Ketahuilah bahawa apabila seseorang itu mencintai seorang lain kerana Allah, maka hendaklah apabila ia membencinya kerana Allah juga. Sebab punca yang menyebabkan anda mencintai seorang manusia itu, mestilah kerana ia amat taat kepada Allah, ataupun kerana ia dicintai di sisi Allah disebabkan amalan-amalannya yang baik.

Tetapi bila orang itu bermaksiat kepada Allah, maka tentulah anda akan membencinya, kerana ia menderhaka kepada Allah dan terkutuk di sisi Allah. Tegasnya barangsiapa mencintai seseorang kerana sesuatu sebab, nescaya ia akan membencinya kerana sebab yang berlawanan dengannya.

Cara menampakkan benci kepada seseorang adalah sama ada dengan membisukan lidah atau tidak ingin berbicara dengannya, atau tidak mengendahkan kehadirannya atau menjauhkan diri daripadanya atau bersikap acuh tidak acuh terhadapnya atau menganggapnya tidak penting dan tidak berguna, atau mengeraskan kata bicara kepadanya.

Segala sikap ini diperlakukan menurut tingkatan kefasikan seseorang atau kemaksiatan yang ditunjukkan oleh orang itu.

Adapun kesalahan yang telah diakui oleh pelakunya bahawa ia telah berkhilaf, lalu ia merasa dukacita atasnya dan berjanji tidak akan kembali kepadanya lagi, maka sebaik-baiknya ditutup kekhilafan itu dan dikejamkan mata daripadanya.

Advertisements