Bersambung dari pembicaraan berhubung hal memelihara lidah dalam hak persaudaraan sebelum ini dengan perihal memelihara hati.

Sebagaimana kita wajib memelihara lidah dari menyebut-nyebut segala keburukan kawan, begitu juga kita wajib memelihara hati dari segala sangkaan buruk terhadapnya. Sebab sangkaan buruk di dalam hati itu dikira ghibah juga. Dan ghibah atau mencaci di dalam hati adalah dilarang keras oleh agama. Dan batasannya supaya kita tidak mengira semua amalan kawan itu buruk, tetapi sekadar yang boleh kita kira semuanya bertujuan baik.

Tetapi jika sudah terang, bahawa amalan itu sememangnya buruk dengan penuh keyakinan dan penyaksian mata, sebaik-baiknya dikira saja bahawa perkara itu berlaku daripadanya kerana terlalai atau terlupa, supaya kita terjauh dari buruk sangka. Sebab yang demikian itu akan menarik kita untuk mengintip rahsia orang dan mencari-mencari kesalahan orang lain.

Nabi s.a.w. telah bersabda:

Janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, jangan mengintip-intip rahsia mereka, janganlah memutuskan perhubungan, jangan bermusuh-musuhan dan jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara.”

Jadi menutup keburukan-keburukan orang lain dan pura-pura tidak nampak atau tidak tahu mengenai keburukannya itu, adalah sikap yang patut dilengkapi oleh ahli agama. Dan ketahuilah, bahawasanya tidak akan sempurna iman seseorang Muslim itu, selagi ia tidak mencintai diri saudaranya sepertimana ia mencintai dirinya sendiri. Dan sekurang-kurangnya, hendaklah ia memperlakukan terhadap saudaranya, sebagaimana ia berharap orang lain memperlakukan terhadap dirinya sendiri.

Adapun punca segala kecuaian dalam soal menutup keaiban orang lain, atau suka membocorkan rahsia kawan, ialah bersumber dari penyakit yang terpendam di dalam hati; iaitu kedengkian (hasad). Barangsiapa yang menyimpan perasaan dendam di dalam hatinya terhadap seseorang Muslim, maka imannya masih lemah dan tumpul, dan perkara ini amat membahayakan diri manakala hatinya dikira busuk, tiada sesuai untuk bertemu dengan Allah s.w.t.

Di antara hak-hak kawan yang lain yang harus dipelihara ialah: Tidak membocorkan rahsia yang dipercayakannya kepada kita. Kita boleh mengingkarinya, jika perkara yang dilakukannya itu tidak baik meskipun dengan berbohong, kerana bercakap benar itu bukanlah wajib pada semua keadaan.

Sayugialah, sebagaimana seseorang itu harus menutup keaiban dirinya dan rahsia-rahsianya yang buruk, sekalipun ia terpaksa berbohong kerananya, maka terhadap keaiban dan rahsia saudaranya, itu dikira satu kedudukan dengannya; kedua-duanya laksana orang yang satu, tiada beda antara keduanya melainkan dalam tubuh badan saja. Inilah yang dikatakan persaudaraan atau persahabatan yang hakiki dan tulen.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Barangsiapa menutup rahsia saudaranya, nescaya Allah akan menutup rahsianya di dunia dan di akhirat.”

Sabdanya lagi:

“Apabila seseorang itu menyampaikan sesuatu berita, kemudian ia berpaling (pergi dari situ), maka ketahuilah bahawa berita itu adalah amanat.”

Lagi sabda baginda:

“Majlis-majlis (perbicaraan dalam perkumpulan) adalah amanat.”

“Hanyasanya dua orang yang berbicara dalam suatu majlis itu adalah amanat, dan tiadalah boleh bagi seseorang dari keduanya membocorkannya apa-apa rahsia yang tiada disenananginya.”

Pernah ditanyakan kepada seseorang: Bagaimana anda memelihara rahsia? Jawabnya: Aku menjadi kuburnya. Sesungguhnya dada orang yang merdeka itu merupakan kuburnya segala rahsia.

Pernah diceritakan, ada seseorang menyatakan rahsia hatinya pada seorang kawan, kemudian ia bertanya kepada kawan itu: Ingatkah anda apa yang aku bicarakan tadi? Jawabnya: Entahlah, aku sudah lupa.

Advertisements