September 2011
Monthly Archive
September 30, 2011
Berfirman Allah:
“Allah telah meletakkan laknatNya ke atas orang-orang kafir dari kaum Bani Israel atas lisan (lidah) Daud dan Isa bin Maryam. Yang demikian disebabkan mereka menderhaka dan sering melanggar batas. Mereka itu selalunya tiada larang melarang terhadap kejahatan yang mereka lakukan. Alangkah buruknya perilaku yang mereka lakukan itu.” (al-Maaidah 78-79)
Ayat tersebut merupakan kemuncak ancaman dan kemurkaan dari Allah Ta’ala kerana yang menyebabkan mereka ditimpa laknat itu ialah kerana mereka meninggalkan nahi mungkar; iaitu mencegah orang dari melakukan kejahatan.
Klik di sini untuk rujuk senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.
September 28, 2011
Allah berfirman:
“Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan setengah mereka menjadi pemimpin kepada setengah yang lain; mereka menyuruh mengerjakan yang baik dan melarang dari mengerjakan yang jahat dan mereka mendirikan sembahyang.” (at-Taubah: 71)
Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mensifatkan orang-orang yang beriman itu sebagai orang-orang yang menyuruh mengerjakan kebaikan, maka dengan itu sesiapa yang meninggalkan tugas menyuruh membuat yang baik itu terkeluarlah ia daripada golongan orang-orang yang disifatkan oleh Allah Ta’ala dalam ayat tersebut sebagai orang yang beriman.
Klik di sini untuk rujuk senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.
September 26, 2011
Tugas menjalankan amar ma’ruf dan nahi mungkar, iaitu menyuruh membuat kebaikan dan melarang dari membuat kejahatan menjadi wajib, ditilik dari beberapa ayat al-Quran al-Karim seperti berikut:
“Wajiblah ada di antara kamu suatu tempat (golongan) yang menyeru (manusia) kepada melakukan kebaikan, menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat yang jahat. Mereka itulah orang yang berjaya (bahagia).” (ali-Imran: 104)
Ayat yang tersebut di atas jelas sekali menunjukkan kewajiban hukum amar ma’ruf dan nahi munkar. Sebab perkataan waltakun yang bermaksud wajiblah ada merupakan suatu perintah, dan zahir sekali perintah itu menunjukkan kewajiban perkara yang disuruh.
Kemudian dalam ayat itu diterangkan pula perkataan berjaya atau bahagia, yang mana pencapaian tingkat itu bergantung dengan melakukan perintah yang wajib tadi. Perhatikanlah firmanNya: Wa Ulaika Humul Muflihuun yang maksudnya: Mereka itulah orang yang berjaya (bahagia).
Ternyata padanya bahawa tugas itu merupakan wajib fardhu Kifayah, bukannya fardhu ‘Ain, yang mana bila sesuatu ummat atau golongan menjalankan perintah atau tugas itu, maka gugurlah kefardhuannya ke atas seumum manusia yang lain.
Klik di sini untuk rujuk senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.
September 24, 2011
Ketahuilah, bahawasanya amar ma’ruf (menyuruh melakukan kebaikan) dan nahi mungkar (mencegah melakukan kejahatan) adalah puncak tertinggi dalam agama. Ia merupakan suatu soal yang amat penting sekali, yang kerananya Allah s.w.t. telah mengutuskan para Nabi sekalian.
Andaikata tugas ini dilengahkan dan segala jentera amar ma’ruf dan nahi munkar itu dicuaikan, sama ada dalam ilmu pengetahuan mahupun amalan, tentulah kesesatan bermaharajalela dan kejahilan terus akan melanda setiap orang, dan ketika itu negara akan menjadi rosak binasa manakala rakyatnya menjadi kacau bilau.
Oleh kerana itu maka sewajarnya kita memohon pelindungan kepada Allah Ta’ala agar pekerjaan amar ma’ruf dan nahi mungkar ini tiada terlepas dari puncaknya, sama ada mengenai amalan mahupun ilmunya, sehingga hakikat dan firasatnya tiada terhapus sama sekali, dan sehingga hati manusia tiada dipengaruhi oleh kekeliruan, sampai tertutup dari hati itu ingatan dan perhatiannya kepada Allah.
Dan jangan sampai manusia akan berwenang-wenang menurutkan kemahuan hawa nafsu dan syahwatnya laksana binatang. Ketika itu akan menjadi sukar sekali terdapat di atas muka bumi ini seorang Mu’min dalam ertikata benar-benar beriman, yang tiada akan menghiraukan celaan orang dalam berpegang yang benar dan hak. Tiada perlindungan melainkan kepada Allah saja dan tiada pengharapan melainkan kepadaNya hanya.
