mendorong jiwa kepada perkara-perkara maksiat, serta memadamkan rasa benci kepada maksiat yang sudah dipunyai oleh hati.

Begitu pula biasanya, orang yang tidak takut kepada Allah, tidak dapat dipercayai persahabatannya dan tidak dapat ditolak kecurangannya, bahkan biasanya ia memang suka bertukar-tukar sikap dengan pertukaran keadaan dan pendirian.

Allah berfirman:

“Dan janganlah engkau menurut orang yang telah Kami lalaikan hatinya dari mengingati Kami, lalu ia mengikutkan hawa nafsunya.” (al-Kahf: 28)

Allah berfirman lagi:

Maka berpalinglah engkau dari orang yang tiada mempedulikan peringatan Kami, dan ia hanya menginginkan kehidupan dunia semata-mata” (an-Najm: 29)

Allah berfirman lagi:

“Dan ikutilah jalan orang yang suka kembali (bertaubat) kepadaKu.” (Luqman: 15)

Dalam ayat-ayat tersebut ditunjukkan larangan bersahabat dengan orang-orang yang fasik.

Ketahuilah bahawa apabila seseorang itu mencintai seorang lain kerana Allah, maka hendaklah apabila ia membencinya kerana Allah juga. Sebab punca yang menyebabkan anda mencintai seorang manusia itu, mestilah kerana ia amat taat kepada Allah, ataupun kerana ia dicintai di sisi Allah disebabkan amalan-amalannya yang baik.

Tetapi bila orang itu bermaksiat kepada Allah, maka tentulah anda akan membencinya, kerana ia menderhaka kepada Allah dan terkutuk di sisi Allah. Tegasnya barangsiapa mencintai seseorang kerana sesuatu sebab, nescaya ia akan membencinya kerana sebab yang berlawanan dengannya.

Cara menampakkan benci kepada seseorang adalah sama ada dengan membisukan lidah atau tidak ingin berbicara dengannya, atau tidak mengendahkan kehadirannya atau menjauhkan diri daripadanya atau bersikap acuh tidak acuh terhadapnya atau menganggapnya tidak penting dan tidak berguna, atau mengeraskan kata bicara kepadanya.

Segala sikap ini diperlakukan menurut tingkatan kefasikan seseorang atau kemaksiatan yang ditunjukkan oleh orang itu.

Adapun kesalahan yang telah diakui oleh pelakunya bahawa ia telah berkhilaf, lalu ia merasa dukacita atasnya dan berjanji tidak akan kembali kepadanya lagi, maka sebaik-baiknya ditutup kekhilafan itu dan dikejamkan mata daripadanya.

… bersambung dari bahagian pertama Menentukan cinta kerana Allah

Seterusnya, bukanlah dari syarat-syarat cinta kerana Allah Ta’ala itu, ia mesti tinggalkan semua nasibnya dari harta kekayaan dunia sama sekali, sebab para Nabi salawatullahi alaihim sering menyeru kita berdoa, agar Allah s.w.t. mencukupkan kedua-dua keperluan dunia dan akhirat.

Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat.” (al-Baqarah: 201)

Juga dalam doa yang ma’tsur berbunyi:

“Ya Allah! Ya Tuhanku! Sesungguhnya aku memohon daripadaMu kerahmatan yang dengannya aku boleh memperoleh pangkat kehormatanMu di dunia dan di akhirat.”

Bila kecintaan seseorang kepada Allah telah menjadi kukuh, nescaya akan muncul wataknya perasaan suka membantu dan menolong serta mengutamakan orang lain dari diri sendiri, bersedia untuk membelanjakan segala yang dimilikinya dari harta, jiwa dan nasihat yang baik.

Dalam hal ini manusia adalah berbeda menurut perbedaan darjat kecintaannya terhadap Allah azzawajalla.

Ia akan dicuba dalam kecintaannya itu dengan berbagai-bagai percubaan yang bertalian dengan kepentingan-kepentingan dirinya, sehingga ada kalanya semua kepentingan itu sudah tidak ada yang tinggal lagi, semuanya telah dibelanjakan bagi kepentingan orang yang dicintainya itu, Terkadang-kadang ditentukan sebahagian untuk diri sendiri, manakala yang lain diberikan kepada orang-orang yang dicintainya.

Tidak kurang juga, orang yang membahagikan harta kekayaannya kepada dua, satu bahagian untuk dirinya dan satu bahagian lagi untuk kekasihnya, ada yang memberikan sepertiga dari harta kekayaan, dan ada sepersepuluh dan seterusnya.

Banyak atau sedikit wang yang dibelanjakan itu bergantung pada rasa cintanya terhadap orang itu, sebab tidak dapat ditentukan darjat cinta itu, melainkan dengan kadar harta yang dibelanjakan kepada para kekasihnya.

