Tugas kedua dalam mengeluarkan zakat ialah melakukannya secara rahsia, tidak dihebahkan ke sana ke mari, kerana yang demikian itu akan menjauhkan amalan itu daripada riya’ dan minta dipuji ramai.

Allah berfirman:

“Jika sekiranya kamu rahsiakan (sedekah) dan kamu memberikannya kepada para fakir, maka itu adalah lebih utama bagimu.” (al-Baqarah: 271)

Sebahagian pengeluar zakat yang ingin mendapatkan keutamaan merahsiakan pengeluarannya, sehingga mereka mencuba agar orang yang menerima zakat itu tidak mengetahui siapakah pemberinya.

Ada juga yang memberi zakat dengan perantaraan orang lain, supaya si fakir yang menerima itu tiada mengetahui si kaya yang mengeluarkannya. Paling kurang ia akan memesan orang yang akan menyampaikan zakat itu, supaya merahsiakan pemberian itu, dan jangan dibocorkan rahsianya; semuanya itu dilakukan tiada lain, kerana mencari keredhaan Allah Ta’ala dan memelihara diri dari perasaan ria’, atau bermegah diri.

Tetapi apabila amalannya itu diisytiharkan untuk menuntut kemasyuran, maka hancur-leburlah amalan itu, tanpa apa pahala lagi padanya.

Advertisements