July 2011


Tugas kedua dalam mengeluarkan zakat ialah melakukannya secara rahsia, tidak dihebahkan ke sana ke mari, kerana yang demikian itu akan menjauhkan amalan itu daripada riya’ dan minta dipuji ramai.

Allah berfirman:

“Jika sekiranya kamu rahsiakan (sedekah) dan kamu memberikannya kepada para fakir, maka itu adalah lebih utama bagimu.” (al-Baqarah: 271)

Sebahagian pengeluar zakat yang ingin mendapatkan keutamaan merahsiakan pengeluarannya, sehingga mereka mencuba agar orang yang menerima zakat itu tidak mengetahui siapakah pemberinya.

Ada juga yang memberi zakat dengan perantaraan orang lain, supaya si fakir yang menerima itu tiada mengetahui si kaya yang mengeluarkannya. Paling kurang ia akan memesan orang yang akan menyampaikan zakat itu, supaya merahsiakan pemberian itu, dan jangan dibocorkan rahsianya; semuanya itu dilakukan tiada lain, kerana mencari keredhaan Allah Ta’ala dan memelihara diri dari perasaan ria’, atau bermegah diri.

Tetapi apabila amalannya itu diisytiharkan untuk menuntut kemasyuran, maka hancur-leburlah amalan itu, tanpa apa pahala lagi padanya.

Di antara tugas dalam mengeluarkan zakat, yang pertama, ialah menyegerakan pengeluarannya sebelum waktu kewajibannya, kerana melahirkan tanda kesenangan diri, untuk menjujung perintah Allah, dan kerana keinginan untuk menimbulkan rasa kegembiraann di dalam hati para fakir-miskin. Tindakan mempercepatkan pengeluaran zakat ini boleh menolak halangan-halangan atau gangguan-gangguan masa; mana tahu nanti kelebihan-kelebihan yang ada itu akan lenyap kerana sesuatu sebab yang tak terduga.

Kemudian kita juga tentu maklum bahawa dalam menangguhkan pengeluaran zakat itu ada beberapa bencana, selain kita akan berdosa kerana menlanggar perintah Tuhan, sebab melewatkan pengeluaran zakat itu dari waktu kewajibannya.

Jadi sayugia diingatkan, apabila tergerak di dalam hati niat yang baik untuk menyegerakan zakat, maka janga sampai menangguh-nangguhkan lagi, bahkan hendaklah menggunakan kesempatan itu sepenuhnya kerana yang demikian itu adalah bisikan Malaikat kepada kita. Kalau tidak, dikhuatiri hati itu akan bertukar tujuan, dan manakala syaitan sentiasa menunggu di pintu hati menjanjikan kita kefakiran, yakni menakut-nakutkan kita menjadi papa-kedana, sebagaimana firman Allah:

Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu akan kefakiran dan menggalakkan kamu melakukan kekejian dan kemungkaran.” (al-Baqarah: 268)

Sebagaimana Malaikat sentiasa membisikkan kepada kita dengan perkara-perkara yang baik-baik, syaitan pula membisikkan sebaliknya. Dan bisikan syaitan itu tidak pernah terputus, sesudah satu tidak berjaya datang pula yang lainnya secara terus-menerus maka hendaklah kita berjaga-jaga daripadanya. Jadi bila ada keinginan yang baik timbul di dalam hati, maka janganlah ditinggalkan peluang itu berlalu begitu saja.

Tugas-tugas mengeluarkan zakat

 

  1. Menyegerakan pengeluarannya
  2. Mengeluarkan zakat secara rahsia
  3. Menggalakkan orang lain untuk turut berzakat
  4. Janganlah anda rosakkan sedekah itu dengan menyebut-nyebutnya
  5. Memandang pemberian itu amat kecil sekali
  6. Memilih dari harta yang paling baik
  7. Memilih orang yang benar-benar boleh membersihkan hartamu dengan sedekah itu
Perbincangan lanjut tugas-tugas terbut di atas akan diperincikan dalam posting berikutnya.

