May 2011


Bersambung dari Tata-cara pergaulan dengan semua lapisan makhluk

Kedua belas: Bila kamu memasuki sesuatu majlis, maka peliharalah adab majlis itu.

Mula-mula dengan memberi salam kepada orang ramai.

Jangan melangkah-langkah tempat duduk orang lain yang telah datang terlebih dahulu, malah duduk saja di mana terdapat tempat kosong, kerana yang demikian itu menunjukkan tawadhu’nya seseorang.

Setelah duduk, hendaklah kamu berjabat tangan dengan orang-orang yang di sampingmu.

Jauhilah duduk ditempat perjalanan orang.

Sesudah duduk maka peliharalah adab-adab berikut iaitu:

(1) Memalingkan pandangan dari apa-apa yang tidak senonoh.

(2) Menolong orang yang teraniaya

(3) Membantu orang yang sedang dalam kesusahan.

(4) Menolong orang yang lemah

(5) Memandu orang yang sesat

(6) Membalas salam orang lain.

(7) Memberi orang yang meminta

(8) Menyuruh berbuat baik dan melarang melakukan kejahatan.

(9) Memilih tempat yang sesuai bila mahu berludah dan jangan sekali-kali berludah ke arah qiblat tempat orang bersembahyang.

Ketiga belas: Awaslah jangan kamu bersenda-gurau dengan orang cendekiawan, ataupun orang kurang akalnya.

Si cendekiawan akan merasa kurang senang dengan perilakumu, yang kurang akalnya akan menentang perbuatanmu.

Apabila terlena di dalam sesuatu majlis disebabkan senda gurau atau kelalaian, maka hendaklah ia berzikir kepada Allah tatkala beredar dari majlis tersebut:

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Apabila seseorang kamu berada di dalam sesuatu majlis, lalu banyak bercakap-cakap kosong. Kemudian sebelum ia beredar dari majlis itu dia membaca zikir: Maha Suci Engkau, wahai Tuhanku, dan segala kepujian bagimu, aku bersaksi bahawasanya tiada Tuhan melainkan Engkau, aku memohon keampunan dan aku bertaubat kepadaMu, maka Allah akan mengampunkan segala omong kosongnya di dalam majlis itu.”

Sekumpulan para pendita membuat kesimpulan dengan berkata: Jika kamu inginkan pergaulan yang baik, maka hendaklah kamu memelihara tata tertib berikut:

Pertama: Berikan keredhaan kamu kepada kawan dan musuh sama belaka.

Tunjukkan kepada mereka sikap yang baik tanpa menyombong diri, dan rendahkanlah dirimu tanpa menghinakannya. Jadikanlah sikap kamu sederhana pada semua perkara, sebab terlalu meninggi sangat ataupun merendah sangat, kedua-duanya adalah sifat yang tercela.

Kedua: Jangan menoleh ke kanan atau ke kiri, ataupun terlalu banyak sangat menoleh. Jangan berdiri di antara orang ramai.

Bila duduk jangan menggelenyar (duduk tidak tetap). Jangan selang-selikan jari-jari antara satu sama dengan yang lain. Jangan terlalu banyak mengurut janggut atau memainkan cincin di jari.

Ketiga: Jangan mengorek gigi atau hidung, banyak berludah atau berhingus atau selalu menggeliat dan mengguap di hadapan muka orang ramai dan di waktu sedang bersembahyang atau sebagainya.

Keempat: Bila duduk biarlah duduk kamu itu tenang saja, dan perbualan kamu itu teratur.

Kelima: Dengarkanlah perbualan-perbualan atau percakapan-percakapan yang baik dari orang yang bercakap kepadamu, tanpa menunjukkan ketakjuban yang berlebih-lebihan, atau menyuruh orang itu mengulangi percakapannya.

Kalau percakapannya itu mentertawakan, maka tahanlah tertawamu sedapat mungkin.

Keenam: Jangan suka memuji-muji anak buah sendiri, atau syair-syair yang kamu ciptakan sendiri atau karya-karya yang kamu hasilkan sendiri, ataupun segala sesuatu yang mengenai diri kamu sendiri.