Perbincangan selanjutnya, tujuan-tujuan dari kitab amar ma’ruf dan nahi mungkar ini serta kewajiban menyempurnakannya, keutamaannya dan kecelaan dalam melalaikannya akan disusuli dalam posting seterusnya.
Klik di sini untuk baca senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.
September 22, 2011
Senarai tajuk-tajuk dalam Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar adalah seperti berikut:
Klik pada tajuk untuk baca seterusnya.
September 20, 2011
Posted by akarimomar under
musafir
Leave a Comment
Kelonggaran diberi untuk berbuka puasa dalam bulan Ramadhan adalah suatu kemudahan khas yang diberikan kepada orang-orang musafir. Namun jika ia boleh berpuasa itu adalah yang lebih utama.
Melainkan kalau puasa itu akan mendatangkan bahaya atau kesusahan, maka ketika itu barulah berbuka puasa lebih utama. [namun ia perlulah ganti puasa yang dibukanya itu]
Maka dengan itu berakhir bab Kitab Tata-tertib Pelayaran (Musafir). Klik si sini untuk kembali ke senarai kandungan bab Kitab Tata-tertib Pelayaran (Musafir)
September 18, 2011
Posted by akarimomar under
musafir
[3] Comments
Dalam mendirikan sembahyang-sembahyang sunnat pula, telah diberikan kemudahan untuk mengerjakannya, meskipun di atas binatang tunggangan, supaya penunaiannya tiada tergendala disebabkan pelayaran itu.
Rasulullah s.a.w. sendiri pernah bersembahyang sunnat di atas binatang tunggangannya, tidak kira ke arah mana saja binatang itu menuju. Baginda pernah juga bersembahyang witir ketika berada di atas binatang tunggangannya.
Orang yang bersembahyang di atas binatang tunggangganya tidak perlu turun untuk ruku’ dan sujud, malah memadailah ia menundukkan kepala saja, dan tunduknya kerana sujud biarlah lebih rendah dari tunduk kerana ruku’.
Adapun tentang menghadap kiblat dalam sembahyang-sembahyang yang tersebut, maka hukumnya tidaklah wajib, tidak ada permulaan sembahyang ataupun pada seluruh sembahyangnya, tetapi hendaklah arah tujuan perjalanannya menggantikan kiblat. Tegasnya hendaklah seluruh sembahyangnya sama ada berhadapan arah ke kiblat ataupun berhadapan arah tujuan perjalanannya agar sembahyang itu menghadap satu arah yang tertentu.
Bagi musafir yang berjalan kaki, diberikan kemudahan untuk bersembahyang sunnat sewaktu berjalan kaki. Dan bila sampai waktu ruku’ dan sujud, hendaklah ia menundukkan kepala dan tidak perlu duduk lagi untuk bertasyahhud. Hukumnya di dalam hal ini, samalah seperti hukum orang yang bersembahyang ketika menunggang binatang. Hanya satu perkara yang mesti dilakukan berhadapan ke arah kiblat, iaitu ketika mengihramkan sembahyang (takbiratul ihram).
Seterusnya bagi orang yang melarikan diri dari musuh, atau takut kerana diserang binatang buas, atau dilanda banjir besar boleh ia menunaikan sembahyang fardhunya ketika dalam keadaan menunggang binatang, ataupun ketika sedang berjalan kaki, dan cara-caranya sama seperti yang telah dibentangkan di atas dalam perkara menunaikan sembahyang-sembahyang sunnat
Klik untuk baca: Keperluan bekalan untuk akhirat seorang musafir
Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Tata-tertib Pelayaran (Musafir)”
September 16, 2011
Posted by akarimomar under
musafir
Leave a Comment
Bagi orang musafir, Qasar atau menyingkatkan sembahyang, maka telah diberikan kemudahan pada salah satu dari sembahyang-sembahyang yang berikut, iaitu: (1) Zohor, (2) Asar dan (3) Isya’ dengan melakukan hanya dua rakaat saja (ganti empat).
Dalam menentukan keadaannya sebagai seorang musafir, dikira dari ia meninggalkan bangunan-bangunan negeri tersebut.
Adapun Jamak atau menghimpunkan sembahyang, maka ia berlaku antara sembahyang-sembahyang zohor dan asar dalam salah satu waktu-waktu; keduanya, juga maghrib dan isya’ dalam salah satu waktu-waktu keduanya.