Dalam membincangkan rahsia-rahsia zakat itu ada tiga pengertian:

Pengertian 1:

Penyebutan dua kalimah syahadat itu mengertikan suatu pengakuan terhadap wajibnya sifat keEsaan bagi Allah s.w.t. dan sebagai penyaksian akan satunya Tuhan yang disembah. Syarat bagi penyempurnaan pengakuan ini, hendaklah jangan sampai ada bagi orang mengEsakan Allah tadi suatu zat lain yang amat dikasihinya atau dicintainya lagi selain dari Zat yang Maha Esa dan Maha Satu itu. Sebab kecintaan yang sempurna itu tidak mengakui adanya persekutuan dengan yang lain. Mengakui keesaan dengan lidah semata-mata kurang kesannya pada diri, akan tetapi seseorang yang mengakui kecintaan itu akan diduga tingkatan kecintaanya dengan terpisahnya orang yang dicintai itu.

Harta kekayaan pula adalah barang yang amat dicintai oleh manusia, sebab ia merupakan mata benda yang boleh menyenangkan mereka dalam kehidupan di dunia dan dengan adanya harta kekayaan itu manusia akan merasa kelapangan hidup di dalam alam yang fana ini, dan mereka akan melarikan diri dari maut, padahal hanya dengan maut sajalah akan bertemu pengasih dengan kekasihnya; iaitu Allah s.w.t. lalu mereka itu di duga tentang kebenaran pengakuan mereka terhadap Zat yang dicintainya itu sama ada benar atau palsu; iaitu melalui harta kekayaan yang dikejar dan disanjungnya dalam kehidupan yang fana’ ini.

Allah Ta’ala berfirman:

“Sesungguhnya Allah Ta’ala telah membeli dari kaum Mu’minin itu diri mereka dan harta kekayaan mereka dengan janji akan memberikan mereka syurga” (at-Taubah: 111)

Yang demikian itu akan terhasilnya dengan berjihad; iaitu menukar gantikan dengan nyawa, kerana sangat cinta untuk bertemu dengan Allah yang dicintaiNya itu, tetapi ini hanya menukar ganti dengan harta benda saja, dan ia adalah lebih ringan dari pertama tadi.

Apabila pengertian serupa ini diumumkan pada membelanjakan harta kekayaan, maka orang ramai pun terbagi kepada tiga bahagian:

Bahagian 1:

Suatu puak mengutamakan tauhid atau keesaan Allah, lalu membelanjakan semua harta kekayaan mereka, tiada sedinar ataupun sedirham pun yang tinggal lagi. Termasuk dalam puak ini ialah Saiyidina Abu Bakar as-Sidiq yang telah membawa semua hartanya kepada Rasulullah s.a.w. untuk dibahagi-bahagikan.

Bahagian 2:

Sepuak lagi yang rendah sedikit tingkatannya dari puak yang pertama tadi; iaitu orang-orang yang menahan hartanya untuk dibelanjakan pada waktu-waktu keperluan dan masa-masa mengeluarkan khairat atau sedekah. Jadi maksudnya menyimpan wang itu adalah untuk membelanjakan ke atas kadar keperluannya saja tanpa bersenang-senang dengannya dan selebih dari kadar keperluannya itu dibelanjakan kesemuanya kepada perkara-perkara kebajikan tidak kira apa saja rupanya.

Orang-orang dari puak ini tiada memandang cukup dengan mengeluarkan zakat semata-mata, malah sedekah-sedekah yang lain pun turrut dikeluarkan sama. Sebahagian terbesar dari para tabi’in menentukan, bahawa dalam harta benda itu ada hak-hak yang lain selain dari har zakat. Mereka itu termasuklah Imam-imam as Nakha’I as-Sya’bi, Atha’ dan Mujahid.

