August 2011
Monthly Archive
August 30, 2011
Posted by akarimomar under
musafir
1 Comment
Tertib kelima orang musafir ialah hendaklah ia berhati-hati bila bermusafir bersama-sama suatu kumpulan ramai (kafilah), janganlah sampai ia berjalan sendirian berjauhan dari mereka, agar tidak tersesat jalan, terutama sekali bila ia tertidur di waktu malam, hendaklah lebih berhati-hati.
Dan bila sampai waktu hendak tidur di malam hari, maka hendaklah kawan-kawan sepelayaran itu berganti-ganti berjaga malam.
Selain itu, sebaik-baiknya hendaklah ia membawa cermin, gunting, berus gigi dan sikat.
Janganlah hendaknya terlalu cerewet dalam bertaharah (bersuci), sebab orang-orang yang terdahulu hanya memadai dengan bertayamum saja, agar tidak memberatkan diri mereka untuk membawa air bersama.
Bila berwudhu’ pula mereka tidak memperdulikan sangat, kiranya air itu dari lopak-lopak atau sebagainya, selagi mereka tiada meyakini bahawa air itu najis.
Sayidina Umar Ibnul-Khattab sendiri pernah berwudhu’ dari sebuah bejana seorang Nasrani.
Klik untuk kembali ke tajuk: Tata-tertib orang musafir
Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Tata-tertib Pelayaran (Musafir)”
August 28, 2011
Posted by akarimomar under
musafir
1 Comment
Tertib keempat orang musafir ialah hendaklah ia menaruh perasaan belas kasihan ke atas binatang yang ia mengenderainya. Jangan membebankan ke atasnya bermacam-macam muatan, sehingga binatang itu tidak tertanggung memikulnya. Jangan sekali-kali memukul binatang itu di mukanya, sebab yang demikian itu adalah di larang. Sunnat pula ia turun dari atas tunggangannya itu sekali-sekala, agar binatang itu dapat berehat sebentar, manakala tuan punya binatang itu pula akan merasa gembira bila melihat binatang itu tidak dibebani sangat.
Dalam pada itu badan juga perlu beristirehat agar segala anggotanya tidak terasakan penat, disebabkan terlalu lama duduk tunggangannya.
Seterusnya jangan sekali-kali menambah barang-barang yang dibebankan ke atas binatang itu, selain dari apa yang telah dipersetujui, meskipun barang yang ditambah itu kecil atau ringan saja, kerana yang kecil atau sedikit itu boleh membawa kepada banyak pula.
Pernah berlaku, seorang kawan berkata kepada Ibnul-Mubarak yang sedang di atas tunggangannya: Tolonglah bawakan surat ini kepada teman saya si fulan! Ibnul-Mubarak menjawab: Tunggu dulu! Saya minta izin kepada tuan punya kenderaan ini, sebab saya tidak mensyaratkan kepadanya membawa surat ini.
Lihatlah bagaimana wara’nya Ibnul-Mubarak ini. Dia telah membelakangi pendapat ahli-ahli ilmu fiqh yang mengatakan, bahawa membawa barang-barang seperti surat itu adalah di antara perkara tolak-ansur (yakni: tidak patut diperkirakan sangat), akan tetapi Ibnul Mubarak tetap berpegang dengan jalan kewara’annya (yakni: tiap-tiap sesuatu mestilah menurut jalannya yang terang).
Klik untuk kembali ke tajuk: Tata-tertib orang musafir
Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Tata-tertib Pelayaran (Musafir)”
August 26, 2011
Posted by akarimomar under
musafir
1 Comment
Tertib ketiga orang musafir ialah ketika hampir berangkat, hendaklah ia mengucapkan ‘Selamat Tinggal’ kepada sahabat-handai, rakan-taulan, anak-isteri dan sekalian keluarga.
Ketika hendak berpisah dia mendoakan pula kepada orang-orang yang menghantarnya bermusafir dengan berkata:
“Saya serahkan kepada Allah agamanu, amanatmu dan segala kesudahan amalanmu.”