[Jamak bila didahulukan sembahyang yang empunya waktu dinamakan Jamak Taqdim iaitu asar atau isya’ ditunaikan dalam waktu zohor atau maghrib. Dan bila dikemudiankan dinamakan Jamak Ta’khir iaitu zohor atau maghrib ditunaikan dalam waktu asar atau isya’. Masing-masing ada syarat-syaratnya yang tertentu – pent.]
Kemudahan ini diberikan dalam pelayaran yang panjang (jauh) dan mubah (tidak haram). Melakukan jamak dalam pelayaran yang dekat, ada dua pendapat antara para alim ulama; ada yang membolehkan dan ada yang tidak membolehkan.
Andaikata seorang musafir itu menghimpunkan sembahyang zohor dan asar dalam waktu zohor, yakni Jamak Taqdim, maka hendaklah ia meniatkan menghimpunkan antara zohor dan asar dalam sembahyang yang pertama (zohor) sebelum ia selesai (memberi salam) sembahyang zohor.
[Maksud niat jamak itu, mestilah ditunaikan bermula dari berniat untuk bersembahyang zohor dan seterusnya, sehingga sebelum ia bersalam dari sembahyang zohor, niat jamak itu mesti diniatkan dalam hatinya. Sesudah salam tidak boleh berniat lagi, dan jika tiada berniat tidak boleh pula menghimpunkan (jamak) sembahyang-sembahyang itu, bahkan asar mestilah ditunaikan dalam masanya – pent.]
Untuk sembahyang zohornya ia berazan dan beriqamat. Sehabis menyelesaikan sembahyang zohor dan ketika hendak bersembahyang asar, dia hanya beriqamat saja (tanpa azan lagi).
Jika ia mengemudiankan zohor kepada waktu asar, maka caranya samalah seperti cara ia mendahulukan asar kepada zohor. Hanya perbezaannya ialah bahawa berniat untuk menjamak itu hendaklah diniatkan pada waktu yang pertama.
Klik untuk baca: Keperluan bekalan untuk akhirat seorang musafir
Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Tata-tertib Pelayaran (Musafir)”
September 14, 2011
Posted by akarimomar under
musafir
1 Comment
Mengenai tayamum pula, maka debu tanah menggantikan air dalam keadaan uzur, misalnya kerana berada jauh dari rumah sekadar jika ia berjalan menuju ke rumah untuk mendapatkan air tidak akan kedengaran olehnya jeritan orang yang meminta tolong.
Ataupun disebabkan di tempat air itu ada binatang buas atau musuh yang menanti, ataupun air yang ada dalam simpanan untuk digunakan sebagai air minum ketika kehausan sama ada untuknya mahupun untuk rakan-rakan dalam pelayaran itu.
Dalam keadaan-keadaan yang tersebut di atas tadi, dibolehkan ia bertayamum untuk menggantikan berwudhu’, tetapi kalau ada orang yang menjual air dengan harga yang berpatutan (tidak mahal), maka wajiblah ia membeli air itu untuk digunakan berwudhu.’
Jika dijual dengan harga yang berlebih-lebihan (terlalu mahal) tidak wajib membelinya, tetapi memadailah dengan bertayamum.
Klik untuk baca: Keperluan bekalan untuk akhirat seorang musafir
Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Tata-tertib Pelayaran (Musafir)”
September 12, 2011
Posted by akarimomar under
musafir
1 Comment
Mengenai menyapu atas sepatu ada sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Safwan bin Asal dari Rasulullah s.a.w. katanya:
Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan kami ketika dalam pelayaran supaya jangan menanggalkan sepatu-sepatu kami selama tiga hari tiga malam.
Maka tiap-tiap orang yang memakai khuf (sepatu), sedangkan ia dalam taharah yang membolehkan ia bersembahyang, kemudian ia berhadas, maka dibolehkan baginya hanya menyapu di atas sepatunya saja selama tiga hari tiga malam, dikira dari masa menyapu iaitu bagi seorang musafir.
Dan bagi selain musafir pun dibolehkan, tetapi hanya dalam masa sehari semalam saja.
******
Nota: Menyapu atas khuf (sepatu) itu ada syarat-syaratnya yang tertentu, dan salah satu syaratnya ialah sepatu itu mestilah menutup hingga ke buku lali. Dan syarat-syarat yang lain dapat dibaca dalam buku-buku fiqh. Tujuan dari memakai khuf dan menyapu (air) di atasnya saja untuk menggantikan membasuh kaki, ialah untuk menghindarkan diri dari terkena sejuk, sebab kegunaan khuf biasanya hanya berlaku dalam musim-musim sejuk saja – pent.
Klik untuk baca: Keperluan bekalan untuk akhirat seorang musafir
Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Tata-tertib Pelayaran (Musafir)”
Next Page »