May 2011


Bersambung dari Hak seorang Muslim (8)

Kedua puluh lima: Hendaklah engkau menziarahi pesakit-pesakit kaum Muslimin.

Adab orang yang menziarahi orang sakit ialah memendekkan masa ziarah itu mengurangkan banyak pertanyaan, melahirkan belas kasihan, mendoakan agar segera sembuh dan memalingkan pemandangan dari melihat aurat-aurat pesakit.

Bila meminta izin masuk, janganlah engkau menghadap ke pintu dan mengetuknya biarlah dengan perlahan-lahan. Bila ditanya siapa itu, jangan engkau menjawab: Saya.

Dalam sebuah Hadis dari Rasulullah s.a.w. berbunyi:

“Apabila seseorang Muslim menziarahi saudaranya yang sakit atau menenguknya, berfirman Allah Ta’ala: Engkau telah melakukan yang baik dan akan baiklah perjalananmu dan engkau telah menduduki sebuah rumah di syurga.”

Daripada Saiyidina Usman r.a. katanya: Suatu hari saya sakit, maka Rasulullah s.a.w. datang menziarahi saya, lalu mengucapkan:

“Dengan nama Allah Maha Pengasih lagi Penyayang. Aku memohonkan perlindungan bagimu kepada Allah yang Maha Esa, dan Tuhan Tempat meminta tiada beranak dan tiada diberanakkan, dan tiada seorang pun yang serupa denganNya dari bahaya yang telah menimpamu.”

Baginda mengucapkannya berkali-kali

Bagi pesakit pula disunnatkan membaca:

“Saya mohon perlindungan dengan kemuliaan Allah dan kekuasaaNya dari bahaya yang menimpaku.”

Berkata Thaus: Sebaik-baik ziarah kepada pesakit ialah yang paling ringan, yakni singkat waktunya.

Di antara adab-adab pesakit pula, hendaklah ia mempunyai sifat-sifat kesabaran kurang mengadu dan tidak lekas bosan, sentiasa merasa takut sehingga memohon doa kepada Allah Ta’ala yang menyebabkan ubat itu menyembuhkan:

Kedua puluh enam: Hendaklah engkau menghantar jenazah-jenazah mereka. Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Barangsiapa menghantarkan jenazah, maka baginya pahala satu qirat jika ia menunggu hingga jenazah itu dikebumikan maka baginya pahala dua qirat. Dan qirat itu besarnya macam gunung Uhud.”

Gunung Uhud adalah sebuah gunung yang besar dekat Madinah al-Munawwarah. Tujuan menghantar jenazah itu ialah menunaikan hak kaum Muslimin dan mengambil i’tibar bila berdepan dengan kubur-kubur orang yang sudah mati.

Kedua puluh tujuh: Hendaklah engkau menziarahi kubur-kubur mereka. Tujuan ziarah itu ialah memohon doa bagi yang mati dan mengambil i’tibar serta melembutkan hati.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Tiada suatu pemandangan yang pernah aku lihat melainkan kuburlah yang paling mengerikan dari yang lain-lain.”

Berkata Hatim Al-Asham: Sesiapa yang berjalan melalui kuburan, sedangkan ia tiada memikirkan mengenainya, dan tiada pula mendoakan bagi orang-orang yang berada di dalamnya, maka ia telah mengkhianati dirinya dan mengkhianati orang-orang yang di dalam kubur itu.

Berkata Maimun bin Mahran: Sekali peristiwa, saya pergi bersama-sama Umar bin Abdul Aziz menziarahi kubur, apabila beliau melihat saja kepada kubur-kubur itu, beliau menangis seraya berkata: Wahai Maimun! Inilah kubur datuk-nenekku, seolah-olah mereka tidak pernah berkongsi kelazatan dengan ahli-ahli dunia. Tidakkah engkau melihat mereka itu kesemuanya berbaringan kini. Mereka terlepas dari segala hukuman yang mereka alami. Sedangkan tubuh badan mereka telah dimakan ulat di dalam tanah.

Kemudian beliau menangis lagi. Beliau berkata pula: Demi Allah! Aku tiada mengetahui seseorang yang lebih merasakan kenikmatan daripada orang-orang yang telah berada di dalam kubur-kubur ini, dan mereka telah terselamat daripada azab Allah Ta’ala.

Bersambung dari Hak seorang Muslim (7)

Kedua puluh tiga: Hendaklah engkau bercampur gaul dengan orang-orang miskin, dan berbuat baik kepada anak-anak yatim.

