Di antara tugas dalam mengeluarkan zakat, yang pertama, ialah menyegerakan pengeluarannya sebelum waktu kewajibannya, kerana melahirkan tanda kesenangan diri, untuk menjujung perintah Allah, dan kerana keinginan untuk menimbulkan rasa kegembiraann di dalam hati para fakir-miskin. Tindakan mempercepatkan pengeluaran zakat ini boleh menolak halangan-halangan atau gangguan-gangguan masa; mana tahu nanti kelebihan-kelebihan yang ada itu akan lenyap kerana sesuatu sebab yang tak terduga.

Kemudian kita juga tentu maklum bahawa dalam menangguhkan pengeluaran zakat itu ada beberapa bencana, selain kita akan berdosa kerana menlanggar perintah Tuhan, sebab melewatkan pengeluaran zakat itu dari waktu kewajibannya.

Jadi sayugia diingatkan, apabila tergerak di dalam hati niat yang baik untuk menyegerakan zakat, maka janga sampai menangguh-nangguhkan lagi, bahkan hendaklah menggunakan kesempatan itu sepenuhnya kerana yang demikian itu adalah bisikan Malaikat kepada kita. Kalau tidak, dikhuatiri hati itu akan bertukar tujuan, dan manakala syaitan sentiasa menunggu di pintu hati menjanjikan kita kefakiran, yakni menakut-nakutkan kita menjadi papa-kedana, sebagaimana firman Allah:

Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu akan kefakiran dan menggalakkan kamu melakukan kekejian dan kemungkaran.” (al-Baqarah: 268)

Sebagaimana Malaikat sentiasa membisikkan kepada kita dengan perkara-perkara yang baik-baik, syaitan pula membisikkan sebaliknya. Dan bisikan syaitan itu tidak pernah terputus, sesudah satu tidak berjaya datang pula yang lainnya secara terus-menerus maka hendaklah kita berjaga-jaga daripadanya. Jadi bila ada keinginan yang baik timbul di dalam hati, maka janganlah ditinggalkan peluang itu berlalu begitu saja.

Advertisements