Bersambung dari Tata-cara pergaulan dengan semua lapisan makhluk

Kedua belas: Bila kamu memasuki sesuatu majlis, maka peliharalah adab majlis itu.

Mula-mula dengan memberi salam kepada orang ramai.

Jangan melangkah-langkah tempat duduk orang lain yang telah datang terlebih dahulu, malah duduk saja di mana terdapat tempat kosong, kerana yang demikian itu menunjukkan tawadhu’nya seseorang.

Setelah duduk, hendaklah kamu berjabat tangan dengan orang-orang yang di sampingmu.

Jauhilah duduk ditempat perjalanan orang.

Sesudah duduk maka peliharalah adab-adab berikut iaitu:

(1) Memalingkan pandangan dari apa-apa yang tidak senonoh.

(2) Menolong orang yang teraniaya

(3) Membantu orang yang sedang dalam kesusahan.

(4) Menolong orang yang lemah

(5) Memandu orang yang sesat

(6) Membalas salam orang lain.

(7) Memberi orang yang meminta

(8) Menyuruh berbuat baik dan melarang melakukan kejahatan.

(9) Memilih tempat yang sesuai bila mahu berludah dan jangan sekali-kali berludah ke arah qiblat tempat orang bersembahyang.

Ketiga belas: Awaslah jangan kamu bersenda-gurau dengan orang cendekiawan, ataupun orang kurang akalnya.

Si cendekiawan akan merasa kurang senang dengan perilakumu, yang kurang akalnya akan menentang perbuatanmu.

Apabila terlena di dalam sesuatu majlis disebabkan senda gurau atau kelalaian, maka hendaklah ia berzikir kepada Allah tatkala beredar dari majlis tersebut:

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Apabila seseorang kamu berada di dalam sesuatu majlis, lalu banyak bercakap-cakap kosong. Kemudian sebelum ia beredar dari majlis itu dia membaca zikir: Maha Suci Engkau, wahai Tuhanku, dan segala kepujian bagimu, aku bersaksi bahawasanya tiada Tuhan melainkan Engkau, aku memohon keampunan dan aku bertaubat kepadaMu, maka Allah akan mengampunkan segala omong kosongnya di dalam majlis itu.”