Nabi s.a.w. juga selalu berdoa:

“Ya Allah! Ya Tuhanku! Hidupkanlah aku sebagai seorang miskin dan matikanlah aku sebagai seorang miskin juga, serta bangkitkanlah aku (di Hari Kiamat kelak) dalam kumpulan orang miskin.”

Diceritakan bahawa Nabi Allah Sulaiman alaihis-salam, meskipun mempunyai kerajaan yang agung, apabila baginda masuk dalam masjid dan melihat ada orang miskin di situ, nescaya baginda akan duduk bersama-sama mereka seraya berkata: Seorang miskin sedang duduk dengan miskin yang lain.

Dalam suatu khabar berbunyi: Janganlah kamu merasa irihati, jika melihat seorang jahat mendapat kurniaan nikmat yang banyak, sebab engkau takkan tahu ke mana kesudahan orang itu setelah ia mati kerana di belakangnya tentu ada seorang yang mencari untuk menuntutnya.

Adapun terhadap anak yatim, maka Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Barangsiapa menanggung anak yatim sehingga menjadi kaya, maka telah wajib baginya memasuki syurga.”

Sabda Nabi lagi:

“Saya dan orang yang menanggung anak yatim seperti kedua ini – sambil Baginda mengisyarat dengan kedua belah jarinya (yakni paling hampir sekali).”

Lagi sabdanya:

“Barangsiapa mengusap kepala seorang anak yatim tanda belas kasihan, maka ia mendapat kebajikan atas setiap rambut yang diusapnya itu.”

Dan sabdanya yang lain pula:

“Sebaik-baik rumah kaum Muslimin, ialah rumah yang ada di dalamnya seorang anak yatim dimuliakan. Dan sejahat-jahat rumah kaum Muslimin, ialah rumah yang ada di dalamnya seorang anak yatim yang dicuaikan kepentingannya.”

Kedua puluh empat: Hendaklah engkau suka memberi nasihat kepada setiap Muslim dan cuba bersungguh-sungguh untuk mengembirakan hatinya.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Tidak beriman seseorang kamu, sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri.”

Sabdanya lagi:

“Barangsiapa menyejukkan mata seorang Mu’min (menghilangkan kesusahannya), nescaya Allah akan menyejukkan matanya di Hari Kiamat.”

Lagi sabdanya:

“Barangsiapa melapangkan diri seorang Mu’min yang sedang dalam kesusahan atau menolong Mu’min yang teraniaya, nescaya ia akan diampunkan dosanya.”

Sabdanya lagi:

“Di antara amalan-amalan yang paling disukai oleh Allah s.w.t ialah menimbulkan kegembiraan dalam hati seorang Mu’min, melapangkan kesusahannya, menunaikan hutangnya atau memberinya makan waktu lapar.”

Akan bersambung lagi hak seorang Muslim dalam posting berikutnya.

Bersambung dari Hak seorang Muslim (6)

Kedua puluh: Hendaklah engkau memelihara kehormatan kawanmu, dirinya dan harta bendanya dari penganiayaan orang lain sekadar kemampuanmu, menahan segala kesusahan, mempertahankannya dan menolongnya, sebab yang demikian itu wajib atasmu menurut dasar persaudaraan Islam.

Dalam sebuah Hadis Rasulullah s.a.w.:

“Tidak ada seorang Muslim pun yang menolong seorang Muslim yang lain dalam suatu keadaan di mana kehormatannya telah diceroboh, dan dirinya telah diperlakukan secara sewenang-wenang, melainkan Allah akan menolong orang itu dalam kesusahannya di tempat lain, di mana ia merasa perlu pertolongan itu dari Allah. Dan tidak ada seorang pun yang mengecewakan seorang Muslim yang lain dalam suatu keadaan, di mana kehormatannya telah diceroboh, melainkan Allah akan mengecewakan orang itu pada suatu keadaan lain, di mana ia sangat-sangat mengharapkan pertolongan dari Allah.”

Kedua puluh satu: Hendaklah engkau mendoakan bagi orang bersin.

Nabi s.a.w. mengajar orang yang bersin itu supaya berkata: Al-Hamdulillah ala kulli hal (Segala kepujian bagi Allah atas setiap perkara).

Orang yang mendengar pula mendoakan dengan berkata: yarhamukullah (moga-moga allah merahmati kamu).