Lihatlah apa kata as-Sya’bi apabila ditanya: Apakah dalam harta benda itu ada lagi hak selain zakat, beliau menjawab: Memang ada lagi hak selain zakat, belian menjawab: Memang ada lagi hak yang lain. Tidak pernahkan engkau mendengar firman Allah Ta’ala.

“Dan dia memberikan pula hartanya yang dikasihinya kepada kaum kerabat.” (al-Baqarah:177)

Dan mereka itu mengambil dalilnya dari: firman Allah Ta’ala

“Dan mereka membelanjakan dari apa yang Kami (Allah) rezekinya kepada mereka.” (al-Baqarah: 3)

Begitu pula dengan firman yang berikut:

“Dan belanjakanlah dari apa yang Kami (Allah) memberi rezeki kepada kamu.” (al-Munafiqun:10)

Ayat ini pula umum termasuk dalam hak seorang Muslim kepada Muslim yang lain. Yakni wajib atas orang yang berkelebihan membantu saudaranya yang berhajat dan menutup keperluannya dari wang yang selain zakat.

Bahagian 3:

Puak atau golongan yang berpegang dengan yang wajib semata-mata, tiada lebh dan tiada kurang. Mereka inilah yang berada di tingkat yang paling rendah sekali. Kebanyakan orag berada di tingkat yang paling rendah sekali. Kebanyakan orang terkira dalam golongan ini disebabkan mereka itu terlalu lokek dengan harat kekayaan yang mereka amat mencintainya itu, dan oleh kerana lemahnya kecintaan mereka terhadap akhirat.

Pengertian 2:

Membersihkan jiwa dari sifat lokek dan bakhil kerana ia adalah salah satu dari sifat-sifat yang membinasakan.

Allah telah berfirman:

“Barangsiapa terselamat dari kekikiran dirinya, maka mereka itulah orang-orang yang berbahagia.” (al-Hashr: 9)

Ketahuilah sifat kikir atau lokek itu tidak akan lenyap dari diri seseorang, melainkan dengan membiasakan diri membelanjakan harta kepada jalan kebajikan, kerana kasih kita kepada sesuatu benda itu tidak akan terputus, melainkan dengan memaksa diri untuk berpisah dengannya, sehingga lama-lama menjadi kebiasaan. Menurut pengertian ini, zakat itu menjadi pensuci diri; iaitu ia akan membersihkan diri seseorang itu dari buruknya sifat lokek atau kikir yang membinasakan itu. Dan kadar pensucian itu adalah diukur banyak sedikitnya dengan kadar perbelanjaannya dari harta itu, dan dengan kadar rasa gembiranya kerana mengeluarkan wang itu, atau merasa puas hati, sebab dia telah membelanjakannya semata-mata kerana mencari keredhaan Allah s.w.t.

Pengertian 3: 

Mensyukuri nikmat, kerana setiap manusia adalah terhutang nikmat kepada Allah s.w.t. pada dirinya dan pada hartanya Oleh itu ibadat yang dilakukan oleh anggota badan ini merupakan suatu kesyukuran terhadap kenikmatan tubuh. Begitu juga membelanjakan wang dalam jalan Allah itu merupakan suatu kesyukuran terhadap kenikmatan harta pula. Alangkah jeleknya seseorang yang melihat si fakir yang sedang dalam kesempitan rezeki dan amat perlu kepada bantuan wang, sedangkan ia tiada mengendahkannya dan tiada memberatkan untuk menunaikan kesyukuran terhadap Allah s.w.t. iaitu dengan menyelamatkannya dari meminta-minta untuk mencukupi keperluannya dan keperluan orang-orang yang ditanggungnya, dengan membelanjakan suku persepuluh (2.5%) ataupun sepersepuluh (10%) dari hartanya.

