Dimulakan perbicaraan dari Kitab Adab Pergaulan, Persaudaraan Dan Persahabatan ini dengan Keutamaan pergaulan dan persaudaraan.

Ketahuilah, bahawasanya pergaulan baik itu adalah buah daripada kemurniaan budi pekerti, manakala perpecahan pula merupakan buah daripada kejelekan budi pekerti.

Maka kebaikan dan kemurniaan budi pekerti itu menelurkan sikap saling cinta mencintai, bersatu-padu antara satu dengan yang lain dan berhaluan satu, manakala kejelekan budi pekerti membuahkan sikap saling benci-membenci, dengki antara satu dengan yang lain dan bermusuh-musuhan.

Mengenai kebaikan budi pekerti ini, sudah tidak sepi lagi keutamaannya dalam agama, sebab dengan sifat inilah Allah s.w.t. telah memuji NabiNya alaihis-salam dalam firmanNya:

“Dan sesungguhnya engkau memiliki budi perkerti yang luhur.” (al-Qalam: 4)

Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Kebanyakan sebab yang memasukkan manusia ke dalam syurga ialah taqwa kepada Allah dan kebaikan budi pekerti.”

Sabdanya lagi:

“Aku telah diutus untuk menyempurnakan kebaikan-kebaikan budi pekerti.”

Dengan itu sudah jelaslah, bahawa buahnya budi pekerti yang baik menimbulkan rasa perpaduan dan menghalang rasa kesepian jiwa.

Advertisements