Di antara hak kawan lagi ialah: Meninggalkan perbantahan atau pertengkaran terhadap segala yang diucapkan oleh saudaramu.

Berkata Ibnu Abbas: Jangan ajak bertengkar pada orang yang kurang akal, nanti ia akan membahayakan kamu. Jangan ajak bertengkar pada orang yang bersabar, nanti kamu dibencinya pula.

Rasullullah s.a.w telah bersabda:

“Barangsiapa meninggalkan pertengkaran sedang ia bersalah, akan dibina baginya sebuah rumah di dalam halaman syurga. Dan barangsiapa meninggalkan pertengkaran sedang ia benar (tidak salah), akan dibina baginya sebuah rumah di tempat tertinggi dalam syurga.”

Hadis tersebut menunjukkan betapa toleransi Agama Islam, padahal meninggalkan yang salah itu adalah wajib hukumnya. Tetapi Hadis itu telah menjadikan pahala melakukan sunnat di sini lebih besar. Sebab berdiam diri ketika dalam kebenaran itu lebih berat tekanannya atas diri daripada berdiam diri ketika dalam kesalahan atau kebatilan, dan sebenarnya pahala itu dikira atas kadar tanggungan.

Ingatlah, bahawa sebab yang paling berat sekali untuk menyalakan api kedengkian dalam hati sesama saudara, ialah dengan menimbulkan pertengkaran dan perbantahan. Kedua-dua sifat ini merupakan punca utama kepada permusuhan dan putus perhubungan. Bukanlah berputus hubungan itu mula-mulanya berlaku dengan timbulnya pendapat-pendapat yang berbeda-beda, kemudian dengan kata-kata yang tidak senang didengar oleh telinga, kemudian dengan beradu kekuatan atau berpukul-pukulan.

Nabi s.a.w. telah bersabda:

“Janganlah kamu bermusuh-musuhan, jangan benci-membenci, jangan dengki-mendengki, jangan berputus hubungan antara satu dengan yang lain dan jadilah kamu sekalian sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara-mara.”

Baginda bersabda lagi:

“Seseorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain, tiada boleh menganiyainya, atau menghalangi keperluannya, atau menghinanya. Memadailah seseorang itu dikira jahat, apabila ia menghina saudaranya Muslim yang lain.”

Ketahuilah, bahawa seberat-berat penghinaan terhadap kawan ialah melakukan perbantahan terhadapnya, sebab orang yang membantah kata-kata kawannya itu mungkin menganggap kawan itu bodoh, atau lalai, atau cuai dari memahami sesuatu perkara menurut semestinya. Itulah yang dikatakan penghinaan yang menyempitkan dada dan mengacau jiwa.

Abu Umamah meriwayatkan sebuah Hadis katanya: Pada suatu ketika Rasulullah s.a.w datang ke tempat kami, sedang kami lagi berbantah-bantahan, maka baginda pun murka lalu bersabda:

“Tinggalkanlah pertengkaran dan berbantah-bantahan, sebab amat sedikit sekali kebaikannya. Hindarkanlah pertengkaran dan berbantah-bantahan sebab tidak seberapa manfaatnya, malah ia akan menarik kepada permusuhan dan perselisihan antara sesama saudara.”

Setengah para salaf berkata: Orang yang mengata-nista saudaranya atau membantah-bantahnya, adalah orang yang rendah pekertinya dan yang telah lenyap penghormatanya dirinya.

Yang lain pula berkata: Awas! Jangan sekali-kali berbantah-bantahan dengan orang ramai. Sebab anda takkan berdaya menolak tipu daya seorang penyabar, atau menahan bencana seorang jahat.

Al-Hasan berkata pula: Tiada akan terbeli permusuhan seorang dengan kasih-sayang seribu orang.

Pendek kata tidak ada gunanya berbantah-bantahan, selain dari ingin menampakkan diri sebagai orang yang banyak akal dan lebih utama, serta menampakkan diri kawannya sebagai orang yang rendah dan masih bodoh.

Bukannkah itu menandakan takabbur dalam diri, menyimpan perasaan sombong, suka menghina dan mencaci orang lain sebagai kurang akal, bodoh dan jahil. Tidak ada pengertian lain yang lebih tepat dari yang tersebut itu, maka bagaimana dapat dibentuk persaudaraan yang sejati dan persefahaman.

Ibnu abbas pernah meriwayatkan dari Rasulullah s.a.w katanya, sabda baginda:

“Janganlah anda membantah saudaramu, dan janganlah pula bersenda gurau dengannya (yakni yang berlebih-lebihan), dan bila berjanji suatu perjanjian, maka janganlah anda memungkirinya.”

Sabda baginda lagi:

“Kamu tidak mungkin akan menguasai orang ramai dengan harta kekayaan kamu, tetapi kuasailah mereka dengan wajah yang berseri-seri dan budi pekerti yang luhur.”

Adapun sifat berbantah-bantahan itu adalah berlawanan dengan sifat budi pekerti yang luhur. Dan ketahuilah, bahawasanya asasnya persaudaraan itu ialah permuafakatan dalam perbicaraan, perlakuan dan sayang-menyayangi antara sesama saudara.

Advertisements