Dibalas pula oleh orang yang bersin Yahdikumullahu wa Yuslihu Balakum (moga-moga Allah memberi kamu petunjuk dan membersihkan hati kamu).

Disunnatkan bagi seseorang apabila mahu bersin, merendahkan suaranya dan menutup wajahnya.

Dan bagi orang yang mahu menguap meletakkan tanganya ke atas mulutnya.

Kedua puluh dua: Bila engkau diuji dengan perbuatan orang yang jahat, maka hendaklah engkau menanggung dengan sabar dan menjaga dirimu dari kejahatanya.

Setengah orang berkata: Berikhlas diri kepada orang Mu’min dengan seikhlas-ikhlasnya, dan tunjukkanlah akhlak yang baik semampu-mampunya kepada orang jahat, sebab orang yang jahat itu selalu suka dengan akhlak-akhlak yang baik pada zahirnya saja.

Abu Darda’ berkata: Kita pernah menunjukkan muka manis kepada setengah-setengah manusia, padahal hati kita mengutukinya.

Inilah yang dikatakan bergaul secara baik dengan orang-orang yang ditakuti kejahatannya.

Allah berfirman:

“Tolaklah dengan cara yang lebih baik.” (al-Mu’minun: 96)

Ibnu Abbas berkata, menerangkan maksud al-Quran berikut:

“Mereka menolak keburukannya dengan kebaikan.” (ar-Ra’ad: 22)

Yakni: Menolak kejahatan dan penganiayaan orang itu, dengan membuat perdamaian dan pergaulan yang baik.

Ibnu Abbas berkata lagi dalam menerangkan ayat al-Quran yang berikut pula:

“Andaikata tiada pembelaan Allah terhadap manusia antara satu puak dengan yang lainnya.” (al-Baqarah: 251)

Ia berkata: maksudnya ialah dengan mengembirakan dan menakut-nakutkan dengan perasaan malu dan bergaul secara lemah-lembut.

Berkata Sayidatina Aesyah r.a.: Ada seseorang yang meminta izin untuk menemui Rasulullah s.a.w. lalu Baginda berkata: Izinkanlah ia masuk, tetapi ia sebenarnya seburuk-buruknya manusia yang boleh diajak bergaul. Apabila orang itu masuk, Rasulullah s.a.w pun mempergaulinya dengan lemah lembut, sehingga (kata Aesyah) aku menyangka bahawa orang itu mempunyai suatu kedudukan di sisi Rasulullah s.a.w.

Apabila orang itu keluar, aku berkata: Kini ia telah keluar. Aku pun berkata kepada Rasulullah s.a.w.: Bila orang itu hendak masuk tadi, engkau berkata kepadaku macam-macam terhadapnya, kemudian engkau berlemah-lembut pula dalam kata-katamu kepadanya.

Maka Baginda pun berkata: Wahai Aesyah! Sesungguhnya seburuk-buruk kedudukan manusia di sisi Allah pada Hari Kiamat, ialah manusia yang disingkirkan oleh orang ramai kerana takutkan kejahatannya.

Dalam suatu khabar yang lain: Apa saja yang digunakan oleh seseorang untuk menjaga kehormatannya, maka itu adalah sedekah.

Berkata Muhammad Ibnul Hanafiah: Bukanlah seorang bijaksana, bila seseorang itu tidak dapat bergaul secara baik dengan orang yang tidak boleh tidak mesti ia bergaul dengannya, sehinggalah Tuhan melorongkan baginya kelapangan (iaitu suatu jalan untuk melepaskan diri).

Akan bersambung lagi hak seorang Muslim dalam posting berikutnya.

Bersambung dari Hak seorang Muslim (5)

Kesembilan belas: Hendaklah engkau memulakan salam kepada sesiapa yang engkau temui sebelum engkau mengajaknya bercakap-cakap. Sesudah itu hendaklah engkau berjabat tangan pula.

Allah berfirman:

Apabila kamu diberi salam sesuatu salam, maka hendaklah kamu membalas salam itu dengan salam yang lebih baik, ataupun balaslah dengan salam seumpamanya.” (an-Nisa’ : 86)

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Demi jiwaku yang berada di tanganNya, kamu sekalian tidak akan memasuki syurga sehingga kamu beriman dan kamu sekalian tidak akan beriman selagi kamu tidak berkasih sayang. Mahukah kamu aku tunjukkan sesuatu amalan, jika kamu lakukannya nescaya kamu akan saling kasih-mengasihi? Para sahabat berkata: Bahkan, wahai Rasulullah, tunjukkanlah! Berkata Rasulullah s.a.w.: Amalkanlah memberi salam antara satu dengan yang lain di antara kamu!”