Orang-orang yang menghantar berdoa pula:
“Semoga Allah sentiasa menambahmu dengan taqwa dan mengampunkan dosamu serta mendorongmu kepada kebaikan ke mana saja anda menuju.”
Orang yang hendak bermusafir itu, hendaklah bersembahyang dua rakaat sunnat istikharah. Apabila ia sampai ke pintu rumahnya hendaklah ia membaca:
“Dengan nama Allah, aku bertawakkal hanya kepada Allah, tiada upaya dan tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah. Ya Tuhanku aku berlindung kepadaMu agar tiada sesat ataupun disesatkan tiada tergelincir ataupun digelincirkan tiada aniaya ataupun dianiayakan, tiada menjadi bodoh ataupun dibodohkan oleh orang lain.”
Apabila menaiki kenderaan atau sebagainya, dia membaca pula:
سُبْحانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنقَلِبُونَ
“Maha Suci Tuhan yang telah mengerahkan kenderaan ini bagi kita, padahal kita tiada berkuasa untuk menundukkannya, dan bahawasanya kita sekalian pasti akan kembali juga kepada Allah.”
Klik untuk kembali ke tajuk: Tata-tertib orang musafir
Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Tata-tertib Pelayaran (Musafir)”
August 24, 2011
Posted by akarimomar under
musafir
1 Comment
Tertib kedua orang musafir hendak ia sebaik-baiknya mengajak seorang kawan untuk menemaninya dalam pelayaran itu, dan jangan dia berpergian seorang diri saja.
Kata orang: Cari kawan dulu, kemudian baru tentu perjalanan.
Kawan yang dipilih itu, biarlah orang yang boleh menasihatinya dalam urusan-urusan agama, sehingga kawan itu boleh mengingatkan sesuatu kewajiban bila ia terlupa membantu dan menolongnya pula bila ia teringat. Sebab telah disebutkan sebelum ini, bahawa seseorang itu dapat dianalisa dengan perjalanan kawannya. Jadi kalau hendak mengetahui perilaku seseorang itu lihatlah kepada perilaku kawannya.
Rasulullah s.a.w. sendiri telah melarang orang yang berpergian seorang diri saja. Baginda bersabda:
Jika kamu tiga orang dalam satu-satu pelayaran, maka hendaklah kamu lantik seorang menjadi ketua.
Ketua yang dilantik itu, biarlah seorang yang baik akhlak dan budi pekertinya, berbelas kasihan terhadap kawan-kawan, lebih mengutamakan kepentingan kawan dari diri sendiri, dan bijak menyatukan-padukan kemahuan ramai.
Sebab diperlukan ketua, ialah pendapat-pendapat ramai tentunya tidak sama dalam kepentingan pelayaran. Jadi tidak sempurna satu-satu tujuan, melainkan dengan persepakatan ramai dalam tujuan itu, kerana biasanya bila sudah banyak sangat pendapat-pendapat timbullah kacau-bilau.
Adapun sebab teraturnya urusan-urusan alam ini, ialah kerana pentadbirnya ialah Satu, Esa iaitu Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Firman Allah Ta’ala:
“Andaikata pada keduanya (langit dan bumi) ada tuhan-tuhan selain Allah, nescaya keduanya akan binasa.” (al-Anbiya’: 22)
Klik untuk kembali ke tajuk: Tata-tertib orang musafir
Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Tata-tertib Pelayaran (Musafir)”
August 22, 2011
Posted by akarimomar under
musafir
1 Comment
Tertib pertama orang musafir hendak bermula dengan ia mengembalikan semua harta, atau barang-barang yang diperolehinya secara aniya atau dengan cara tipu daya. Sesudah itu, ia membayar pula segala hutang-piutangnya.
Kemudian barulah ia menyediakan nafkah atau perbelanjaan bagi orang-orang yang dalam tanggungannya.
Kemudian mengembalikan pula semua amanat orang yang disimpannya.
Segala perbekalan yang dibawa dalam pelayaran itu hendaklah berupa yang baik dan halal dan sebaiknya dilebihkan sedikit untuk dibahagi-bahagikan kepada teman-teman yang ikut serta dalam pelayaran itu.