Ketahuilah bahawa atas orang-orang yang mengeluarkan zakat itu beberapa perkara yang harus diperhatikan:

Pertama:

Menyegerakan pengeluaran zakat sesudah cukup haulnya (iaitu kiraan setahun) dan di dalam zakat fitrah, tiada boleh ditangguhkan hingga hari terbuka, iaitu Hari Raya. Waktu kewajipan zakat fitrah bermula dari tenggelamnya matahari hari terakhir dari Ramadhan dan boleh disegerakan pengeluarannya pada sepanjang bulan Ramadhan.

Orang yang sengaja melambatkan pengeluaran zakatnya padahal ia berkuasa adalah berdosa besar, dan kewajipan itu tidaklah gugur daripadanya sekiranya hartanya binasa sesudah itu. Kiranya ia lambat mengeluarkannya kerana mencari orang-orang yang berhak menerimanya, tidaklah terkira dalam pengertian sengaja melambatkan dan kerana itu tidak ia berdosa.

Menyegerakan pengeluaran zakat umumnya adalah harus.

Kedua:

Tiada boleh memindahkan sedekah atau zakat itu ke negeri yang lain, sebab kaum fakir miskin di setiap negeri sentiasa mengharap-harapkan kepada harta benda dari zakat. Apabila harta benda zakat itu dipindahkan ke tempat lain akan kecewalah harapan mereka itu. Andaikata dipindahkan juga harta benda zakat itu, maka hukumnya sah juga dengan khilaf setengah ulama. Tetapi meninggalkan perkara yang ada khilaf ulama itu adalah lebih utama; iaitu sebaik-baiknya ia mengeluarkan zakat hartanya itu di negerinya sendiri. Dan tiada mengapalah kalau ia memberikan sebahagian dari zakatnya itu kepada orang-orang gharib (orang-orang asing yang datang ke situ) yang berada di negerinya itu juga.

Ketiga:

Hendaklah ia mengeluarkan kepada sebilangan orang dari asnaf-asnaf delapan yang ada di negerinya itu. Yang biasanya pada tiap-tiap negeri hanya yang ada empat asnaf saja iaitu: (1) Fakir, (2) Miskin, (3) Ghaarim atau orang yang dibebani oleh hutang, dan (4) Orang yang terlantar, yakni Ibnu Sabil yang terkandas di negeri orang.

Tiada wajib atasnya untuk membahagikan zakatnya itu sama rata menurut bilangan asnaf.

Kitab Rahsia Zakat – Pendahuluan

Allah s.w.t. telah menjadikan zakat itu salah satu sendi bagi bangunan Islam, dan diikutkan sertakan sebutan zakat pula dengan sebutan sembahyang yang menjadi setinggi-tinggi panji-panji agama Islam.

Allah berfirman:

“Dirikanlah sembahyang dan keluarkanlah zakat” (al-Baqarah: 110)

Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Islam itu didirikan atas lima perkara (1) Penyaksian bahawasanya tiada tuhan melainkan Allah dan bahawasnya Muhammad itu hambaNya dan RasulNya, (2) mendirikan sembahyang, (3) Mengeluarkan zakat, (4) Berpuasa Ramadhan, dan (5) Berhaji ke Baitullah (Ka’bah) bagi sesiapa yang berkuasa menuju kepadanya.”

Allah Ta’ala telah mengancam dengan sekeras-kerasnya terhadap orang-orang yang melalaikan perintah-perintahNya dengan berfirman:

“Orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tiada membelanjakan pada jalan Allah, maka beritahukanlah mereka itu akan ditimpa azab yang amat pedih.” (at-Taubah: 34)

Maksud dari membelanja pada jalan Allah ialah mengeluarkan zakat.

Al-Ahnaf bin Qais berkata: Pada suatu masa saya sedang duduk-duduk bersama-sama beberapa orang Quraish, lalu Abu Zar melintas seraya berkata: Beritahukanlah kepada orang-orang yang mendamkan hartanya (tiada mengeluarkan zakat) bahawa mereka akan diselar dengan api dari tengkuknya menembusi dahinya pula.

