Bersambung dari Kitab Uzlah (Menyendiri) Dan Pergaulan bab kecil  Faedah pergaulan – Merendah diri (2)

Pengalaman-pengalaman hidup amat berfaedah bagi manusia, dan ia dapat dicapai oleh seseorang menerusi percampur gaulan dengan manusia ramai, dan mengambil tahu tentang hal-ehwal penghidupan mereka.

Menerusi akal yang dilengkapi oleh Allah Ta’ala bagi manusia saja, tidak memadai untuk memahami maslahat-maslahat agama dan dunia. Tetapi faedahnya dapat dicapai menerusi pengalaman-pengalaman dan percubaan-percubaan itu.

Misalnya seorang anak kecil jika dipencilkan dari orang ramai, tentulah ia akan dikelubungi oleh sifat bodoh dan tolol. Yang semestinya bagi anak kecil itu berusaha, untuk menuntut ilmu pengetahuan, dan dalam masa menuntut ilmu itu, ia akan memperoleh segala yang diperlukan dari berbagai pengalaman.

Kemudian pengalaman-pengalaman selainnya akan diperolehinya pula, dengan mendengar berbagai-bagai hal yang berlaku di sekitarnya. Kebodohan dan ketololan itu akan melenyapkan banyak amalan-amalan yang berfaedah, tetapi sebaliknya ilmu pengetahuan akan mengharumi amalan-amalan, meskipun sedikit saja bilangannya. Kalaulah tidak kerana demikian, manakah boleh diutamakan ilmu pengetahuan ke atas amalan-amalan.

Syariat Islam sendiri telah menentukan kelebihan seorang alim ke atas orang ‘abid yang banyak ibadatnya sehingga Rasulullah s.a.w. sendiri telah bersabda:

“Kelebihan orang alim ke atas orang’abid, laksana kelebihanku ke atas orang yang paling rendah dari para sahabatku.”

Pendek kata, bila anda faham penuh teliti segala huraian yang lalu mengenai faedah-faedah dan bahaya-bahayanya, akan menjadi senanglah bagi anda untuk menentukan mana satu yang lebih utama antara bercampur gaul dengan memencilkan diri atau uzlah. Sebenarnya yang demikian itu berbeza-beza menurut perbedaan hal dan keadaan.

**********************

Tamat Kitab Uzlah (Menyendiri) Dan Pergaulan – untuk kembali ke senarai kandungan bab ini – klik

Advertisements