Ketika dalam pelayaran, biarlah segala percakapannya dari kata-kata yang manis dan baik didengar orang, dan membiasakan selalu memberi makan kepada orang lain, dan menampakkan akhlak dan budi pekerti yang mulia. Kerana pelayaran itu selalunya menimbulkan sebab-sebab kejengkelan, maka barangsiapa yang sanggup memperbagusi akhlaknya dalam masa kejengkelan itu, maka itulah yang dinamakan orang yang luhur budi pekertinya.
Seterusnya untuk lebih menyempurnakan keluhuran budi pekerti bagi orang musafir ialah dengan berbuat baik terhadap orang-orang yang menyewakan sesuatu keperluan di dalam pelayaran itu, juga terhadap kawan-kawan sepelayaran dengan memberinya berbagai-bagai bantuan sekadar yang termampu.
Selain itu sebaik-baiknya ia menolong orang-orang yang tergendala di dalam perjalanan dengan memberinya kenderaan atau makanan yang diperlukannya.
Tambahan lagi hendaklah ia sering menunjukkan rasa kemesraan dengan kawan-kawan sepelayaran dengan berlebih kurang, bersenda-gurau, membawakan cerita-cerita yang menggelikan hati di masa-masa yang lapang, tanpa menyentuh perasaan orang lain, atau pun terkait dengan sesuatu maksiat.
Semua ini bermaksud semata-mata untuk menjadi penawar hati yang dapat melenyapkan kebosanan dalam pelayaran dan menghilangkan kesukaran-kesukarannya.
Klik untuk kembali ke tajuk: Tata-tertib orang musafir
Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Tata-tertib Pelayaran (Musafir)”
August 20, 2011
Posted by akarimomar under
musafir
[8] Comments
Ada beberapa tata-tertib yang harus diperhatikan oleh seorang musafir dari mula ia berangkat, sampai ia kembali semula ke rumahnya. Ianya terbahagi kepada tata-tertib lahiriah dan tata-tertib batiniah.
Tata-tertib lahiriah adalah:
- Berangkat dengan harta yang halal
- Berteman dalam pemusafiran
- Mengucapkan ‘Selamat Tinggal’ dan berdoa
- Menaruh belas kasihan ke atas binatang (kenderaan) yang dikenderai
- Mengikut peraturan berkumpulan (kafilah)
- Tata-cara pulang bermusafir
Tata-tertib ini semua akan dibicara lanjut dalam posting berikut.
Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Tata-tertib Pelayaran (Musafir)”
August 18, 2011
Posted by akarimomar under
musafir
1 Comment
Pelayaran (bermusafir) itu boleh terbahagi kepada tiga sifat hukum:
- Pelayaran kerana sebab yang tercela
- Pelayaran kerana sebab yang terpuji
- Pelayaran yang mubah atau harus
Pelayaran kerana sebab yang tercela yang termasuk dalam kategori haram, seperti pelayaran seorang yang menderhaka kepada ibubapanya atau yang termasuk dalam kategori makruh, seperti lari dari negeri yang sedang merebak di dalamnya penyakit taun.
Pelayaran kerana sebab yang terpuji yang termasuk dalam kategori wajib, seperti pelayaran orang yang naik haji untuk menunaikan Rukun Islam Kelima, atau kerana menuntut ilmu pengetahuan yang dikira wajib atas setiap Muslim Muslimah.
Atau yang termasuk dalam kategori sunnat seperti pelayaran seorang yang menziarahi para alim ulama untuk melengkapi diri dengan akhlak dan tata-tertib mereka dan untuk menggerakkan hati demi mencontohi cara hidup mereka, serta mengambil faedah-faedah ilmiah terus dari jiwa mereka.
