Ketahuilah, bahawa manusia perlu bercampur-gaul dengan manusia yang sebangsa dengannya, maka oleh itu, tidak boleh tidak ia mesti mempelajari tata-tertib pergaulan dengan mereka.

Setiap manusia yang bergaul dengan satu-satu golongan manusia, tentulah ada cara-caranya yang tertentu, dan cara-cara itu menurut kadar hak masing-masing, dan hak masing-masing menurut perhubungannya.

Perhubungan itu berlain-lainan pula, sama ada dikeranakan kekeluargaan; iaitu perhubungan yang khusus, ataupun perhubungan dikeranakan persaudaraan Islam; iaitu perhubungan yang umum. Termasuk ke dalam maksud persaudaraan ini, ialah perhubungan antara kawan dan kawan atau perhubungan persahabatan.

Perhubungan juga dikeranakan rakan tetangga, ataupun dikeranakan rakan pelayaran, rakan sepejabat, rakan sepersekolahan, ataupun dikeranakan persahabatan atau persaudaraan semata-mata dan bagi setiap satu dari perhubungan-perhubungan ini mempunyai darjat masing-masing.

Perhubungan kerana kekeluargaan ada haknya. Akan tetapi hak kerabat atau mahram adalah lebih utama lagi. Sebagaimana bagi mahram itu ada haknya, akan tetapi hak kedua ibu-bapa lebih penting lagi kemudian hak tetangga pula.

Akan tetapi keutamaan tetangga itu berbeda pula di antara yang dekat dengan rumah dan yang jauh. Sebagai misalan untuk menampakkan perbedaannya; iaitu orang yang senegeri bila sama-sama berada di negeri orang lain, akan nampaklah ia sebagai salah seorang keluarga sendiri di negeri itu kerana sememangnya ia mempunyai hak ketetanggaan senegeri.

Begitulah hendaknya, hak seorang Muslim kepada Muslim yang lain, harus dikukuhkan dengan terkukuhnya pengenalan dan pergaulan.

Advertisements