April 2011


Bersambung dari pembicaraan berhubung hal memelihara lidah dalam hak persaudaraan sebelum ini dengan pesanan bapa saudara Baginda s.a.w.

Al-Abbas, bapa saudara Nabi s.a.w. pernah memesan kepada puteranya Abdullah, katanya: Aku lihat orang ini (maksudnya saiyidina Umar Ibnul-Khattab r.a.) sering mengkedepankan engkau dari banyak orang-orang yang tua, maka peliharalah nasihatku yang lima ini:

(1) Janganlah engkau bocorkan rahsianya sama sekali

(2) Janganlah engkau mencaci orang lain dihadapannya

(3) Janganlah engkau membiasakan bohong kepadanya

(4) Janganlah engkau melanggar perintahnya

(5) Janganlah sampai ia melihat sesuatu pengkhianatan berlaku daripadamu.

Asy-Sya’bi memberi komennya terhadap ucapan di atas, katanya: Setiap satu dari mutiara kata lima ini, lebih berharga daripada seribu kata.

Bersambung dari pembicaraan berhubung hal memelihara lidah dalam hak persaudaraan sebelum ini dengan perihal memelihara hati.

Sebagaimana kita wajib memelihara lidah dari menyebut-nyebut segala keburukan kawan, begitu juga kita wajib memelihara hati dari segala sangkaan buruk terhadapnya. Sebab sangkaan buruk di dalam hati itu dikira ghibah juga. Dan ghibah atau mencaci di dalam hati adalah dilarang keras oleh agama. Dan batasannya supaya kita tidak mengira semua amalan kawan itu buruk, tetapi sekadar yang boleh kita kira semuanya bertujuan baik.

Tetapi jika sudah terang, bahawa amalan itu sememangnya buruk dengan penuh keyakinan dan penyaksian mata, sebaik-baiknya dikira saja bahawa perkara itu berlaku daripadanya kerana terlalai atau terlupa, supaya kita terjauh dari buruk sangka. Sebab yang demikian itu akan menarik kita untuk mengintip rahsia orang dan mencari-mencari kesalahan orang lain.

Nabi s.a.w. telah bersabda:

Janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, jangan mengintip-intip rahsia mereka, janganlah memutuskan perhubungan, jangan bermusuh-musuhan dan jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara.”

Jadi menutup keburukan-keburukan orang lain dan pura-pura tidak nampak atau tidak tahu mengenai keburukannya itu, adalah sikap yang patut dilengkapi oleh ahli agama. Dan ketahuilah, bahawasanya tidak akan sempurna iman seseorang Muslim itu, selagi ia tidak mencintai diri saudaranya sepertimana ia mencintai dirinya sendiri. Dan sekurang-kurangnya, hendaklah ia memperlakukan terhadap saudaranya, sebagaimana ia berharap orang lain memperlakukan terhadap dirinya sendiri.

Adapun punca segala kecuaian dalam soal menutup keaiban orang lain, atau suka membocorkan rahsia kawan, ialah bersumber dari penyakit yang terpendam di dalam hati; iaitu kedengkian (hasad). Barangsiapa yang menyimpan perasaan dendam di dalam hatinya terhadap seseorang Muslim, maka imannya masih lemah dan tumpul, dan perkara ini amat membahayakan diri manakala hatinya dikira busuk, tiada sesuai untuk bertemu dengan Allah s.w.t.

Di antara hak-hak kawan yang lain yang harus dipelihara ialah: Tidak membocorkan rahsia yang dipercayakannya kepada kita. Kita boleh mengingkarinya, jika perkara yang dilakukannya itu tidak baik meskipun dengan berbohong, kerana bercakap benar itu bukanlah wajib pada semua keadaan.

Sayugialah, sebagaimana seseorang itu harus menutup keaiban dirinya dan rahsia-rahsianya yang buruk, sekalipun ia terpaksa berbohong kerananya, maka terhadap keaiban dan rahsia saudaranya, itu dikira satu kedudukan dengannya; kedua-duanya laksana orang yang satu, tiada beda antara keduanya melainkan dalam tubuh badan saja. Inilah yang dikatakan persaudaraan atau persahabatan yang hakiki dan tulen.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Barangsiapa menutup rahsia saudaranya, nescaya Allah akan menutup rahsianya di dunia dan di akhirat.”