Dari Rasulullah s.a.w. lagi:

Orang yang berkenderaan, hendaklah memberi salam kepada yang berjalan kaki. Andaikata seorang dari orang ramai yang memberi salam, cukuplah ia menggantikan yang lain.

Anas r.a. sendiri bila menemui anak-anak di jalanan, dia sering memberi salam kepada mereka. Kata Anas: Saya pernah melihat Rasulullah s.a.w membuat macam itu.

Diceritakan lagi bahawa suatu kali pernah Rasulullah s.a.w. melalui sebuah masjid sedang di situ ada banyak orang yang sedang duduk-duduk, maka baginda pun mengisyaratkan dengan tangannya memberi salam.

Kemudian baginda berkata: Jika seseorang kamu sampai ke suatu majlis, maka hendaklah ia memberi salam kepada orang-orang yang ada di situ. Kemudian jika ia suka duduk, duduklah. Sesudah itu bila ia bangun pula, maka hendaklah ia memberi salam lagi. Tidaklah salam yang pertama tadi lebih berhak (utama) dari yang kedua pula.

Diberitakan juga bahawa kesempurnaan salam itu ialah dengan berjabat tangan.

Berkata al-Hasan: Berjabat tangan itu akan menambahkan kasih sayang antara orang yang berjabat tangan itu.

Diharuskan pula untuk mencium tangan orang yang banyak ilmunya dalam urusan agama, untuk mendapatkan berkat daripadanya, atau untuk memberikan penghormatan kepadanya.

Rasulullah s.a.w. sendiri membenarkan orang mencium tangannya dan kepalanya.

Menundukkan diri ketika berjabat salam adalah terlarang dalam agama.

Tetapi berpeluk dan mencium pernah dilakukan ketika kembali dari pelayaran.

Begitu juga tentang memegang tali kenderaan, kerana menunjukkan penghormatan kepada seorang alim yang menunggangnya, pernah disebutkan dalam atsar.

Ibnu Abbas sendiri pernah melakukan yang demikian ketika menyambut Zaid bin Tsabit.

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Janganlah seseorang kamu membangunkan seorang yang lain dari tempat duduknya, kemudian dia duduk di tempat itu. Tetapi hendaklah kamu meluaskan tempat bagi yang baru datang dan lapangkanlah.”

Sunnat bagi orang yang baru datang dalam sesuatu majlis, sesudah memberi salam, lalu tiada mendapat tempat duduk di hadapan, hendaklah ia duduk saja di belakang dan tidak pulang meninggalkan majlis tersebut.

Sekali peristiwa sedang Rasulullah s.a.w duduk dalam majlisnya di masjid, tiba-tiba datang tiga orang. Dua antaranya menuju ke majlis Rasulullah s.a.w., maka salah seorangnya mendapat tempat kosong lalu ia pun duduk. Seorang lagi terus duduk di belakang orang ramai. Manakala yang ketiga oleh kerana penuh sesaknya majlis itu, ia pun pulang meninggalkan majlis itu.

Setelah selesai majlis itu, maka Rasulullah s.a.w. pun berkata: Bolehkah saya memberitahu tentang ketiga-tiga orang yang datang tadi? Yang pertama telah memperlindungkan dirinya kepada Allah, maka Allah pun melindunginya. Yang kedua merasa malu kepada Allah, dan Allah pun turut malu kepadanya. Manakala yang ketiga telah membelakangkan Allah, maka Allah pun membelakangkan ZatNya daripada orang itu.

Ummu Hani pernah memberi salam kepada Rasulullah s.a.w. lalu baginda bertanya: Siapa itu? Orang memberitahu baginda: Ummu Hani yang memberi salam itu. Maka baginda menjawab selamat datang wahai Ummu Hani.

Akan bersambung lagi hak seorang Muslim dalam posting berikutnya.

Bersambung dari Hak seorang Muslim (4)

Ketujuh belas: Hendaklah engkau menjauhkan diri dari tempat-tempat yang menimbulkan berbagai-bagai tohmah atau sangkaan buruk untuk menjaga hati orang ramai dari mengeluarkan tuduhan-tuduhan yang tak baik, dan mengeluarkan tuduhan-tuduhan yang tak baik, dan memelihara lidah-lidah mereka dari mengumpat.

