Tugas keempat dalam mengeluarkan zakat ialah janganlah pula anda merosakkan sedekahmu itu dengan menyebutkannya ke sana ke mari atau dengan menyakiti hati orang yang menerima sedekah itu.

Allah berfirman:

“Janganlah kamu merosakkan sedekah-sedekah kamu itu dengan memuji diri dan cercaan.” (al-Baqarah: 264)

Perkataan al-Manni di dalam ayat di atas tadi, ialah menyebutkan ke sana ke mari dan memberitahu orang lain, bahawa dia telah memberikan si Fulan itu sekian-sekian dari sedekahnya. Ataupun dia memberikan sedekahnya kepada si Fulan, kemudian menyuruh Fulan itu membuat sesuatu kerja. Ataupun dia memberikannya secara menyombong diri.

Dan perkataan al-Adza pula diertikan dengan maksud menampakkan sedekahnya kepada orang ramai, ataupun mencerca Fulan yang menerima sedekah itu kerana kefakirannya atau memakinya atau memburukkan-burukkan keadaannya. Kerana selalu saja meminta-minta.

Asal makna perkataan al-Manni ialah menganggap dirinya berbudi kepada si fakir dan memberinya kenikmatan. Tetapi makna yang sebenarnya ialah sebaliknya; iaitu hendaklah ia memandang si fakir itu berbudi kepadanya dengan menerima hak Allah Azzawajalla daripadanya, yang mana dengan itu akan tersucilah dirinya dan terselamatlah ia dari api neraka.

Renungkanlah andaikata tidak ada orang yang mahu menerima sedekah itu, tentulah kewajipan itu masih tergantung di atas pundaknya. Maka seharusnya dia menganggap dari tanggungjawab yang berat itu.

Walau bagaimanapun barangsiapa telah mengenal dan mengetahui tiga macam pengertian yang telah berlalu sebutannya itu, akan merasa dirinya tidak berbudi apa-apa kepada siapa pun, melainkan kepada dirinya sendiri. Sebab dengan menunaikan zakat itu dia telah mengeluarkan hartanya, sama ada kerana menyatakan kecintaannya kepada Allah s.w.t ataupun kerana membersihkan dirinya dari celaan sifat kikir dan lokek, ataupun kerana kesyukuran terhadap kenikmatan harta yang dimilikinya, mudah-mudahan Allah Ta’ala akan menambah lagi.

Adapun asal makna perkataan Al-Adza, ialah mengganggap dirinya lebih utama dari diri si fakir, dan ini ternyata sekali suatu kebodohan. Sebab kiranya ia mengetahui keutamaan si fakir dalam perkara zakat itu, dan berapa beratnya bahaya orang kaya dalam perkara yang sama, tentu sekali ia tidak akan menghina atau merendahkan diri si fakir itu, malah sebaliknya ia akan mengharap-harapkan untuk memperoleh darjat si fakir itu.

Apa sebabnya? Kerana Allah s.w.t. telah menjadikan kaum fakir-miskin itu tempat orang kaya memperdagangkan nasibnya agar ia terselamat dari tanggungjawabnya; iaitu dengan penerimaan kaum fakir-miskin zakat atau sedekah yang wajib dikelurkan itu.

Advertisements