Sabdanya lagi:

“Apabila seseorang itu menyampaikan sesuatu berita, kemudian ia berpaling (pergi dari situ), maka ketahuilah bahawa berita itu adalah amanat.”

Lagi sabda baginda:

“Majlis-majlis (perbicaraan dalam perkumpulan) adalah amanat.”

“Hanyasanya dua orang yang berbicara dalam suatu majlis itu adalah amanat, dan tiadalah boleh bagi seseorang dari keduanya membocorkannya apa-apa rahsia yang tiada disenananginya.”

Pernah ditanyakan kepada seseorang: Bagaimana anda memelihara rahsia? Jawabnya: Aku menjadi kuburnya. Sesungguhnya dada orang yang merdeka itu merupakan kuburnya segala rahsia.

Pernah diceritakan, ada seseorang menyatakan rahsia hatinya pada seorang kawan, kemudian ia bertanya kepada kawan itu: Ingatkah anda apa yang aku bicarakan tadi? Jawabnya: Entahlah, aku sudah lupa.

Dimulakan pembicaraan berhubung hak persaudaraan ini dengan perihal memelihara lidah.

Dalam menunaikan hak sahabat dalam memelihara lidah ialah dengan berdiam diri suatu kala dan berbicara di kala yang lain.

Cara berdiam diri itu ialah tiada menyebut-nyebut keburukan-keburukan kawan di masa dia hadir di hadapan kita ataupun dia tiada.

Malah jika kita tahu ada keburukannya, kita buat-buat tidak tahu saja, dan kalau ada orang yang menyebutnya, kita harus pura-pura tidak tahu, dan jangan sampai kita menambah-nambah pula atau membuka pintu perdebatan mengenai keburukan kawan itu. Dan jangan pula kita merisik-risik tentang kekurangannya atau mengungkit-ungkit perihalnya.

Andaikata kita lihat ia sedang menuju ke suatu usaha, atau sedang menunaikan sesuatu keperluan, maka janganlah kita bertanyakan tentang maksud dari usahanya itu, dari mana puncanya dan datangnya. Mungkin sekali dia tidak ingin memberitahu kita tentang rahsia perusahaannya itu, sehingga ia terpaksa berbohong kerananya.

Apabila diberitahukan kepada kita sesuatu rahsia, maka hendaklah kita menyimpannya baik-baik, jangan sampai kita bocorkan rahsia itu kepada sesiapa pun, meskipun kepada salah seorang sahabat yang paling rapat dengannya.

Rahsia itu mestilah disimpan baik-baik, walaupun sesudah itu berlaku pergisiran atau perselisihan-faham antaranya dengan kita, namun rahsia mestilah dijaga. Jika kita bocorkan juga, maka itu adalah sikap orang yang tercela tabiatnya dan kotor batinnya.

Seterusnya, hendaklah kita tidak mencela rakan-rakan yang disayanginya, begitu pula dengan isteri dan anak-anaknya. Andaikata kita mengetahui ada orang lain yang mencacinya, maka janganlah pula kita menyampaikan caci-cela itu kepadanya. Kerana ada kata pepatah: Orang mencacimu itu ialah orang yang menyampaikan cacian orang lain.

Sebaik-baiknya, bila mendengar ada orang yang memuji sahabat kita, kita sampaikan kepadanya, kerana yang demikian itu akan menimbulkan rasa gembira dalam hatinya, dan dia pula akan berterima kasih kepada kita kerana kita sampaikan berita itu, kemudian dia akan merasa senang dengan orang yang memujinya itu. Menyimpan berita itu, samalah seperti orang yang busuk hati dan hasad.