Kiranya mereka telah bermaksiat kepada Allah tersebab oleh kelakuannmu, maka bersyarikat engkau dengan dosa mereka itu.

Allah telah berfirman:

“Jangan sekali-kali kamu mengeji orang-orang yang menyeru Tuhan selain dari Allah, sehingga mereka pula mengeji Allah secara berlampauan, tanpa pengetahuan.” (al-An’am: 108)

Dalam sebuah Hadis berbunyi:

“Tahukah kamu bagaimana seseorang itu memaki-maki ibubapanya sendiri? Mereka berkata: Adakah orang yang mahu memaki-maki ibu-bapa sendiri? Rasulullah menjawab: Benar ada. Iaitu dia memaki-maki kedua ibu-bapa orang lain, lalu orang itu pula membalas memaki-maki kedua ibu-bapanya.”

Berkata Umar Ibnul Khattab r.a.: Sesiapa yang meletakkan dirinya di tempat-tempat yang akan menimbulkan sangka-sangka yang tidak baik, maka janganlah ia menyalahkan orang-orang yang menyangka buruk terhadapnya.

Kedelapan belas: Hendaklah engkau menolong orang-orang Muslimin yang mempunyai hajat dan keperluan dan menjamin mereka kepada orang yang berpangkat, agar orang itu dapat menolongnya dan memenuhi hajat dan keperluannya sekadar termampu.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Jaminkanlah (hajat seseorang), nescaya kamua akan menerima pahala.

Akan bersambung lagi hak seorang Muslim dalam posting berikutnya.

Bersambung dari Hak seorang Muslim (3)

Keenam belas: Hendaklah engkau menutup segala celaan kaum Muslimin.

Berkata Rasulullah s.a.w.:

“Barangsiapa menutup celaan seorang Muslim, nescaya Allah akan menutup celaannya di dunia dan akhirat.”

Sabdanya lagi:

“Tiadalah seorang Mu’min, bila melihat dari saudaranya suatu celaan, lalu ditutupinya, melainkan ia akan masuk syurga.”

Lagi sabdanya:

“Wahai kelompok orang yang menyatakan iman dengan lidahnya, sedangkan iman itu masih belum meresap dalam hatinya. Janganlah kamu mencaci orang ramai, dan jangan pula mengintip keburukan-keburukan mereka. Sebab barangsiapa mengintip keburukan saudaranya sesama Muslim, nescaya Allah akan mengintip keburukannya dan barangsiapa keburukannya diintip Allah, nescaya rahsianya akan didedahkan oleh Allah, sekalipun ia berada di tengah-tengah rumahnya”

Diriwayatkan ada seorang khalifah pada zaman dahulu, pada suatu malam beliau sedang bersiar-siar keliling kota lalu, mendengar suara seorang lelaki sedang bernyanyi di dalam sebuah rumah.

Beliau pun memanjat rumah itu dan dilihatnya di samping orang lelaki itu ada seorang wanita, dan bersama mereka ada minuman arak.

Khalifah berujar: Wahai musuh Allah! Apakah kau kira Allah akan menutupi kelakuanmu yang keji ini, padalah kau sedang berfoya-foya dengan maksiat ini?

Lelaki itu segera menjawab: Dan engkau juga wahai Amirul Mu’minin, jangan terburu nafsu. Kiranya aku telah bermaksiat kepada Allah, hanya satu maksiat saja. Tetapi kau ini telah membuat tiga maksiat sekaligus dalam suatu masa. Tuhan telah berfirman: Jangan kamu mengintip-mengintip, sedangkan perbuatanmu ini adalah mengintip hal orang lain. Tuhan berfirman lagi: Bukanlah kebaikan itu, dengan kamu mendatangi rumah-rumah dari pintu belakangnya, tetapi kini kau telah memanjat rumahku. Tuhan berfirman: Jangan sekali-kali kamu memasuki rumah selain rumah kamu sendiri (yakni tanpa izin), tetapi kini kau telah memasuki rumahku tanpa memberi salam pula.

Berkata khalifah: Adakah padamu sesuatu yang baik (untuk mempertahankan dirimu), andaikata aku mengampunkan kamu.

Berkata lelaku itu: Saya, ada! Demi Allah jika engkau ampunkan perbuatanku ini, aku berjanji tidak akan kembali kepada perbuatan yang sama lagi sepanjang umurku.

Maka khalifah pun mengampunkannya dan beredar dari situ.

