Bersambung dari Kitab Uzlah (Menyendiri) Dan Pergaulan bab kecil Faedah pergaulan – memberi pengajaran atau menerima pelajaran

Mengambil manfaat dapat dihasilkan menerusi usaha dan bermu’amalah, dan yang demikian itu tidak boleh berlaku melainkan dengan bercampur gaul dengan orang ramai.

Oleh kerana itu orang yang suka berusaha sendirian, lalu suka pula bersedekah dari amal usahanya, maka ia adalah lebih utama daripada orang yang suka memencilkan diri dengan banyak melakukan amal ibadat saja.

Adapun memberikan manfaat pula, ialah dengan membuat sesuatu perkara yang mendatangkan manfaat kepada orang lain, sama ada dengan membelanjakan wang ringgit mahupun dengan memeras tenaga sendiri; umpamanya menolong orang lain dalam segala keperluannya, semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah Ta’ala.

Menyediakan diri untuk menunaikan hajat-hajat kaum Muslimin ada pahalanya dan yang demikian itu tidak akan terlaksana melainkan dengan bercampur gaul dengan orang ramai.

Orang yang mampu menjalankan kerja-kerja serupa ini dengan menjaga batasan-batasan, adalah lebih diutamakan daripada orang yang hanya memencilkan dirinya kerana sesuatu pekerjaan yang tak berfaedah.

Advertisements