Ketujuh: Jangan meniru cara-cara kamu kaum wanita memperhiaskan dirinya dan jangan bersikap rendah, seperti yang biasa dilakukan oleh para hamba sahaya.

Kedelapan: Jangan menggesa orang untuk mendapatkan sesuatu keperluan, dan jangan mendorong orang supaya melakukan kezaliman atau penganiayaan terhadap sesama manusia.

Kesembilan: Jangan memberitahu isteri anak-anak, apatah lagi orang lain, tentang jumlah wang yang simpananmu.

Sebab kalau mereka tahu simpanan itu sedikit, tentulah mereka akan menunjukkan sikap kurang senang. Tetapi kalau mereka tahu simpanan itu banyak, mereka sentiasa tidak puas dan tidak cukup dengan pemberianmu.

Jika kamu pandang perlu untuk menakut-nakutkan mereka, lakukanlah tanpa kekerasan atau ancaman, dan jika kamu kira perlu mengangkat suara kerana sesuatu musibah atau bencana, jangan tunjukkan mereka sikap yang lemah.

Kesepuluh: Jika kamu berselisih faham, maka hendaklah kamu segera bertenang, hindarkanlah sikap berkeras hati dan jangan terlalu terburu nafsu. Malah hendaklah kamu fikirkan hujah atau dalil yang boleh diterima oleh akal.

Jangan terlalu banyak menggunakan isyarat dengan tangan, atau menoleh-noleh ke belakang. Apabila kemarahan kamu telah reda barulah bercakap.

Kesebelas: Sekali-kali jangan sampai kamu menganggap harta kekayaan kamu itu lebih mulia daripada harga diri kamu.

… bersambung dalam posting berikutnya: Tata-cara pergaulan dengan semua lapisan makhluk (2)

Dan segala yang tersebut sebelum ini dalam hak-hak persaudaraan dan persahabatan itu, tiada akan cukup sehingga anda menurunkan diri anda ke tingkatan khadam, yang bersedia untuk melaksanakan semua hak-hak persahabatan itu dengan segala anggota anda.

1. Dari Segi Penglihatan

Sewajarnya anda melihat kepada kawan-kawan anda dengan penglihatan yang penuh kasih sayang, sehingga mereka merasakan keadaan itu dari anda dengan sebenar-benarnya.

Kemudian hendaklah selalu memerhatikan segala kebaikan yang mereka lakukan, dan melupakan segala keaiban atau keburukannya.

Jangan memalingkan wajah, ketika mereka mendapatkan anda, atau ketika mereka bercakap dengan anda.

Diriwayatkan bahawasanya Rasulullah s.a.w sering membahagi-bahagikan pandangannya kepada setiap orang yang duduk dalam majlisnya sehingga setiap orang yang duduk di situ menyangka, bahawa dialah orang yang diberikan penghormatan oleh baginda dalam majlis itu.

Begitu juga baginda alaihissalam, apabila bertemu muka dengan para sahabatnya Baginda sering merasa terharu dengan cerita-cerita yang disampaikan oleh mereka kepadanya.

2. Dari Segi Pendengaran

Apabila kawan-kawan anda mengucapkan sesuatu kepada anda, maka hendaklah anda mendengar ucapannya dengan penuh minat, merasa asyik dengan ucapan itu seraya mempercayai segala-galanya dan menunjukkan kesenangan hati terhadap ucapan itu.

Jangan sekali-kali memotong percakapan mereka dengan cadangan atau tentangan, dengan tambahan atau sanggahan. Jika anda merasa penat kerana ada sesuatu urusan lain, maka berikanlah keuzuran atau alasan kepada mereka.

3. Dari Segi Lidah

Mengenai perihal lisan atau lidah, telah tersebut sebelum ini hak-haknya. Antaranya tidak menganggkat suara dan tidak bercakap-cakap kepada mereka, melainkan menurut kadar fahaman mereka, supaya mereka ketahui dan faham.