Berkata Rasulullah s.a.w.:

“Sekalian ummatku mendapat keampunan, melainkan orang yang suka menghebohkan rahsianya. Dan cara menghebohkannya ialah bila dia melakukan kejahatan secara rahsia, lalu dia menceritakan kejahatan itu kepada orang lain.”

Misal mengheboh-hebohkan rahsia itu, ialah bila ia membuat sesuatu keburukan secara bersembunyi-sembunyi, kemudian ia menceritakan rahsia itu kepada orang ramai.

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Sesiapa mencuri pendengaran berita sesuatu kaum, sedangkan mereka tidak senang kepada perbuatan itu, kelak di Hari Kiamat telinga orang itu akan dituang timah yang mendidih.”

Akan bersambung lagi hak seorang Muslim dalam posting berikutnya.

Bersambung dari Hak seorang Muslim (2)

Kedua belas: Janganlah engkau berjanji dengan seseorang Muslim, melainkan engkau menepati janji itu, tiada memungkirinya.

Sabda Rasulullah s.a.w.: Janji itu adalah suatu pemberian.

Dan sabdanya yang lain: Janji itu adalah hutang.

Dan sabdanya yang lain lagi:

“Tiga sifat bila salah satu daripadanya ada pada diri seseorang maka ia adalah seorang munafik, meskipun ia berpuasa dan bersembahyang. Bila berbicara ia bohong, bila ia berjanji ia mungkir dan bila diamanatkan sesuatu, ia khianat.”

Ketiga belas: Hendaklah engkau berlaku adil terhadap orang ramai, tiada dibuatnya sesuatu terhadap orang lain, jika ia tidak suka perkara yang sama diperlakukan kepada dirinya sendiri.

Bersabda Rasulullah s.a.w. kepada Abu Darda’, katanya: Wahai Abu Darda’! Lakukan yang baik kepada tetangga yang berjiran denganmu, nescaya engkau menjadi seorang Muslim yang sebenarnya. Dan cintailah bagi semua orang apa yang engkau cintai bagi dirimu sendiri, dengan itu maka engkau menjadi seorang Muslim yang sejati.

Keempat belas: Hendaklah engkau melebihkan penghormatanmu terhadap orang, yang menerusi gaya dan pakaiannya menunjukkan bahawa ia seorang yang tinggi kedudukannya dalam masyarakat. Sebab setiap orang harus diberikan penghormatan menurut darjat kedudukannya.

Kelima belas: Hendaklah engkau berusaha untuk mendamaikan perselisihan faham antara kaum Muslimin, di mana ada peluang untuk mendamaikan antara mereka. Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Sedekah yang paling utama, mendamaikan dua orang yang berselisih.”

Dalam sebuah hadis yang lain:

“Bukan pendusta namanya, jika seseorang cuba mendamaikan antara dua orang yang bertelagah, lalu menyampaikan segala kata-kata yang muluk-muluk/indah-indah (yakni kata-kata itu sebenarnya bohong).”

Hadis tersebut menunjukkan bahawa tugas mendamaikan antara manusia itu wajib, kerana meninggalkan cakap bohong juga wajib. Sesuatu hukum yang wajib tidak akan terluput, melainkan dengan hukum wajib yang lebih utama atau penting dari yang mulanya.

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Semua ucapan yang dusta itu ditulis (sebagai dosa), kecuali seseorang yang berbohong untuk kepentigan berperang, sebab peperangan itu adalah tipu daya, ataupun berbohong untuk mendamaikan dua orang yang bertelagah ataupun berbohong kepada isteri untuk mendapatkan keredhaannya.”

Akan bersambung lagi hak seorang Muslim dalam posting berikutnya.

Bersambung dari Hak seorang Muslim

Ketujuh: Hendaklah engkau berbuat baik kepada semua orang sekadar kemampuanmu, tidak kira sama ada ia dari ahlinya (yang patut menerima kebaikan itu) ataupun bukan ahlinya (yang tidak patut menerimanya).

Dalam sebuah atsar disebutkan: Berbuat baiklah kepada ahlinya (ahli kebaikan) dan bukan ahlinya. Kiranya kebetulan engkau temui ahlinya, maka sudah tepatlah engkau letakkan kebaikan itu kepadanya. Tetapi kiranya engkau terkhilaf, tidak meletakkan kebaikan kepada ahlinya, maka cukuplah engkau telah menjadi dari ahlinya.