Pendek kata, hendaklah kita tiada menyebut-nyebut kata-kata yang boleh menimbulkan kemaraham atau perasaan benci dalam hatinya, melainkan bila wajib kita berkata terus terang kepadanya dan tidak ada jalan lain lagi untuk menahannya; iaitu seperti mengingatkan kepada suruhan agama yang mesti ditunaikan atau larangan yang patut dijauhi.

Dalam hal serupa ini, tidak boleh berdiam diri, malah berdosa jika menutup mulut. Meskipun berkata terus terang begitu akan menimbulkan kemarahannya, namun kita harus tidak mengendahkan yang demikian itu. Sebab itu sebenarnya serupa dengan melakukan suatu kebajikan bagi faedahnya, walaupun dianggap sebagi suatu perkara buruk pada zahirnya.

Adapun menyebut-nyebut tentang keburukan-keburukannya, aib-aibnya serta aib-aib anak-anaknya, maka itulah yang dikatakan ghibah atau mengumpat dan hukumnya adalah haram atas setiap orang Muslim.

Anda dilarang dari perkara ini ialah disebabkan dua perkara:

Pertama: Cuba anda perhatikan terlebih dulu perihal diri anda sendiri. Kiranya anda dapati dirimu ada satu saja dari perkara yang tercela itu, maka sudah cukuplah bagi anda untuk menahan diri daripada mencela orang lain. Memadailah anda fahamkan, bahawa dia tiada berdaya untuk menahan dirinya dari melakukan perkara yang tercela itu, sepertimana anda juga tidak berkuasa untuk mengekang diri dari perkara-perkara bala yang menimpa atas diri sendiri. Janganlah anda memandang terlalu berat suatu kelakuan yang tercela daripadanya, kerana siapakah orangnya yang boleh dikatakan terlepas dari celaan dan cemuhan?

Kedua: Ketahuilah, kiranya anda ingin mencari kawan seorang yang bersih dari segala aib dan keburukan, anda akan terpaksa mengasingkan diri dari sekalian manusia, sedangkan anda masih belum ketemui orang itu lagi. Sebab tiada seorang pun di dalam dunia ini, melainkan ada padanya perkara-perkara yang baik dan perkara-perkara yang buruk. Kiranya kebaikannya itu lebih banyak dari keburukannya, maka itulah sebaik-sebaik kawan yang dicari dan tidak ada lebih baik dari itu.

Ingatlah bahawa sifat seorang Mu’min yang mulia itu, hatinya sentiasa mengenang-ngenangkan kebaikan kawan agar timbul dalam hati kawan itu perasaan saling hormat-menghormati, sayang-menyayangi dan perasaan suka memuliakan kawan yang lain. Sebaliknya sifat seorang munafik pula, pekertinya buruk, hatinya selamanya akan memendam segala macam keburukan orang lain dan keaibannya.

Berkata Ibnul-Mubarak: Orang Mu’min itu selalu menerima keuzuran (jika ada orang membuat salah – pent) dan orang munafik selalu mencari-cari kesalahan orang lain.

Al-Fudhail berkata pula: Kepahlawanan itu ialah memaafkan segala kekhilafan kawan-kawan.

Oleh kerana itulah maka Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Berlindunglah dari jiran yang jahat pekertinya; bila melihat kebaikan ditutupnya, dan bila melihat keburukan diheboh-hebohkannya.”

Bersambung dalam hal memelihara hati dalam hak persaudaraan pada posting berikutnya, insha Allah.

Di dalam soal menunaikan hajat seseorang sahabat dan mengusahakan semua keperluannya serta mengutamakan hajat-hajat kawan atas diri sendiri itu ada pula tingkatan-tingkatannya. Tingkatan yang paling rendah sekali ialah memenuhi hajat dan keperluan kawan, bila ia memintanya, sedangkan kawan yang diminta bantuan itu berkuasa untuk membantunya pula.

Bila diberikan bantuan, hendaklah dengan wajah yang manis dan rasa senang, serta melahirkan tanda kegembiraan, kerana kawan itu sanggup menerima kurniaannya.

