Tugas ketujuh dalam mengeluarkan zakat ialah dalam mengeluarkan sedekah itu, hendaklah anda memilih orang yang benar-benar boleh membersihkan hartamu dengan sedekah itu. Janganlah hendaknya memadai dengan memilih delapan asnaf yang ada secara umum saja, sebab dalam umum asnaf-asnaf yang delapan itu, ada yang mempunyai sifat-sifat yang khusus.

Maka hendaklah anda mendahului orang-orang yang mempunyai sifat-sifat yang khusus itu, iaitu kepada enam macam:

(1)   Hendaklah anda memilih dari para Salihin orang-orang penuh taqwa kerana sedekah yang didapati mereka itu dapat digunakan untuk jalan taqwa kepada Allah s.w.t. Dengan itu anda akan berkongsi pahala-pahala mereka dalam ketaatan disebabkan pertolongan anda kepada mereka.

(2)   Hendaklah orang yang menerima sedekah itu dari golongan orang-orang ahli ilmu pengetahuan agama, ataupun dari para alim-ulama khasnya, kerana memberikan sedekah itu kepadanya samalah seperti menolong mereka memperkembangkan ilmu pengetahuan agaam. Manakala ilmu pengetahuan agama itu adalah semulia-mulia ibadat di sisi Tuhan, kiranya disertakan dengan niat yang suci.

Ibnu Mubarak sentiasa mengkhususkan bantuannya kepada ahli-ahli ilmu pengetahuan agama. Maka ada orang yang berkata: Mengapa tidak engkau umumkan bantuanmu itu kepada selain mereka. Beliau menjawab: Saya tiada mengetahui ada suatu maqam (kedudukan) yang lebih utama sesudah maqam para Nabi, selain dari maqam alim-ulama. Sebab mereka itu jika dipaksakan untuk mencari keperluan hidup, tentulah mereka tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada ilmu pengetahuan, dan tiada mampu untuk meneruskan pelajarannya maka penumpuan mereka kepada ilmu pengetahuan itu adalah lebih utama oleh itu sayugialah hendaknya kita tolong mereka.

(3)   Hendaklah si penerima itu benar-benar dalam taqwanya kepada Allah Ta’ala dan mendalam ilmu pengetahuannya mengenai tauhid. Maksud di sini, hendaklah bila ia menerima pemberian serta-mertalah ia memuji Allah dan bersyukur kepadaNya. Dan hendaklah ia menganggap bahawa nikmat pemberian itu datangnya dari Allah, dan bahawasanya si pemberi itu adalah wasitah atau pengantara yang ditunjuk oleh Allah dengan kekuasaannya sebab hanya Allah s.w.t sajalah memberangsangkannya untuk melakukan perbuatan baik itu.

Barangsiapa kebatinannya tiada dapat mensifatkan pandangannya terhadap pengantara itu sebagai hanya pengantara semata-mata, maka tentulah ia belum lagi terlepas dari maksud kesyirikan yang tersembunyi. Oleh itu hendaklah ia memperbanyak taqwa kepada Allah s.w.t. dalam jalan membersihkan ketauhidannya dari daki-daki syirik dan kekotorannya.

(4)   Hendaklah si penerima sedekah itu merahsiakan keperluannya, jangan terlalu banyak mengadu atau merayu. Hendaklah mereka itu dari orang-orang yang menjaga maruahnya seperti halnya orang yang pernah hidup mewah, lalu oleh kerana sesuatu sebab atau yang lain, tiba-tiba dia jatuh miskin, tetapi keadaannya tetap seperti biasa juga, tiada pernah meratapi nasibnya, bahkan sentiasa hidup menahan diri.

Allah telah berfirman

“Orang jahil (yang tiada mengetahui halnya) menyangkakan mereka itu kaya raya, sebab mereka tiada pernah meminta-minta Engkau dapat mengenal mereka itu dengan tanda-tandanya. Mereka tiada suka meminta kepada orang lain secara berulang-ulang.”   (al-Baqarah: 273)

Yakni mereka tiada mahu berulang-ulang meminta sebab mereka sebenarnya kaya raya dengan keyakinan kepada Allah dan termulia dengan kesabaran yang ada pada diri mereka.

Sayugialah seseorang yang hendak memberikan sedekahnya itu hendaklah terlebih dulu mencari-cari akan ahli-ahli agama di merata-rata tempat, di samping menyingkap rahsia kebatinan orang-orang yang selalu cenderung pada kebaikan dan kesabaran. Sebab pahala memberikan sedekah kepada orang-orang ini adalah berlipat ganda daripada memberikan sedekah kepada orang-orang yang selalu meminta-minta di khalayak ramai.

(5)   Hendaklah si pemberi sedekah iti memilih pula orang-orang yang banyak tanggungannya ataupun orang-orang yang terlantar kerana sakit ataupun kerana sebab-sebab yang lain, menurut pengertian firma Allah Ta’ala berikut:

“Untuk orang-orang fakir yang terkepung di jalan Allah, yang tiada berkuasa lagi untuk mengusahakan rezekinya di muka bumi.”    (al-Baqarah : 273)

Maksud dari perkataan uh shiruu fi sabillah di sini ialah mereka yang terkurung pada jalan akhirat tidak dapat mengusahakan lagi rezeki anak-isterinya ataupun dikeranakan kesempitan hidup atau kebaikan hati, sehingga seolah-olahnya sayap mereka telah terpotong dan tangan mereka telah terbelenggu.

Dan atas sebab inilah, Saiyidina Umar Ibnul-Khattab r.a. memberi kepada ahlul-bait, yakni keluarga Rasullullah s.a.w. sekelompok kambing 10 ekor ke atas. Dalam masa hayatnya Rasulullah s.a.w. sendiri telah menguruskan kerja-kerja membahagikan pemberian ini menurut kadar keluarga.

Saiyidina Umar Ibnul-Khattab apabila ditanya tentang maksud jahdul-bala’ (bencana yang berat) telah menjawab: Maksudnya ialah terlampau banyak tanggungan (keluarga) dan terlalu sedikit wang pula.

(6) Hendaklah diutamakan pemberian itu kepada kaum kerabat dan keluarga, sehingga pemberian itu merupakan sebagai sedekah dan menyambung silatur-rahim antara keluarga, sedang pahala silatur-rahim ini adalah amat besar sekali.

Saiyidina Ali r.a telah berkata: Jika aku mempereratkan hubungan salah seorang dari saudara maraku dengan memberinya satu dirham saja, adalah lebih aku utamakan daripada aku menderma 20 dirham kepada selain mereka.

Sahabat-sahabat dan rakan-rakan seperjuangan dalam melakukan kebaikan kepada orang ramai hendaklah diutamakan dari kenalan-kenalan biasa yang lain. Sebagaimana diutamakan kaum kerabat dari orang-orang yang asing. Semua ini harus diperhatikan dengan sebaik-baiknya. Itulah sifat-sifat yang dituntut oleh agama dan pada setiap sifat itu ada darjat-darjat keutamaannya.

Oleh itu janganlah dituntut melainkan darjat yang paling tinggi sekali. Kalau ada pula orang yang dapat mengumpulkan semua sifat-sifat keutamaan ini sekaligus maka itulah yang dikatakan simpanan yang paling terbesar dan keuntungan yang amat teragung.