Tugas ketiga dalam mengeluarkan zakat ialah patut juga anda mengisytiharkan pengeluaran zakat itu, kiranya anda yakin dalam pengisytiharan itu ada tanda-tanda akan menggalakkan orang lain untuk mengikuti jejak langkahmu, tetapi harus pula memelihara jangan sampai di dalam hati terbungkus perasaa riya’ atau rasa bermegah diri.

Allah telah berfirman:

“Kiranya kamu menampakkan sedekah-sedekah itu, itu pun baik juga.” (al-Baqarah: 271)

Maksudnya ialah apabila keadaan memaksa untuk menampakkan sedekah-sedekah itu, sama ada supaya menjadi contoh tauladan bagi orang lain untuk mengikutinya ataupun kerana si peminta sedekah itu telah meminta anda di hadapan khalayak ramai, maka tidak sewajarnya anda meninggalkan pemberian sedekah tersebut dengan alasan memberi sedekah secara terang-terangan itu akan menimbulkan riya’ di dalam hati.

Tidak begitu tetapi hendaklah anda memelihara hati daripada riya’ sekadar yang termampu. Sebab di dalam keadaan yang serupa itu ada larangan yang ketiga, selain dari menampakkan budi dan riya’ iaitu mengecilkan hati si peminta itu, kerana mungkin sekali ia akan merasa terhina atau pedih, sebab kelihatan sebagai serang yang perlu dan berhajat di hadapan khalayak ramai.

Barangsiapa yang meminta-minta di hadapan ramai maka sebenarnya dia telah mendedahkan rahsia dirinya, maka janganlah sampai si pemberi pula melanggar kehormatannya lagi. Yakni kerana alasan takutkan ria’ dalam memberi secara terang-terangan itu, dia lalu menolak dan tiada memberinya pula.

Allah telah berfirman:

“dan belanjakanlah dari harta yang Kami (Allah) rezekikan kepadamu secara rahsia atau terang-terangan.” (ar-Ra’ad: 22)

Ayat ini menunjukkan keharusan untuk memberi secara terang-terangan disebabkan adanya faedah untuk mendorong orang lain menurut jejak-langkahnya. Oleh kerana itu hendaklah kita pandai-pandai meneliti dan menimbang-menimbang faedah yang tersebut itu dan memperbandingkannya dengan bahaya yang kita bimbangkan itu.

Barangsiapa yang sudah kenal mana satu yang dikatakan berfaedah dan mana pula yang mengandungi bahaya, tentulah cara yang pertama yang akan dipilih, kerana ia adalah yang utama dan yang patut dipilihnya dalam hal ini.

Advertisements