Pelayaran (bermusafir) itu boleh terbahagi kepada tiga sifat hukum:

  1. Pelayaran kerana sebab yang tercela
  2. Pelayaran kerana sebab yang terpuji
  3. Pelayaran yang mubah atau harus

Pelayaran kerana sebab yang tercela yang termasuk dalam kategori haram, seperti pelayaran seorang yang menderhaka kepada ibubapanya atau yang termasuk dalam kategori makruh, seperti lari dari negeri yang sedang merebak di dalamnya penyakit taun.

Pelayaran kerana sebab yang terpuji yang termasuk dalam kategori wajib, seperti pelayaran orang yang naik haji untuk menunaikan Rukun Islam Kelima, atau kerana menuntut ilmu pengetahuan yang dikira wajib atas setiap Muslim Muslimah.

Atau yang termasuk dalam kategori sunnat seperti pelayaran seorang yang menziarahi para alim ulama untuk melengkapi diri dengan akhlak dan tata-tertib mereka dan untuk menggerakkan hati demi mencontohi cara hidup mereka, serta mengambil faedah-faedah ilmiah terus dari jiwa mereka.

Adapun pelayaran yang mubah atau yang harus, maka puncanya ialah niat di hati. Jika maksud pelayaran itu, ialah kerana mencari harta dunia agar dengan harta ia dapat menahan diri dari meminta-minta dari orang lain, ataupun kerana memelihara maruah dirinya atas tanggungannya terhadap anak isteri dan keluarga yang mana bila ada kelebihan dari keperluan itu nanti, ia akan mensedekahkan pula kepada orang-orang yang berhajat, maka dengan adanya niat semacam ini, jadilah pelayaran itu mubah atau harus, terkira salah satu dari amalan keakhiratan yang akan diberi pahala kepadanya.

Andaikata seseorang bermusafir kerana menunaikan haji tetapi yang mendorong kepergiannya itu ialah riya’ atau kerana mencari nama, maka sia-sialah amalannya, dan ia terkeluar dari hitungan kerja-kerja keakhiratan.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Hanyasanya amalan-amalan itu bergantung dengan niat-niatnya.” 

 

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Tata-tertib Pelayaran (Musafir)”

Advertisements