Dalam sebuah atsar yang lain pula: Tanda kewarasan pemikiran sesudah menjalankan perkara-perkara agama, ialah mencintai semua manusia dan berbuat baik kepada sekalian yang baik dan yang jahat.

Rasulullah s.a.w. ketika ada orang yang berbicara kepadanya baginda sentiasa menghadapkan wajahnya kepada orang yang berbicara itu, tidak pernah baginda memalingkan wajah, sehingga orang tu selesai dari pembicaraanya.

Kedelapan: Hendaklah engkau tidak memasuki rumah seseorang, melainkan sesudah engkau diizinkan masuk. Engkau boleh meminta izin sampai tiga kali saja, jika ia masih belum memberi izin, maka hendaklah engkau pulang.

Kesembilan: Hendaklah engkau mempergauli semua manusia dengan budi pekerti yang luhur, dan melayan mereka menurut cara yang mereka suka.

Kesepuluh: Hendaklah engkau menghormati orang tua-tua, dan mengasihani anak-anak yang kecil. Dalam sebuah Hadis:

“Bukanlah dari golongan kami, siapa yang tiada menghormati orang tua kami dan tiada pula mengasihani anak kecil kami.”

Baginda Rasulullah s.a.w. gemar sekali berlemah-lembut dengan anak-anak kecil.

Biasanya bila kembali dari setiap pelayaran, Baginda terlebih dulu mendapatkan anak-anak kecil, dan memanggil mereka untuk datang. Kerap anak-anak kecil itu secara kemanjaan meminta Baginda mendukung mereka. Maka baginda pun mendukung mereka itu, satu demi satu di antara kedua belah tangannya, dan ada pula yang lain bergantung dari belakang baginda. Seringkalii juga baginda menyuruh para sahabat melakukan sama seperti yang dilakukannya.

Ada kalanya pula anak-anak kecil itu dibawa ke hadrat Rasulullah s.a.w. untuk didoakan, atau diberikan nama. Maka baginda pun menyambut anak-anak itu, seraya dipangkunya ke atas ribaannya. Seringkali pula anak-anak itu terkencing di atas pangkuannya, maka oleh Rasulullah s.a.w. dibasuhnya tempat kencing itu tanpa merasa marah.

Kesebelas: Hendaklah engkau selalu bergembira, dan menunjukkan muka manis kepada orang ramai seraya berhati lunak.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Tahukah kamu kepada siapa api neraka itu diharamkan? Para sahabat menjawab: Allah dan RasulNya sajalah yang mengetahui. Baginda menerangkan lagi: Kepada orang yang lemah lembut, mudah dalam segala hal, senang berurus dengannya dan sentiasa dekat dengan sesiapa pun.”

Sabdanya lagi:

“Takutilah api neraka itu walaupun dengan bersedekah setengah biji kurma. Kalau tak ada yang hendak disedekahkan, maka tuturlah dengan ucapan yang baik.”

Akan bersambung lagi hak seorang Muslim dalam posting berikutnya.

Terdapat 27 hak seorang Muslim yang disenaraikan oleh pengarang kitab Bimbingan Mukminin. Berikut akan disenaraikan satu persatu dalam pecahan 6 posting kesemuanya.

Pertama: Mula-mula hendaklah engkau memberi salam kepadanya, setiap kali bertemu dengannya.

Bila ia mengundangmu, hendaklah engkau mengabulkannya Bila ia bersin, engkau mendoakannya dengan yarhamukallah (moga-moga Tuhan merahmatimu). Bila ia sakit, engkau menziarahinya. Bila ia mati engkau hadiri jenazahnya. Bila bersumpah, engkau tunaikan (penuhi) sumpahnya. Bila ia meminta masihat engkau menasihatinya. Bila ia tidak ada, engkau memelihara nama baiknya.

Kedua: Hendaklah engkau mencintainya, sebagaimana engkau mencintai dirimu sendiri, ataupun engkau membencinya sebagaimana engkau membenci dirimu sendiri juga.

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Perumpamaan orang-orang Mu’min dalam saling kasih-mengasihi dan sayang-menyayangi, laksana sebatang tubuh, bila salah satu anggotanya mengaduh sakit, seluruh anggota yang lain sama-sama merasa demamnya dan berjaga malam.”

Sabdanya lagi:

“Seorang Mu’min kepada Mu’min yang lain, bagaikan suatu bangunan yang satu mengukuhkan yang lain.”

