Hendaklah seseorang kawan itu tiada memberati kawannya dengan sesuatu perkara yang akan menjengkelkannya (berasa sakit hati atau kesal kerana permintaan/nasihatnya ditolak), bahkan hendaklah ia meringankan tanggungannya dengan memikul setengah dari keperluannya.

Jangan sekali-kali ia membebankan kawan itu untuk menunaikan sebahagian dari kewajiban-kewajibannya sendiri. Malah jangan pula ia mengharap sesuatu dari kasih sayangnya terhadap kawan itu, melainkan semata-mata kerana Allah Ta’ala saja, ataupun menganggapnya sebagai semacam sumbangan terhadap agamanya, dan berlapang hati untuk menemui Allah serta mendekatkan diri kepadaNya.

Atas tujuan-tujuan serupa itulah ia menunaikan hak-hak kawan dan memberikan bantuan-bantuan kepadanya.

Setengah para Salihin berkata: Sesiapa yang membebani saudaranya dengan sesuatu perkara yang tak dapat ditanggungnya, maka telah menganiayai saudara itu. Sesiapa membebani saudaranya pula dengan sesuatu yang pernah ia bebani sebelum itu, maka ia telah menyusahkannya. Dan sesiapa yang tidak pernah membebani saudaranya apa-apa pun, maka itulah orang yang paling utama dan paling unggul kepada sekalian saudaranya.

Kesimpulannya, janganlah sampai ia menyusahkan kawannya sama sekali sehingga ia merasa tiada malu dengan kawan , sebagai mana ia tiada malu dengan diri sendiri.

Berkata Ali r.a.: Sejelek-jelek kawan, ialah kawan yang sentiasa memberati kamu dengan perkara-perkara yang tidak tertanggung, menyebabkan kamu bersikap serba-salah dan menyeret kamu kepada memuat berbagai alasan.

Al-Fudhail berkata: Yang menyebabkan orang ramai putus perhubungan antara satu dengan yang lain ialah taklif; iaitu memberatkan diri orang lain dengan bermacam-macam permintaan. Seseorang kawan menziarahi kawannya, lalu ia memberatkan kawan itu dengan berbagai-bagai tanggungan, akhirnya kawan itu pun memutuskan perhubungan dengannya.

Pernah Ja’far bin Muhammad as-Sadiq radhiallahu anhuma berkata: Seberat-berat kawan padaku, ialah kawan yang suka menyusahkan dirinya keranaku, sedangkan aku terpaksa berkira-kira terhadapnya. Dan seringan-ringan kawan pula, ialah kawan yang bila aku bersamanya sama seperti aku duduk seorang diri.

Di antara cara-cara lain untuk meringankan diri dan tiada menyusahkan ialah hendaknya ia tiada membantah kawannya dalam melakukan ibadat-ibadat yang sunnat.

Ada sekumpulan para salaf dalam persahabatan mereka; bila ada seorang di antara mereka yang makan terus sepanjang hari, tidak pula ditegurnya, mengapa ia makan terus, mengapa tidak berpuasa.

Jika ada yang puasa sepanjang abad pula, tidak juga disuruhnya, supaya berbuka puasa atau makan.

Jika ada yang tidur sepanjang malam, tidak ada yang membantah atau menyuruh bangun, begitu juga jika ada yang bersembahyang sepanjang malam, tidak ada yang membangkang atau menyuruhnya supaya tidur. Keadaan mereka sekalian sama belaka, di mana-mana mereka berada, tidak lebih dan tidak kurang.

Ada pepatah yang berkata: Bila tidak ada banyak formaliti atau pantang-larang dalam persahabatan, persahabatan akan kekal. Dan bila bantuan itu senang diperolehi dari seorang kawan, tentulah kasih saying antaranya akan berpanjangan.

Advertisements