Rasulullah s.a.w telah menunjukkan kepada kita jalan ini, dengan sabdanya:

“Beri memberilah antara kamu, nescaya kamu akan cinta-mencintai antara sesama kamu”

Di antaranya hendaklah anda memanggilnya dengan nama-nama yang amat disukai olehnya sama ada pada masa ia berada di hadapan anda ataupun tidak.

Berkata Umar Ibnul-Khattab r.a.:

Tiga perkara akan menimbulkan kasih sayang saudaramu kepadamu:

(1) Hendaklah anda memberi salam kepadanya bila bertemu

(2) Hendaklah meluaskan tempat duduk baginya dalam majlis.

(3) Hendaklah memanggilnya dengan sebaik nama yang disukainya.

Juga seharusnyalah anda memuji perilakunya yang baik kepada orang-orang yang memang dia senang kalau diceritakan tentang perilakunya. Itu juga akan membawa sebab rasa gembiranya kepada anda.

Ataupun anda memuji anak-anaknya, isterinya, usahanya dan perbuatannya yang baik, malah patut juga anda memuji akal pemikirannya, budi pekertinya, bentuk dan rupanya, tulisannya, syair-syairnya, karya-karyanya dan segala apa saja yang boleh menimbulkan kegembiraan pada diri kawan itu.

Tetapi itu semua tidak boleh dilakukan secara berpura-pura, atau dengan bohong, atau secara berlebihan-lebihan, hanya yang dibolehkan ialah mengindahkan mana-mana berita yang patut diindahkan saja.

Lebih digalakkan lagi, ialah supaya anda menyampaikan pujian orang jika memang ada yang memujinya, kemudian anda tunjukkan rasa gembira atas pujian itu, kerana menyembunyikan berita itu boleh dikira semacam dengki dan iri hati.

Selain itu, hendaklah anda berterima kasih kepada kawan anda, bila dia membuat sesuatu perkara baik terhadap anda. Bahkan wajar sekali anda berterima kasih atas cita-citanya yang baik, meskipun dia belum sempat menyempurnakan cita-cita itu.

Advertisements