Ketiga: Jangan sekali-kali menyakiti sesama Muslimin dengan perbuatan atau percakapan.

Sabda Rasulullah s.a.w:

Seorang Muslim ialah orang yang terselamat kaum Muslimin yang lain dari bencana lidahnya dan tangannya. Dan seorang Mu’min pula ialah orang yang terrasa aman daripadanya kaum Mu’minin lainnya ke atas diri dan harta benda mereka. Dan orang Muhajir (yang berpindah negeri), ialah orang yang meninggalkan kejahatan dan menjauhi daripadanya.”

Sabdanya lagi:

“Tiada halal bagi seorang Muslim menakut-nakutkan Muslim yang lain.”

Keempat: Hendaklah engkau merendahkan diri terhadapnya Muslim yang lain, dan jangan berlaku sombong terhadapnya.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Sesungguhnya Allah Ta’ala mewahyukan, agar kamu merendah diri sehingga seseorang kamu tiada membesarkan diri ke atas yang lainnya.”

Kelima: Janganlah engkau mendengar berita-berita buruk yang disampaikan orang yang berlaku antara satu dengan yang lain, atau pun menyampaikan berita-berita yang didengarnya itu dari seorang kepada yang lain.

Ada sebuah Hadis yang berbunyi:

Tidak akan masuk syurga orang yang suka menyampaikan berita-berita buruk kepada yang lain.”

Keenam: Jangan sampai tiada bertegur sapa terhadap seorang Muslim yang dikenalnya lebih dari tiga hari berturut-turut, betapa pun dia marah kepada Muslim itu.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Tiadalah halal bagi seorang Muslim meninggalkan (tidak bertegur sapa) saudaranya Muslim yang lain lebih dari tiga hari, mereka keduanya berjumpa lalu yang satu memalingkan muka dari yang lain, dan adalah sebaik-baik orang di antara keduanya ialah orang yang memulakan salam terlebih dulu.”

Berkata Saiyidatina Aesyah r.a.:

Rasulullah s.a.w tidak pernah merasa jengkel sama sekali, melainkan apabila dilanggar larangan-larangan Allah lalu Allah akan turut sama merasa jengkel terhadap pelanggarnya.

Dalam sebuah Hadis yang lain pula:

Tiada seseorang yang menerima keampunan dari Allah Ta’ala, melainkan ia bertambah mulia di sisiNya.

Akan bersambung lagi hak seorang Muslim dalam posting berikutnya.

Ketahuilah, bahawa manusia perlu bercampur-gaul dengan manusia yang sebangsa dengannya, maka oleh itu, tidak boleh tidak ia mesti mempelajari tata-tertib pergaulan dengan mereka.

Setiap manusia yang bergaul dengan satu-satu golongan manusia, tentulah ada cara-caranya yang tertentu, dan cara-cara itu menurut kadar hak masing-masing, dan hak masing-masing menurut perhubungannya.

Perhubungan itu berlain-lainan pula, sama ada dikeranakan kekeluargaan; iaitu perhubungan yang khusus, ataupun perhubungan dikeranakan persaudaraan Islam; iaitu perhubungan yang umum. Termasuk ke dalam maksud persaudaraan ini, ialah perhubungan antara kawan dan kawan atau perhubungan persahabatan.

Perhubungan juga dikeranakan rakan tetangga, ataupun dikeranakan rakan pelayaran, rakan sepejabat, rakan sepersekolahan, ataupun dikeranakan persahabatan atau persaudaraan semata-mata dan bagi setiap satu dari perhubungan-perhubungan ini mempunyai darjat masing-masing.

Perhubungan kerana kekeluargaan ada haknya. Akan tetapi hak kerabat atau mahram adalah lebih utama lagi. Sebagaimana bagi mahram itu ada haknya, akan tetapi hak kedua ibu-bapa lebih penting lagi kemudian hak tetangga pula.

Akan tetapi keutamaan tetangga itu berbeda pula di antara yang dekat dengan rumah dan yang jauh. Sebagai misalan untuk menampakkan perbedaannya; iaitu orang yang senegeri bila sama-sama berada di negeri orang lain, akan nampaklah ia sebagai salah seorang keluarga sendiri di negeri itu kerana sememangnya ia mempunyai hak ketetanggaan senegeri.

Begitulah hendaknya, hak seorang Muslim kepada Muslim yang lain, harus dikukuhkan dengan terkukuhnya pengenalan dan pergaulan.

Next Page »