Dan segala yang tersebut sebelum ini dalam hak-hak persaudaraan dan persahabatan itu, tiada akan cukup sehingga anda menurunkan diri anda ke tingkatan khadam, yang bersedia untuk melaksanakan semua hak-hak persahabatan itu dengan segala anggota anda.

1. Dari Segi Penglihatan

Sewajarnya anda melihat kepada kawan-kawan anda dengan penglihatan yang penuh kasih sayang, sehingga mereka merasakan keadaan itu dari anda dengan sebenar-benarnya.

Kemudian hendaklah selalu memerhatikan segala kebaikan yang mereka lakukan, dan melupakan segala keaiban atau keburukannya.

Jangan memalingkan wajah, ketika mereka mendapatkan anda, atau ketika mereka bercakap dengan anda.

Diriwayatkan bahawasanya Rasulullah s.a.w sering membahagi-bahagikan pandangannya kepada setiap orang yang duduk dalam majlisnya sehingga setiap orang yang duduk di situ menyangka, bahawa dialah orang yang diberikan penghormatan oleh baginda dalam majlis itu.

Begitu juga baginda alaihissalam, apabila bertemu muka dengan para sahabatnya Baginda sering merasa terharu dengan cerita-cerita yang disampaikan oleh mereka kepadanya.

2. Dari Segi Pendengaran

Apabila kawan-kawan anda mengucapkan sesuatu kepada anda, maka hendaklah anda mendengar ucapannya dengan penuh minat, merasa asyik dengan ucapan itu seraya mempercayai segala-galanya dan menunjukkan kesenangan hati terhadap ucapan itu.

Jangan sekali-kali memotong percakapan mereka dengan cadangan atau tentangan, dengan tambahan atau sanggahan. Jika anda merasa penat kerana ada sesuatu urusan lain, maka berikanlah keuzuran atau alasan kepada mereka.

3. Dari Segi Lidah

Mengenai perihal lisan atau lidah, telah tersebut sebelum ini hak-haknya. Antaranya tidak menganggkat suara dan tidak bercakap-cakap kepada mereka, melainkan menurut kadar fahaman mereka, supaya mereka ketahui dan faham.

4.      Dari Segi Kedua Tangan

Mengenai kedua tangan, jangan menggenggam kedua tanganmu dari untuk menghulurkan bantuan kepada mereka, selagi kedua tangan dapat melakukan.

5.      Dari Segi Kedua Kaki

Mengenai kedua kaki pula, jangan melangkah ke hadapan kecuali sekadar tempat yang mereka berdiri, jangan melangkah dekat dengan mereka, melainkan sekadar yang perlu saja.

Kedua kaki itu akan berdiri untuk menyambut mereka sampai, dan jangan pula duduk melainkan sesudah mereka sekalian duduk. Dan hendaklah duduknya dengan penuh merendah diri dan tidak duduk, melainkan di tempat mereka duduk.

Advertisements