Setengah orang berkata: Apabila anda memohon pertolongan dari saudaramu pada sesuatu keperluan, sedangkan ia tiada memenuhi permohonan anda itu, maka hendaklah anda ingatkannya kali kedua, kerana mungkin sekali ia telah terlupa. Tetapi sesudah itu jika ia masih tidak mengendahkan anda lagi, maka hendaklah anda membaca: Allahu Akbar kepadanya (seolah-olah anda berdiri sedang sembahyang jenazah — pent), kemudian bacakan ayat al-Quran ini:

“Dan orang-orang yang mati itu, akan dibangkitkan oleh Allah.” (al-An’am: 36)

Di antara para salaf, ada yang mengambil berat terus mengenai hal-ehwal keluarga dan anak-anak sahabatnya, selepas wafatnya sahabat itu sepanjang masa 40 tahun. Ia mencukupkan semua keperluan mereka, dan sentiasa menziarahi mereka serta memberikan berbagai-bagai bantuan moral material setiap kali mereka memerlukannya.

Pendekkata, keluarga itu tidak akan merasa kurang apa-apa, kecuali batang-tubuh ayah mereka yang telah meninggal dunia saja, malah mereka mendapati rakan-rakan ayah mereka dalam mengambil berat tentang hal-ehwal mereka itu, melebihi tanggungjawab ayah sendiri sewaktu hayatnya.

Antara tugas-tugas yang dijalankan oleh para salaf itu, ialah sering mengunjungi rumah-rumah para sahabat mereka, serta membawa segala keperluan ahli rumah itu, padahal sahabatnya dan seisi ahli rumah itu, tiada mengetahui siapakah yang memberikan bantuan itu. Dengan cara beginilah mereka binakan perasaan kasih sayang dan simpati dalam persaudaraan mereka itu. Sebab persaudaraan yang tidak menelurkan apa-apa perasaan kasih sayang dan simpati antara sahabat yang lain itu tidak ada gunanya sama sekali.

Berkata Maimun bin Mahran: Orang yang tidak ada faedah persahabatannya, tentu tidak akan mudharat permusuhannya.

Kesimpulannya: Hendaklah dijadikan hajat dan keperluan saudaramu itu persis seperti hajat dan keperluan diri sendiri, malah kalau boleh lebih dipentingkan hajat dan keperluan mereka dari diri sendiri. Bahkan hendaklah anda sentiasa menyelidiki masa-masa timbulnya keperluan saudaramu itu, jangan sampau terlalai dengan hal ehwalnya sebagaimana anda tidak melalaikan tentang hal ehwal diri sendiri. Dan hendaklah anda tidak membiarkan saudaramu memulakan permintaan bantuan atau pertolongan, baru diberikan. Kemudian bila sudah dibantu, janganlah merasakan diri anda itu mempunyai hak atau budi ke atasnya, tetapi hendaklah dianggapnya sebagai anda terhutang budi kepadanya, kerana ia suka menerima jasa baikmu dan pertolonganmu untuk menghuraikan keperluannya.

Berkata Atha’: Perhatikanlah sahabat-sahabatmu itu di dalam tiga persoalannya, iaitu:

  1. Jika mereka sakit, hendaklah segera menziari mereka.
  2. Jika mereka terlalu sibuk dengan urusan-urusan, maka berikanlah bantuan.
  3. Jika mereka terlupa, maka hendaklah mengingatkan mereka.

Said Ibnul-Ash berkata pula: Sahabatku yang rapat kepadaku mempunyai tiga macam hak atasku, iaitu:

  1. Jika ia datang kepadaku, nescaya aku mengalu-alukan kedatangannya.
  2. Jika ia berbicara, nescaya aku berikan perhatian kepada perbicaraanya.
  3. Jika ia duduk disebelahku, nescaya aku luaskan tempat untuknya.

Allah telah berfirman:

“Mereka itu mempunyai perasaan kasih sayang antara sesama mereka” (al-Fath: 29)

Ayat ini menunjukkan perasaan simpati dan perasaan hormat menghormati dan kasih-mengasihi antara sesama sahabat.

