Tiada harus seseorang itu mementingkan persoalan-persoalan kewara’an, melainkan dengan bimbingan seorang alim yang teliti. Sebab kiranya ia melampaui batas yang ditentukan, lalu membuat sesuka hati tanpa berpandukan kepada arahan-arahan yang tertentu, nescaya akan timbul perkara-perkara yang membinasakan lebih banyak daripada perkara-perkara yang membaikkan.

Orang-orang yang berlebihan-lebihan dalam kewara’an dikhuatirkan akan termasuk ke dalam golongan mereka yang disifatkan oleh Allah Ta’ala dalam firmanNya:

“Mereka itulah orang-orang yang sesat perjalanannya dalam kehidupan dunia, sedang mereka menyangka bahawasanya mereka melakukan sesuatu perkara yang baik.” (al-Kahf: 104)

Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Keutamaan orang alim ke atas orang ‘abid (banyak ibadatnya) seperti keutamaanku ke atas orang yang paling rendah dari para sahabatku.”

Advertisements