Dengan adanya ancaman yang begitu keras itu, maka adalah menjadi satu tugas- yang penting bagi Agama Islam untuk mendedahkan rahsia-rahsia zakat dan maksud-maksudnya yang lahir dan batin. Dalam hal ini ada beberapa fasal.

[Bahagian Kitab Rahsia Zakat ini adalah bahagian yang tertinggal (tajuk 1-4) dari posting-posting yang telah disiarkan sebelum ini di awal Februari 2010 (tajuk 5-8)]

Kandungan Kitab Rahsia Zakat:

  1. Pendahuluan
  2. Menunaikan zakat dan syarat-syaratnya
  3. Rahsia zakat sebagai sendi Agama Islam
  4. Tugas-tugas mengeluarkan zakat
  5. Pembahagian zakat dan asnaf-asnaf penerimanya
  6. Tugas-tugas penerima zakat
  7. Sedekah tathawwu’ dan keutamaannya
  8. Keutamaan sedekah yang disembunyikan
Klik pada tajuk-tajuk di atas untuk baca seterusnya.

Pihak kami ingin memohon maaf kerana blog ini tidak dapat dikemaskini semenjak 3 minggu lepas.

Namun demikian, Alhamdulillah, blog ini telah pun secara beransur-ansur dapat memuatkan isi dari Kitab Bimbingan Mukminin (Mau’izhatul Mukminin) dengan memindahkan kandungan yang telah disiarkan sebelum di Geocities (yang kini sudah tamat perkhidmatannya).

Insha Allah, sambungan dari posting yang terakhir dari bab Kitab Uzlah (Menyendiri) Dan Pergaulan akan disambung dengan bab seterusnya Kitab Tata-tertib Pelayaran (Musafir).

Tetapi sebelum itu, blog ini akan mengemaskinikan bab dari Kitab Zakat yang tidak lengkap disiarkan (bahagian awal bab tersebut didapati tertinggal). Maka untuk seminggu ini, sebelum Ramadan, posting-posting yang tertinggal itu akan dimuatkan bagi melengkapkan Kitab Zakat.

Syukur Alhamdulillah juga, blog ini yang telah bermula pada Februari 2009 telah secara beransur mendapat sambutan baik yang berterusan dengan peningkatan “hits”nya yang kini telah berjumlah lebih 30,000 capaian. Dengan permulaan, purata kurang dari 10 capaian sehari pada 2009, ianya telah meningkat kepada purata 40 capaian sehari pada tahun 2010. Setakat Julai 2011 ini, purata capaian harian untuk tahun ini telah hampir 80 “hits” sehari.

Semoga ianya bermanafaat untuk mereka yang membaca dan memerlukan maklumat-maklumat yang dipaparkan.

Jika ada sebarang cadangan untuk menambahbaikkan lagi blog ini sila ajukan. Wassalam

Bersambung dari Kitab Uzlah (Menyendiri) Dan Pergaulan bab kecil  Faedah pergaulan – Merendah diri (2)

Pengalaman-pengalaman hidup amat berfaedah bagi manusia, dan ia dapat dicapai oleh seseorang menerusi percampur gaulan dengan manusia ramai, dan mengambil tahu tentang hal-ehwal penghidupan mereka.

Menerusi akal yang dilengkapi oleh Allah Ta’ala bagi manusia saja, tidak memadai untuk memahami maslahat-maslahat agama dan dunia. Tetapi faedahnya dapat dicapai menerusi pengalaman-pengalaman dan percubaan-percubaan itu.

Misalnya seorang anak kecil jika dipencilkan dari orang ramai, tentulah ia akan dikelubungi oleh sifat bodoh dan tolol. Yang semestinya bagi anak kecil itu berusaha, untuk menuntut ilmu pengetahuan, dan dalam masa menuntut ilmu itu, ia akan memperoleh segala yang diperlukan dari berbagai pengalaman.