4.      Dari Segi Kedua Tangan

Mengenai kedua tangan, jangan menggenggam kedua tanganmu dari untuk menghulurkan bantuan kepada mereka, selagi kedua tangan dapat melakukan.

5.      Dari Segi Kedua Kaki

Mengenai kedua kaki pula, jangan melangkah ke hadapan kecuali sekadar tempat yang mereka berdiri, jangan melangkah dekat dengan mereka, melainkan sekadar yang perlu saja.

Kedua kaki itu akan berdiri untuk menyambut mereka sampai, dan jangan pula duduk melainkan sesudah mereka sekalian duduk. Dan hendaklah duduknya dengan penuh merendah diri dan tidak duduk, melainkan di tempat mereka duduk.

Bersambung dari Hak persaudaraan – meringankan dan tidak memberatkan.

Setengah orang berkata: Jika seseorang bebas melakukan empat perkara berikut dalam rumah saudaranya, maka telah sempurnalah kemesraan antara mereka, iaitu:

(1) Biasa makan bersama-samanya di rumah

(2) Biasa membuang air kecil atau besar di situ.

(3) Biasa sembahyang

(4) Biasa tidur

Apabila keempat-empat perkara ini disebutkan kepada setengah para guru agama, mereka berkata ada satu lagi yang kurang iaitu: Jika ia datang membawa isterinya sekali ke rumah saudaranya, kerana rumah itu adalah tempat yang sesuai untuk dilaksanakan kelima-lima perkara yang tersebut tadi. Kalau tidak kerana itu, tentulah masjid lebih utama untuk melakukan sembahyang bagi orang-orang yang suka beribadat.

Apabila seorang sahabat sudah melakukan kelima-lima perkara tersebut di atas tadi terhadap sahabatnya, maka telah sempurnalah ikatan persaudaraan di antara keduanya, dan terangkatlah kekekokan serta terhasillah kelapangan hati dan kebebasan pergerakan.

Orang-orang Arab bila menyambut tamunya, menunjukkan sikap yang demikian ketika ia berkata kepada tamunya: Marhaban wa Ahlan wa Sahlan.

Marhaban artinya: Kami menyambutmu dengan penuh lapang hati dan lapang tempat. Ahlan artinya: Anda akan mendapati semua ahli rumah ini melayan kehendakmu dan menghiburkan hatimu. Sehingga anda tidak risau atau canggung. Sahlan artinya: Anda akan mendapati serba-serbinya mudah, tidak ada sesuatu yang anda kehendaki, melainkan dikabulkan dan diusahakan.

Manakala meringankan diri anda tiada menyusah-nyusahkan tidak akan sempurna, selagi seseorang itu tiada menganggap dirinya kurang dan lebih rendah dari kawannya. Kemudian hendaklah ia meletakkan sangkaan yang baik terhadap kawan, sedangkan pada diri sendiri ia meletakkan sangkaan yang buruk selalu.

Dan ketahuilah tiada faedahnya berkawan dengan seseorang yang tiada menghargai diri anda, sebagaimana anda menghargai dirinya. Itulah serendah-rendah tingkatan persahabatan, yakni masing-masing memandang diri kawan yang lain sama sedarjat belaka, dan yang lebih sempurna lagi kalau ia memandang kawannya: serba-serbi lebih dari dirinya sendiri.

Apabila ia menganggap dirinya lebih utama dari kawannya, maka sebenarnya ia telah menghina kawan itu, dan perkara semacam ini pada kaum Muslimin umumnya adalah dilarang dan dicela.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Memadailah seseorang itu dikatakan jahat bila ia memandang rendah terhadap saudara lainnya yang Muslim.

Termasuk dalam kesempurnaan melapangkan diri dan meninggalkan menyusah-nyusahkan diri, ialah bila seorang kawan itu mengajakk bermesyuarat dengan kawan yang lain dalam perkara-perkara yang hendak dilakukan, kemudian ia menerima pula nasihat kawan itu.

