Diriwayatkan dalam sebuah Hadis berbunyi:

“Perumpamaan kedua saudara itu adalah seperti kedua tangan; yang satu membersihkan yang lainnya.”

Amat tepat sekali, perumpamaan itu, kerana memanglah tugas kedua tangan itu saling bantu-membantu antara satu sama lain atas maksud yang satu.

Demikian pulalah hendaknya keadaan kedua saudara itu, tiada akan sempurna persaudaraannya, melainkan bila kedua-duanya bersatu dalam satu tujuan, seolah-olah bila dipandang keduanya seperti orang yang satu.

Kesatuan tujuan keduanya mestilah dalam keadaan senang dan susah, dan saling tolong-menolong dalam masa akan datang dan sekarang, dengan menjauhkan segala kepentingan diri atau melebihkan satu atas yang lain.

Adapun perihal bantu-membantu dalam soal kewangan terhadap saudara ada tiga peringkat:

Pertama: Tingkat yang paling rendah sekali ialah dengan mengganggap sebagai seorang khadam kepadamu. Iaitu yang utamanya ialah anda penuhkan semua keperluan anda dari harta kekayaan anda. Kemudian sekiranya ada lebih lagi, sedangkan saudaramu memerlukan pula kepada pertolongan, maka barulah anda berikan pertolongan kepadanya.

Tetapi jangan pula anda menunggu sampai ia meminta dulu baru diberikan, tetapi hendaklah anda menawarkan terlebih dulu. Jika anda berdiam diri sehingga ia terpaksa meminta, maka sikap itu adalah suatu kecuaian dalam soal persaudaraan.

Kedua: Tingkat kedua ialah dengan menganggap saudaramu seperti dirimu sendiri. Anda redha berkongsi dengannya dalam harta kekayaan dan segala milik anda, sehingga anda sanggup membahagi dua harta benda dan kekayaan anda bersamanya.

Ketiga: Tingkat yang paling tinggi sekali, iaitu dengan mendahulukan hajat dan keperluannya atas hajat dan keperluan anda sendiri. Sifat seumpama ini hanya ada pada orang-orang dalam tingkatan para siddiqin, dan ia merupakan tingkatan para pencinta.

Dan puncak dari segala tingkatan-tingkatan ini, ialah melebihkan hak orang lain atas hak peribadi sendiri, maka sayugialah anda perhatikan semua tingkatan-tingkatan ini pada diri anda. Kiranya tidak ada satu pun dari ketiga-tiga tingkatan ini pada diri anda, maka ketahuilah, bahawasanya ikatan persaudaraan itu masih belum terikat lagi dalam batin anda.

Adapun pergaulan yang berlaku sehari-hari dengan saudara mara itu, tiada lain melainkan semacam pergaulan yang rasmi saja, tidak ada kesan apa pun yang tertinggal di dalam akal atau agama.

Berkata Maimum bin Mahran: Barangsiapa yang suka berkawan, tetapi tidak suka melebihkan kawan atas diri sendiri, maka lebih baik ia berkawan dengan ahli kubur.

Setengah ahli agama masih belum dapat menerima darjat pertama dari tingkatan-tingkatan yang tiga tadi sebagai sifat yang diredhai oleh mereka.

Diriwayatkan bahawa Utbah al-Ghulam rahimahullah mengunjungi rumah seorang kawan yang telah diakuinya sebagai saudara, lalu berkata: Aku perlukan dari hartamu sekadar 4,000 dirham. Jawab rakannya: Ambillah 2,000 saja! Utbah enggan menerimanya malah ia mencela orang itu, katanya: Sungguh tidak aku sangka bahawa anda telah memilih dunia dari Allah Ta’ala. Tidakkah anda merasa malu mendakwakan persaudaraan kerana Allah, kemudian anda berkata semacam ini?

Adapun tingkatan yang paling tinggi sekali dari tingkatan persaudaraan itu, maka Allah telah menjelaskan sifatnya sepertimana yang ditunjukkan kepada kaum Mu’minin yang berikut dalam firmanNya:

“Dan urusan mereka dipermusyawaratkannya antara sesama mereka, dan mereka sentiasa membelanjakan apa-apa yang Kami memberikan rezeki kepada mereka.” (asy-Syura: 38)

Yakni, kaum Mu’minin itu menjadi syarikat atau kongsi dalam harta benda sesama sendiri, tidak ada bedanya harta seorang dengan yang lainnya. Bahkan ada di antara mereka itu yang enggan mengaku kawan kepada orang yang berkata: Ini sandalku, yakni ia telah mementingkan dirinya sendiri bila mengatakan sandal itu miliknya.

Ada di antara mereka itu yang terus memerdekakan hamba sahayanya disebabkan kedatangan seorang teman atau saudara ke rumahnya, lalu mengambil dari hartanya sekadar keperluan saudara itu sedangkan ia tidak ada di rumah. Perbuatan memerdekakan hamba sahaya itu kerana terlalu gembira dengan perilaku kawannya tersebut.

Berkata Zainul Abidin Ali Ibnul-Hussain r.a kepada orang ramai: Pernahkah seseorang di antara kamu memasukkan tangannya ke dalam saku atau kocek kawannya seraya mengambil apa yang diperlukan olehnya tanpa izin? Mereka berkata: Tidak pernah! Maka beliau berkata lagi: Kalau begitu kamu sekalian belum boleh dikatakan sahabat.

Ibnul Umar r.a pula berkata: Seorang sahabat Rasulullah s.a.w. telah menerima hadiah kepala kambing dari sahabatnya, tetapi dia telah menolaknya dengan alasan ada sahabat yang lain yang lebih berhajat daripadanya, maka kepala kambing itu pun dibawalah kepada sahabat yang dikatakan lebih berhajat itu, tetapi sahabat itu juga telah menolaknya, dengan alasan bahawa di sana ada orang lain yang lebih berhajat daripadanya. Seterusnya kepala kambing itu pun bertukar tangan dari seorang kepada yang lain, sehingga berkeliling ke tangan tujuh orang dan akhirnya sampai semula ke tangan orang yang pertama itu sekali lagi.

Berkata Abu Sulaiman ad-Darani: Andaikata seluruh isi dunia ini kepunyaan saya, lalu saya letakkannya ke dalam mulut salah seorang dari sahabat-sahabatku, maka saya masih merasakan terlalu sedikit; iaitu disebabkan membelanjakan sesuatu ke atas sahabat itu lebih utama daripada bersedekah terhadap kaum fakir miskin.

Berkata Ali r.a.: Dengan hanya dua puluh dirham yang dapat aku berikan kepada saudaraku kerana Allah adalah lebih kucintai daripada dapat bersedekah dengan seratus dirham ke atas orang-orang miskin.

Termasuk kesucian diri dalam persaudaraan ialah bersenang lenang di rumah sahabat, sebagaimana ianya menjadi amalan sebahagian terbesar dari para Salaf Saleh. Allah telah berfirman:

“Ataupun di rumah yang kamu miliki kunci-kuncinya atau di tempat kawanmu.” (an-Nur: 61)

Maksud dari ayat di atas ialah sekiranya ada seorang sahabat yang menyerahkan kunci rumahnya kepada sahabat yang lain, serta mengizinkan sahabat itu untuk bertindak sesuka hati di dalam rumahnya itu. Jadi pada mulanya sahabat itu memelihara diri supaya tiada memakan sesuatu dalam rumah itu menurut hukum taqwa, sehingga Allah turunkan ayat yang tersebut di atas, yang mengizinkan untuk bersenang lenang dalam mengecap makan-minum kawan-kawan dan rakan-rakan di rumah masing-masing.

Advertisements