Maka barangsiapa hatinya telah dipenuhi oleh rasa cinta kerana Allah, tidak ada benda-benda lain yang masih dicintakan lagi, selain dari cintanya kepada Allah semata-mata. Ketika itu tidak akan meninggalkan sesuatu benda pun dari harta kekayaannya, melainkan semuanya dibelanjakan kerana Allah s.w.t.

Contoh dalam misal ini, ialah Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq (Khalifah Islam pertama), beliau telah menyerahkan puterinya Aesyah (untuk dikahwinkan kepada Rasulullah s.a.w. – pent), sedangkan Aesyah itu cahaya matanya kemudian dibelanjakan semua harta bendanya kerana Allah s.w.t.

Dengan itu disimpulkan, bahawasanya sesiapa yang mencintai seorang alim atau’ abid, ataupun dia mencintai penuntut ilmu pengetahuan atau orang yang sepanjang masanya beribadat atau membuat kebaikan, maka yakinlah bahawasanya ia mencintainya itu kerana Allah dan untuk Allah dan tentulah ia akan mendapat ganjaran pahala dan kurnia dari Allah Ta’ala menurut kadar kekuatan cintanya itu.

Cinta yang hakiki yang didasarkan kerana Allah semata-mata, ialah bila anda mencintai seseorang bukan kerana peribadinya, malah kerana kelebihan-kelebihannya yang bergantung dengan keakhiratannya.

Misal cinta itu ialah: Seseorang yang mencintai gurunya sebab menerusi guru itu ia akan memperolehi ilmu pengetahuan yang akan memperbaiki amalannya. Sedang tujuan utama dari menuntut ilmu pengetahuan dan amalan yang baik itu, ialah keselamatan diri di Hari Akhirat. Inilah yang dikatakan antara contoh-contoh cinta kerana Allah semata-mata.

Misal yang lain ialah: Seorang guru mencintai muridnya, sebab kepadanya guru itu dapat menurunkan ilmu pengetahuan dan dengan sebab itu pula guru itu memperoleh pangkat seorang pendidik atau guru. Orang ini juga, dikira cintanya kerana Allah semata-mata.

Begitu pula orang yang bersedekah dengan harta bendanya kerana menuntut keredhaan Allah, atau orang yang suka mengundang tetamu di rumahnya, lalu menghidangkan berbagai-bagai makanan yang lazat, semata-mata kerana ingin mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala. Kemudian lahirlah dalam diri orang itu perasaan sayang dan kasih terhadap tukang masaknya, kerana kemahirannya untuk menyediakan makanan-makanan yang lazat; cinta ini juga dikira sebagai cinta kerana Allah.

Misal lain lagi ialah misal seorang yang suka menyampaikan sedekah kepada orang-orang yang memerlukannya, maka perilakunya itu dikira sebagai cinta kerana Allah juga. Ataupun orang yang mencintai pekerja yang membantu mencuci pakaiannya, membersihkan rumahnya, dan memasak makanannya, yang mana dengan terlepasnya ia dari tugas-tugas ini, senanglah ia dapat menuntut ilmu atau membuat pekerjaan yang lain, sedang tujuan utama dari mempekerjakan orang itu semata-mata kerana melapangkan diri untuk memperbanyakkan ibadat, maka ia juga terkira pencinta kerana Allah.

Begitu juga ia mencintai seorang kerana orang itu mencukupkan keperluannya dari wang dan pakaian, makanan dan rumah dan lain-lain keperluan yang mesti untuk kehidupan di dunia, sedang maksud orang yang menderma itu ialah supaya ia dapat melapangkan diri untuk menuntut ilmu pengetahuan yang berguna, sambil melakukan amalan-amalan yang mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala maka cintanya itu dikira kerana Allah Ta’ala jua.

Segolongan para Salaf Saleh yang terdahulu, sering segala keperluannya ditanggung oleh hartawan-hartawan yang murah hati. Jadi dalam hal ini, kedua-dua pihak tergolong pencinta-pencinta yang mencari keredhaan Allah Ta’ala.

Juga, jika seseorang itu menikahi seorang wanita yang salehah untuk melindungi dari godaan syaitan, serta memelihara agamanya, atau untuk menginginkan seorang anak yang saleh dari pernikahan itu, ataupun dia mencintai isterinya kerana menerusinya ia dapat sampai kepada tujuan-tujuan yang suci, seperti misal-misal yang disebutkan di atas tadi, maka ia adalah seorang pencinta kerana Allah Ta’ala.

Demikian pula, jika seseorang itu dalam hatinya tersemat cinta kerana Allah dan dunia, seperti seorang yang mencintai guru yang mendidiknya, lalu ia pun mencukupkan segala keperluan guru itu di dunia dengan wang dan sebagainya, maka ia dikira orang yang mencintai kerana Allah.

… bersambung di Bahagian 2.

Next Page »