Bersambung dari Kitab Uzlah (Menyendiri) Dan Pergaulan bab kecil  Faedah pergaulan – Merendah diri

Ketahuilah, bahawa uzlah dan pemencilan diri kerana sebab-sebab serupa ini, adalah suatu kejahilan dan kebodohan dan boleh ditinjau dari beberapa segi seperti berikut:

1. Bersifat tawadhu; dalam percampuran gaulan dengan orang ramai, tidak sama sekali mengurangkan kedudukan atau darjat orang yang merasa sombong dan congkak (terlalu sombong), disebabkan banyak ilmunya atau mendalam agamanya.

2. Orang yang suka menonjol-nonjolkan diri untuk mendapatkan keredhaan orang ramai, dan memancing kepercayaan mereka kepadanya, adalah orang yang ditipu oleh kemegahan diri sendiri. Sebab kalaulah ia telah mengenal Allah dengan sebenar pengenalan dam makrifat, tentulah ia akan maklum bahawa semua makhluk tidak dapat memberikan apa-apa manfaat kepadanya dalam sesuatu perkara selain dari Allah. Dan bahawasanya semua bahaya dan manfaat itu adalah dalam kekuasaan Allah dan takdirNya, malah untuk memperoleh keredhaan manusia sepenuhnya, adalah seperkara yang sukar untuk dicapai. Oleh yang demikian maka keredhaan Allah itu adalah lebih utama dituntut.

Kerana hal ini jugalah maka Imam Syafi’i telah berkata kepada Yunus bin Abdul A’la: Demi Allah! Apa-apa yang saya katakan kepadamu ini, ialah sebagai nasihat semata-mata. Ingatlah, tidak ada jalan untuk mencapai keselamatan dari mana-mana manusia pun.

Oleh kerana itu, maka hendaklah engkau teliti baik-baik, apa yang boleh mendatangkan kemaslahatan bagimu hendaklah engkau lakukan.

Kalau begitu, barangsiapa yang sengaja memencilkan dirinya di dalam rumah, dengan tujuan agar orang ramai dapat memandangnya dengan pandangan penuh kepercayaan dan i’tikad, adalah dalam bahaya yang besar di dalam dunia, kemudian azab di akhirat pula akan menunggunya dan azab lebih besar kiranya mereka mengetahui.

Kesimpulannya:

Tidakkah dipandang baik menguzlahkan diri atau duduk berpencilan seorang diri menghabiskan masa, kecuali kalau kerana tujuan mempelajari ilmu pengetahuan, sekira-kira jika ia bergaul dengan orang ramai nescaya semua masanya akan hilang, dan banyak pula bahaya lain yang akan timbul.

Advertisements