Seterusnya untuk menyempurnakan perasaan simpati dan kasih sayang antara para sahabat, hendaklah jangan mengadakan jamuan makanan yang lazat atau mengadakan keramaian tanpa mengundangnya turut bersama mengecap makanan-makanan yang lazat itu, malah hendaklah merasa tidak senang bila ia tiada bersama-sama ataupun merasa kurang meriah bila ia terpisah dari sahabat-sahabatnya dalam keadaan-keadaan yang demikian.

Diriwayatkan dalam sebuah Hadis berbunyi:

“Perumpamaan kedua saudara itu adalah seperti kedua tangan; yang satu membersihkan yang lainnya.”

Amat tepat sekali, perumpamaan itu, kerana memanglah tugas kedua tangan itu saling bantu-membantu antara satu sama lain atas maksud yang satu.

Demikian pulalah hendaknya keadaan kedua saudara itu, tiada akan sempurna persaudaraannya, melainkan bila kedua-duanya bersatu dalam satu tujuan, seolah-olah bila dipandang keduanya seperti orang yang satu.

Kesatuan tujuan keduanya mestilah dalam keadaan senang dan susah, dan saling tolong-menolong dalam masa akan datang dan sekarang, dengan menjauhkan segala kepentingan diri atau melebihkan satu atas yang lain.

Adapun perihal bantu-membantu dalam soal kewangan terhadap saudara ada tiga peringkat:

Pertama: Tingkat yang paling rendah sekali ialah dengan mengganggap sebagai seorang khadam kepadamu. Iaitu yang utamanya ialah anda penuhkan semua keperluan anda dari harta kekayaan anda. Kemudian sekiranya ada lebih lagi, sedangkan saudaramu memerlukan pula kepada pertolongan, maka barulah anda berikan pertolongan kepadanya.

Tetapi jangan pula anda menunggu sampai ia meminta dulu baru diberikan, tetapi hendaklah anda menawarkan terlebih dulu. Jika anda berdiam diri sehingga ia terpaksa meminta, maka sikap itu adalah suatu kecuaian dalam soal persaudaraan.

Kedua: Tingkat kedua ialah dengan menganggap saudaramu seperti dirimu sendiri. Anda redha berkongsi dengannya dalam harta kekayaan dan segala milik anda, sehingga anda sanggup membahagi dua harta benda dan kekayaan anda bersamanya.

Ketiga: Tingkat yang paling tinggi sekali, iaitu dengan mendahulukan hajat dan keperluannya atas hajat dan keperluan anda sendiri. Sifat seumpama ini hanya ada pada orang-orang dalam tingkatan para siddiqin, dan ia merupakan tingkatan para pencinta.

Dan puncak dari segala tingkatan-tingkatan ini, ialah melebihkan hak orang lain atas hak peribadi sendiri, maka sayugialah anda perhatikan semua tingkatan-tingkatan ini pada diri anda. Kiranya tidak ada satu pun dari ketiga-tiga tingkatan ini pada diri anda, maka ketahuilah, bahawasanya ikatan persaudaraan itu masih belum terikat lagi dalam batin anda.

Adapun pergaulan yang berlaku sehari-hari dengan saudara mara itu, tiada lain melainkan semacam pergaulan yang rasmi saja, tidak ada kesan apa pun yang tertinggal di dalam akal atau agama.

Berkata Maimum bin Mahran: Barangsiapa yang suka berkawan, tetapi tidak suka melebihkan kawan atas diri sendiri, maka lebih baik ia berkawan dengan ahli kubur.

Setengah ahli agama masih belum dapat menerima darjat pertama dari tingkatan-tingkatan yang tiga tadi sebagai sifat yang diredhai oleh mereka.

Diriwayatkan bahawa Utbah al-Ghulam rahimahullah mengunjungi rumah seorang kawan yang telah diakuinya sebagai saudara, lalu berkata: Aku perlukan dari hartamu sekadar 4,000 dirham. Jawab rakannya: Ambillah 2,000 saja! Utbah enggan menerimanya malah ia mencela orang itu, katanya: Sungguh tidak aku sangka bahawa anda telah memilih dunia dari Allah Ta’ala. Tidakkah anda merasa malu mendakwakan persaudaraan kerana Allah, kemudian anda berkata semacam ini?