Kemudian pengalaman-pengalaman selainnya akan diperolehinya pula, dengan mendengar berbagai-bagai hal yang berlaku di sekitarnya. Kebodohan dan ketololan itu akan melenyapkan banyak amalan-amalan yang berfaedah, tetapi sebaliknya ilmu pengetahuan akan mengharumi amalan-amalan, meskipun sedikit saja bilangannya. Kalaulah tidak kerana demikian, manakah boleh diutamakan ilmu pengetahuan ke atas amalan-amalan.

Syariat Islam sendiri telah menentukan kelebihan seorang alim ke atas orang ‘abid yang banyak ibadatnya sehingga Rasulullah s.a.w. sendiri telah bersabda:

“Kelebihan orang alim ke atas orang’abid, laksana kelebihanku ke atas orang yang paling rendah dari para sahabatku.”

Pendek kata, bila anda faham penuh teliti segala huraian yang lalu mengenai faedah-faedah dan bahaya-bahayanya, akan menjadi senanglah bagi anda untuk menentukan mana satu yang lebih utama antara bercampur gaul dengan memencilkan diri atau uzlah. Sebenarnya yang demikian itu berbeza-beza menurut perbedaan hal dan keadaan.

**********************

Tamat Kitab Uzlah (Menyendiri) Dan Pergaulan – untuk kembali ke senarai kandungan bab ini – klik

Bersambung dari Kitab Uzlah (Menyendiri) Dan Pergaulan bab kecil  Faedah pergaulan – Merendah diri

Ketahuilah, bahawa uzlah dan pemencilan diri kerana sebab-sebab serupa ini, adalah suatu kejahilan dan kebodohan dan boleh ditinjau dari beberapa segi seperti berikut:

1. Bersifat tawadhu; dalam percampuran gaulan dengan orang ramai, tidak sama sekali mengurangkan kedudukan atau darjat orang yang merasa sombong dan congkak (terlalu sombong), disebabkan banyak ilmunya atau mendalam agamanya.

2. Orang yang suka menonjol-nonjolkan diri untuk mendapatkan keredhaan orang ramai, dan memancing kepercayaan mereka kepadanya, adalah orang yang ditipu oleh kemegahan diri sendiri. Sebab kalaulah ia telah mengenal Allah dengan sebenar pengenalan dam makrifat, tentulah ia akan maklum bahawa semua makhluk tidak dapat memberikan apa-apa manfaat kepadanya dalam sesuatu perkara selain dari Allah. Dan bahawasanya semua bahaya dan manfaat itu adalah dalam kekuasaan Allah dan takdirNya, malah untuk memperoleh keredhaan manusia sepenuhnya, adalah seperkara yang sukar untuk dicapai. Oleh yang demikian maka keredhaan Allah itu adalah lebih utama dituntut.

Kerana hal ini jugalah maka Imam Syafi’i telah berkata kepada Yunus bin Abdul A’la: Demi Allah! Apa-apa yang saya katakan kepadamu ini, ialah sebagai nasihat semata-mata. Ingatlah, tidak ada jalan untuk mencapai keselamatan dari mana-mana manusia pun.

Oleh kerana itu, maka hendaklah engkau teliti baik-baik, apa yang boleh mendatangkan kemaslahatan bagimu hendaklah engkau lakukan.

Kalau begitu, barangsiapa yang sengaja memencilkan dirinya di dalam rumah, dengan tujuan agar orang ramai dapat memandangnya dengan pandangan penuh kepercayaan dan i’tikad, adalah dalam bahaya yang besar di dalam dunia, kemudian azab di akhirat pula akan menunggunya dan azab lebih besar kiranya mereka mengetahui.

Kesimpulannya:

Tidakkah dipandang baik menguzlahkan diri atau duduk berpencilan seorang diri menghabiskan masa, kecuali kalau kerana tujuan mempelajari ilmu pengetahuan, sekira-kira jika ia bergaul dengan orang ramai nescaya semua masanya akan hilang, dan banyak pula bahaya lain yang akan timbul.