Dalam membincangkan rahsia-rahsia zakat itu ada tiga pengertian:

Pengertian 1:

Penyebutan dua kalimah syahadat itu mengertikan suatu pengakuan terhadap wajibnya sifat keEsaan bagi Allah s.w.t. dan sebagai penyaksian akan satunya Tuhan yang disembah. Syarat bagi penyempurnaan pengakuan ini, hendaklah jangan sampai ada bagi orang mengEsakan Allah tadi suatu zat lain yang amat dikasihinya atau dicintainya lagi selain dari Zat yang Maha Esa dan Maha Satu itu. Sebab kecintaan yang sempurna itu tidak mengakui adanya persekutuan dengan yang lain. Mengakui keesaan dengan lidah semata-mata kurang kesannya pada diri, akan tetapi seseorang yang mengakui kecintaan itu akan diduga tingkatan kecintaanya dengan terpisahnya orang yang dicintai itu.

Harta kekayaan pula adalah barang yang amat dicintai oleh manusia, sebab ia merupakan mata benda yang boleh menyenangkan mereka dalam kehidupan di dunia dan dengan adanya harta kekayaan itu manusia akan merasa kelapangan hidup di dalam alam yang fana ini, dan mereka akan melarikan diri dari maut, padahal hanya dengan maut sajalah akan bertemu pengasih dengan kekasihnya; iaitu Allah s.w.t. lalu mereka itu di duga tentang kebenaran pengakuan mereka terhadap Zat yang dicintainya itu sama ada benar atau palsu; iaitu melalui harta kekayaan yang dikejar dan disanjungnya dalam kehidupan yang fana’ ini.

Allah Ta’ala berfirman:

“Sesungguhnya Allah Ta’ala telah membeli dari kaum Mu’minin itu diri mereka dan harta kekayaan mereka dengan janji akan memberikan mereka syurga” (at-Taubah: 111)

Yang demikian itu akan terhasilnya dengan berjihad; iaitu menukar gantikan dengan nyawa, kerana sangat cinta untuk bertemu dengan Allah yang dicintaiNya itu, tetapi ini hanya menukar ganti dengan harta benda saja, dan ia adalah lebih ringan dari pertama tadi.

Apabila pengertian serupa ini diumumkan pada membelanjakan harta kekayaan, maka orang ramai pun terbagi kepada tiga bahagian:

Bahagian 1:

Suatu puak mengutamakan tauhid atau keesaan Allah, lalu membelanjakan semua harta kekayaan mereka, tiada sedinar ataupun sedirham pun yang tinggal lagi. Termasuk dalam puak ini ialah Saiyidina Abu Bakar as-Sidiq yang telah membawa semua hartanya kepada Rasulullah s.a.w. untuk dibahagi-bahagikan.

Bahagian 2:

Sepuak lagi yang rendah sedikit tingkatannya dari puak yang pertama tadi; iaitu orang-orang yang menahan hartanya untuk dibelanjakan pada waktu-waktu keperluan dan masa-masa mengeluarkan khairat atau sedekah. Jadi maksudnya menyimpan wang itu adalah untuk membelanjakan ke atas kadar keperluannya saja tanpa bersenang-senang dengannya dan selebih dari kadar keperluannya itu dibelanjakan kesemuanya kepada perkara-perkara kebajikan tidak kira apa saja rupanya.

Orang-orang dari puak ini tiada memandang cukup dengan mengeluarkan zakat semata-mata, malah sedekah-sedekah yang lain pun turrut dikeluarkan sama. Sebahagian terbesar dari para tabi’in menentukan, bahawa dalam harta benda itu ada hak-hak yang lain selain dari har zakat. Mereka itu termasuklah Imam-imam as Nakha’I as-Sya’bi, Atha’ dan Mujahid.

Lihatlah apa kata as-Sya’bi apabila ditanya: Apakah dalam harta benda itu ada lagi hak selain zakat, beliau menjawab: Memang ada lagi hak selain zakat, belian menjawab: Memang ada lagi hak yang lain. Tidak pernahkan engkau mendengar firman Allah Ta’ala.

“Dan dia memberikan pula hartanya yang dikasihinya kepada kaum kerabat.” (al-Baqarah:177)

Dan mereka itu mengambil dalilnya dari: firman Allah Ta’ala

“Dan mereka membelanjakan dari apa yang Kami (Allah) rezekinya kepada mereka.” (al-Baqarah: 3)

Begitu pula dengan firman yang berikut:

“Dan belanjakanlah dari apa yang Kami (Allah) memberi rezeki kepada kamu.” (al-Munafiqun:10)

Ayat ini pula umum termasuk dalam hak seorang Muslim kepada Muslim yang lain. Yakni wajib atas orang yang berkelebihan membantu saudaranya yang berhajat dan menutup keperluannya dari wang yang selain zakat.

Bahagian 3:

Puak atau golongan yang berpegang dengan yang wajib semata-mata, tiada lebh dan tiada kurang. Mereka inilah yang berada di tingkat yang paling rendah sekali. Kebanyakan orag berada di tingkat yang paling rendah sekali. Kebanyakan orang terkira dalam golongan ini disebabkan mereka itu terlalu lokek dengan harat kekayaan yang mereka amat mencintainya itu, dan oleh kerana lemahnya kecintaan mereka terhadap akhirat.

Pengertian 2:

Membersihkan jiwa dari sifat lokek dan bakhil kerana ia adalah salah satu dari sifat-sifat yang membinasakan.

Allah telah berfirman:

“Barangsiapa terselamat dari kekikiran dirinya, maka mereka itulah orang-orang yang berbahagia.” (al-Hashr: 9)

Ketahuilah sifat kikir atau lokek itu tidak akan lenyap dari diri seseorang, melainkan dengan membiasakan diri membelanjakan harta kepada jalan kebajikan, kerana kasih kita kepada sesuatu benda itu tidak akan terputus, melainkan dengan memaksa diri untuk berpisah dengannya, sehingga lama-lama menjadi kebiasaan. Menurut pengertian ini, zakat itu menjadi pensuci diri; iaitu ia akan membersihkan diri seseorang itu dari buruknya sifat lokek atau kikir yang membinasakan itu. Dan kadar pensucian itu adalah diukur banyak sedikitnya dengan kadar perbelanjaannya dari harta itu, dan dengan kadar rasa gembiranya kerana mengeluarkan wang itu, atau merasa puas hati, sebab dia telah membelanjakannya semata-mata kerana mencari keredhaan Allah s.w.t.

Pengertian 3: 

Mensyukuri nikmat, kerana setiap manusia adalah terhutang nikmat kepada Allah s.w.t. pada dirinya dan pada hartanya Oleh itu ibadat yang dilakukan oleh anggota badan ini merupakan suatu kesyukuran terhadap kenikmatan tubuh. Begitu juga membelanjakan wang dalam jalan Allah itu merupakan suatu kesyukuran terhadap kenikmatan harta pula. Alangkah jeleknya seseorang yang melihat si fakir yang sedang dalam kesempitan rezeki dan amat perlu kepada bantuan wang, sedangkan ia tiada mengendahkannya dan tiada memberatkan untuk menunaikan kesyukuran terhadap Allah s.w.t. iaitu dengan menyelamatkannya dari meminta-minta untuk mencukupi keperluannya dan keperluan orang-orang yang ditanggungnya, dengan membelanjakan suku persepuluh (2.5%) ataupun sepersepuluh (10%) dari hartanya.

Advertisements