Adapun tingkatan yang paling tinggi sekali dari tingkatan persaudaraan itu, maka Allah telah menjelaskan sifatnya sepertimana yang ditunjukkan kepada kaum Mu’minin yang berikut dalam firmanNya:

“Dan urusan mereka dipermusyawaratkannya antara sesama mereka, dan mereka sentiasa membelanjakan apa-apa yang Kami memberikan rezeki kepada mereka.” (asy-Syura: 38)

Yakni, kaum Mu’minin itu menjadi syarikat atau kongsi dalam harta benda sesama sendiri, tidak ada bedanya harta seorang dengan yang lainnya. Bahkan ada di antara mereka itu yang enggan mengaku kawan kepada orang yang berkata: Ini sandalku, yakni ia telah mementingkan dirinya sendiri bila mengatakan sandal itu miliknya.

Ada di antara mereka itu yang terus memerdekakan hamba sahayanya disebabkan kedatangan seorang teman atau saudara ke rumahnya, lalu mengambil dari hartanya sekadar keperluan saudara itu sedangkan ia tidak ada di rumah. Perbuatan memerdekakan hamba sahaya itu kerana terlalu gembira dengan perilaku kawannya tersebut.

Berkata Zainul Abidin Ali Ibnul-Hussain r.a kepada orang ramai: Pernahkah seseorang di antara kamu memasukkan tangannya ke dalam saku atau kocek kawannya seraya mengambil apa yang diperlukan olehnya tanpa izin? Mereka berkata: Tidak pernah! Maka beliau berkata lagi: Kalau begitu kamu sekalian belum boleh dikatakan sahabat.

Ibnul Umar r.a pula berkata: Seorang sahabat Rasulullah s.a.w. telah menerima hadiah kepala kambing dari sahabatnya, tetapi dia telah menolaknya dengan alasan ada sahabat yang lain yang lebih berhajat daripadanya, maka kepala kambing itu pun dibawalah kepada sahabat yang dikatakan lebih berhajat itu, tetapi sahabat itu juga telah menolaknya, dengan alasan bahawa di sana ada orang lain yang lebih berhajat daripadanya. Seterusnya kepala kambing itu pun bertukar tangan dari seorang kepada yang lain, sehingga berkeliling ke tangan tujuh orang dan akhirnya sampai semula ke tangan orang yang pertama itu sekali lagi.

Berkata Abu Sulaiman ad-Darani: Andaikata seluruh isi dunia ini kepunyaan saya, lalu saya letakkannya ke dalam mulut salah seorang dari sahabat-sahabatku, maka saya masih merasakan terlalu sedikit; iaitu disebabkan membelanjakan sesuatu ke atas sahabat itu lebih utama daripada bersedekah terhadap kaum fakir miskin.

Berkata Ali r.a.: Dengan hanya dua puluh dirham yang dapat aku berikan kepada saudaraku kerana Allah adalah lebih kucintai daripada dapat bersedekah dengan seratus dirham ke atas orang-orang miskin.

Termasuk kesucian diri dalam persaudaraan ialah bersenang lenang di rumah sahabat, sebagaimana ianya menjadi amalan sebahagian terbesar dari para Salaf Saleh. Allah telah berfirman:

“Ataupun di rumah yang kamu miliki kunci-kuncinya atau di tempat kawanmu.” (an-Nur: 61)

Maksud dari ayat di atas ialah sekiranya ada seorang sahabat yang menyerahkan kunci rumahnya kepada sahabat yang lain, serta mengizinkan sahabat itu untuk bertindak sesuka hati di dalam rumahnya itu. Jadi pada mulanya sahabat itu memelihara diri supaya tiada memakan sesuatu dalam rumah itu menurut hukum taqwa, sehingga Allah turunkan ayat yang tersebut di atas, yang mengizinkan untuk bersenang lenang dalam mengecap makan-minum kawan-kawan dan rakan-rakan di rumah masing-masing.

« Previous Page