Di dalam soal menunaikan hajat seseorang sahabat dan mengusahakan semua keperluannya serta mengutamakan hajat-hajat kawan atas diri sendiri itu ada pula tingkatan-tingkatannya. Tingkatan yang paling rendah sekali ialah memenuhi hajat dan keperluan kawan, bila ia memintanya, sedangkan kawan yang diminta bantuan itu berkuasa untuk membantunya pula.

Bila diberikan bantuan, hendaklah dengan wajah yang manis dan rasa senang, serta melahirkan tanda kegembiraan, kerana kawan itu sanggup menerima kurniaannya.

Setengah orang berkata: Apabila anda memohon pertolongan dari saudaramu pada sesuatu keperluan, sedangkan ia tiada memenuhi permohonan anda itu, maka hendaklah anda ingatkannya kali kedua, kerana mungkin sekali ia telah terlupa. Tetapi sesudah itu jika ia masih tidak mengendahkan anda lagi, maka hendaklah anda membaca: Allahu Akbar kepadanya (seolah-olah anda berdiri sedang sembahyang jenazah — pent), kemudian bacakan ayat al-Quran ini:

“Dan orang-orang yang mati itu, akan dibangkitkan oleh Allah.” (al-An’am: 36)

Di antara para salaf, ada yang mengambil berat terus mengenai hal-ehwal keluarga dan anak-anak sahabatnya, selepas wafatnya sahabat itu sepanjang masa 40 tahun. Ia mencukupkan semua keperluan mereka, dan sentiasa menziarahi mereka serta memberikan berbagai-bagai bantuan moral material setiap kali mereka memerlukannya.

Pendekkata, keluarga itu tidak akan merasa kurang apa-apa, kecuali batang-tubuh ayah mereka yang telah meninggal dunia saja, malah mereka mendapati rakan-rakan ayah mereka dalam mengambil berat tentang hal-ehwal mereka itu, melebihi tanggungjawab ayah sendiri sewaktu hayatnya.

Antara tugas-tugas yang dijalankan oleh para salaf itu, ialah sering mengunjungi rumah-rumah para sahabat mereka, serta membawa segala keperluan ahli rumah itu, padahal sahabatnya dan seisi ahli rumah itu, tiada mengetahui siapakah yang memberikan bantuan itu. Dengan cara beginilah mereka binakan perasaan kasih sayang dan simpati dalam persaudaraan mereka itu. Sebab persaudaraan yang tidak menelurkan apa-apa perasaan kasih sayang dan simpati antara sahabat yang lain itu tidak ada gunanya sama sekali.

Berkata Maimun bin Mahran: Orang yang tidak ada faedah persahabatannya, tentu tidak akan mudharat permusuhannya.

Kesimpulannya: Hendaklah dijadikan hajat dan keperluan saudaramu itu persis seperti hajat dan keperluan diri sendiri, malah kalau boleh lebih dipentingkan hajat dan keperluan mereka dari diri sendiri. Bahkan hendaklah anda sentiasa menyelidiki masa-masa timbulnya keperluan saudaramu itu, jangan sampau terlalai dengan hal ehwalnya sebagaimana anda tidak melalaikan tentang hal ehwal diri sendiri. Dan hendaklah anda tidak membiarkan saudaramu memulakan permintaan bantuan atau pertolongan, baru diberikan. Kemudian bila sudah dibantu, janganlah merasakan diri anda itu mempunyai hak atau budi ke atasnya, tetapi hendaklah dianggapnya sebagai anda terhutang budi kepadanya, kerana ia suka menerima jasa baikmu dan pertolonganmu untuk menghuraikan keperluannya.

Berkata Atha’: Perhatikanlah sahabat-sahabatmu itu di dalam tiga persoalannya, iaitu:

  1. Jika mereka sakit, hendaklah segera menziari mereka.
  2. Jika mereka terlalu sibuk dengan urusan-urusan, maka berikanlah bantuan.
  3. Jika mereka terlupa, maka hendaklah mengingatkan mereka.

Said Ibnul-Ash berkata pula: Sahabatku yang rapat kepadaku mempunyai tiga macam hak atasku, iaitu:

  1. Jika ia datang kepadaku, nescaya aku mengalu-alukan kedatangannya.
  2. Jika ia berbicara, nescaya aku berikan perhatian kepada perbicaraanya.
  3. Jika ia duduk disebelahku, nescaya aku luaskan tempat untuknya.

Allah telah berfirman:

“Mereka itu mempunyai perasaan kasih sayang antara sesama mereka” (al-Fath: 29)

Ayat ini menunjukkan perasaan simpati dan perasaan hormat menghormati dan kasih-mengasihi antara sesama sahabat.

Seterusnya untuk menyempurnakan perasaan simpati dan kasih sayang antara para sahabat, hendaklah jangan mengadakan jamuan makanan yang lazat atau mengadakan keramaian tanpa mengundangnya turut bersama mengecap makanan-makanan yang lazat itu, malah hendaklah merasa tidak senang bila ia tiada bersama-sama ataupun merasa kurang meriah bila ia terpisah dari sahabat-sahabatnya dalam keadaan-keadaan yang demikian.

Advertisements