Allah telah berfirman:

“Dan mesyuaratkanlah dengan mereka dalam segala urusan kamu” (ali-Imran: 159)

Ini merupakan puncak segala hak-hak persaudaraan dan persahabatan.

Hendaklah seseorang kawan itu tiada memberati kawannya dengan sesuatu perkara yang akan menjengkelkannya (berasa sakit hati atau kesal kerana permintaan/nasihatnya ditolak), bahkan hendaklah ia meringankan tanggungannya dengan memikul setengah dari keperluannya.

Jangan sekali-kali ia membebankan kawan itu untuk menunaikan sebahagian dari kewajiban-kewajibannya sendiri. Malah jangan pula ia mengharap sesuatu dari kasih sayangnya terhadap kawan itu, melainkan semata-mata kerana Allah Ta’ala saja, ataupun menganggapnya sebagai semacam sumbangan terhadap agamanya, dan berlapang hati untuk menemui Allah serta mendekatkan diri kepadaNya.

Atas tujuan-tujuan serupa itulah ia menunaikan hak-hak kawan dan memberikan bantuan-bantuan kepadanya.

Setengah para Salihin berkata: Sesiapa yang membebani saudaranya dengan sesuatu perkara yang tak dapat ditanggungnya, maka telah menganiayai saudara itu. Sesiapa membebani saudaranya pula dengan sesuatu yang pernah ia bebani sebelum itu, maka ia telah menyusahkannya. Dan sesiapa yang tidak pernah membebani saudaranya apa-apa pun, maka itulah orang yang paling utama dan paling unggul kepada sekalian saudaranya.

Kesimpulannya, janganlah sampai ia menyusahkan kawannya sama sekali sehingga ia merasa tiada malu dengan kawan , sebagai mana ia tiada malu dengan diri sendiri.

Berkata Ali r.a.: Sejelek-jelek kawan, ialah kawan yang sentiasa memberati kamu dengan perkara-perkara yang tidak tertanggung, menyebabkan kamu bersikap serba-salah dan menyeret kamu kepada memuat berbagai alasan.

Al-Fudhail berkata: Yang menyebabkan orang ramai putus perhubungan antara satu dengan yang lain ialah taklif; iaitu memberatkan diri orang lain dengan bermacam-macam permintaan. Seseorang kawan menziarahi kawannya, lalu ia memberatkan kawan itu dengan berbagai-bagai tanggungan, akhirnya kawan itu pun memutuskan perhubungan dengannya.

Pernah Ja’far bin Muhammad as-Sadiq radhiallahu anhuma berkata: Seberat-berat kawan padaku, ialah kawan yang suka menyusahkan dirinya keranaku, sedangkan aku terpaksa berkira-kira terhadapnya. Dan seringan-ringan kawan pula, ialah kawan yang bila aku bersamanya sama seperti aku duduk seorang diri.

Di antara cara-cara lain untuk meringankan diri dan tiada menyusahkan ialah hendaknya ia tiada membantah kawannya dalam melakukan ibadat-ibadat yang sunnat.

Ada sekumpulan para salaf dalam persahabatan mereka; bila ada seorang di antara mereka yang makan terus sepanjang hari, tidak pula ditegurnya, mengapa ia makan terus, mengapa tidak berpuasa.

Jika ada yang puasa sepanjang abad pula, tidak juga disuruhnya, supaya berbuka puasa atau makan.

Jika ada yang tidur sepanjang malam, tidak ada yang membantah atau menyuruh bangun, begitu juga jika ada yang bersembahyang sepanjang malam, tidak ada yang membangkang atau menyuruhnya supaya tidur. Keadaan mereka sekalian sama belaka, di mana-mana mereka berada, tidak lebih dan tidak kurang.

Ada pepatah yang berkata: Bila tidak ada banyak formaliti atau pantang-larang dalam persahabatan, persahabatan akan kekal. Dan bila bantuan itu senang diperolehi dari seorang kawan, tentulah kasih saying antaranya akan berpanjangan.

« Previous Page