Adapun pelayaran yang mubah atau yang harus, maka puncanya ialah niat di hati. Jika maksud pelayaran itu, ialah kerana mencari harta dunia agar dengan harta ia dapat menahan diri dari meminta-minta dari orang lain, ataupun kerana memelihara maruah dirinya atas tanggungannya terhadap anak isteri dan keluarga yang mana bila ada kelebihan dari keperluan itu nanti, ia akan mensedekahkan pula kepada orang-orang yang berhajat, maka dengan adanya niat semacam ini, jadilah pelayaran itu mubah atau harus, terkira salah satu dari amalan keakhiratan yang akan diberi pahala kepadanya.
Andaikata seseorang bermusafir kerana menunaikan haji tetapi yang mendorong kepergiannya itu ialah riya’ atau kerana mencari nama, maka sia-sialah amalannya, dan ia terkeluar dari hitungan kerja-kerja keakhiratan.
Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
“Hanyasanya amalan-amalan itu bergantung dengan niat-niatnya.”
Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Tata-tertib Pelayaran (Musafir)”
August 16, 2011
Posted by akarimomar under
musafir
1 Comment
Kategori pelayaran yang keempat ialah kerana menghindarkan diri dari sesuatu yang membahayakan badan, seperti takut terkena taun atau yang membahayakan harta, seperti terlalu mahal harga barang-barang atau yang seumpamanya.
Melakukan semua ini tiada halangannya, bahkan ada kalanya melarikan diri daripada setengah-setengah hal menjadi wajib, dan pada setengah setengah yang lain pula menjadi sunnat iaitu menurut tingkatan-tingkatan faedah yang boleh dicapai dari hal-hal yang dilakukan itu.
Dalam hal ini, hanya yang dikecualikan ialah taun saja, maka hendaklah jangan ia meninggalkan tempat yang wabak penyakit taun itu sedang merebak kerana adanya larangan untuk membuat yang demikian itu kerana dikhuatiri ia merebakkan penyakit itu ketempat lain.
Klik untuk kembali ke tajuk: Beberapa kategori pelayaran (pemusafiran)
Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Tata-tertib Pelayaran (Musafir)”
August 14, 2011
Posted by akarimomar under
musafir
1 Comment
Kategori pelayaran yang ketiga ialah untuk menghindarkan diri dari sebab-sebab yang menganggu agama. Ini juga bertujuan baik, sebab melarikan diri dari sesuatu tekanan yang tidak mampu ditanggung, adalah sunnat dari perjalanan para Nabi dan Rasul.
Adalah menjadi amalan para Salaf Saleh radhiallahu-anhum, bila melihat sesuatu fitnah dalam sesebuah negeri, mereka terus meninggalkan negeri itu, kerana ingin menjauhkan diri dari bahaya dan fitnah tersebut.
Pernah diriwayatkan, bahawa setengah para salaf Saleh ditanya: Hendak ke mana tuan? Katanya: kami dengar ada sebuah perkampungan di sana, barang-barangnya semua murah. Kami ingin tinggal di situ. Lalu ditanya lagi: Adakah perlu dibuat? Jawabnya: Ya, Jika ada orang yang menyampaikan kepadamu di sebuah tempat ada kemudahan-kemudahan semacam itu, maka pindahlah ke sana. Kerana yang demikian itu lebih selamat bagi agamamu, dan lebih meringankan bebananmu. Dan ia adalah untuk melarikan diri dari tempat barang-barangnya terlalu mahal.
Klik untuk kembali ke tajuk: Beberapa kategori pelayaran (pemusafiran)
Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Tata-tertib Pelayaran (Musafir)”
August 12, 2011
Posted by akarimomar under
musafir
1 Comment
Kategori pelayaran yang kedua ialah kerana tujuan-tujuan beribadat seperti menunaikan rukun Haji atau menyahut seruan jihad fi-sabilillah.
Dalam sebuah Hadis berbunyi:
“Tiada diperlengkapkan persediaan pelayaran, melainkan untuk menuju ke tiga buah masjidku (masjid Madinah), Masjidil-Haram (Makkah) dan Masjidil Aqsha.”
Klik untuk kembali ke tajuk: Beberapa kategori pelayaran (pemusafiran)
Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Tata-tertib Pelayaran (Musafir)”
Next Page »