Tertib keenam ialah pada menyatakan tata-cara orang yang baru kembali dari bermusafir. Rasulullah s.a.w. ketika kembali dari satu-satu ghazwah (peperangan) atau selesai dari menunaikan haji dan umrah, sentiasa bertakbir tiga kali, bila bertemu dengan tempat-tempat yang tinggi.

Baginda mengucapkan:

Tiada Tuhan melainkan Allah, yang Esa tiada sekutu bagiNya. KepunyaanNya segala kerajaan dan kepujian dan Dia Berkuasa atas setiap sesuatu. Kita sekalian kembali, bertaubat, beribadat, bersujud dan kepada Tuhan kami sentiasa memuji-muji. Tuhan telah membenarkan janjiNya, memenangkan hambaNya serta menghancur-leburkan semua kekuatan musuh dengan kuasaNya.”

Lalu baginda mengirim utusan ke Madinah, memberitahu tentang kedatangannya.

Rasulullah s.a.w. melarang keras seseorang yang baru sampai dari pelayaran mengetuk pintu rumah isterinya di waktu malam, lalu menyerempak isterinya secara mendadak, kerana dikhuatiri akan melihat sesuatu yang tidak diingininya ketika itu.

Sebaik-baik saja sampai di Madinah, baginda terus menuju ke masjid, lalu baginda bersembahyang dua rakaat. Sesudah itu barulah baginda kembali ke rumahnya.

Sewajarnyalah seseorang yang kembali dari pelayaran itu membawa oleh-oleh untuk keluarga dan kaum kerabatnya berupakan cenderamata, seperti makanan dan sebagainya sekadar yang termampu saja. Sebab tentulah orang-orang yang di rumah mengharap-harapkan sesuatu hadiah atau pemberian yang dibawanya dari pelayaran itu.

Selain itu perasaan orang yang menerima pemberian itu akan gembira, bila menerimanya. Dengan itu akan menjadi lebih kukuhlah rasa kasih sayang dan kegembiraan dalam keluarga itu; juga akan timbullah semacam perhatian yang ditinggalkan disebabkan hadiah yang dibawanya itu.

Semua ini adalah merupakan tata-cara, atau adab-adab yang lahir saja.

*************

Nota: Semua tata-cara ini tepat sekali bila dipadankan dengan orang-orang yang bermusafir di zaman dahulu. Adapun pelayaran dalam zaman moden ini, tentulah sebahagian dari tata-cara ini sudah tidak praktikal lagi disebabkan keadaan sekitaran yang berlainan dan kemudahan-kemudahan yang dapat dirasakan oleh orang yang bermusafir itu sudah mencapai kemuncaknya, sehingga dapat dikatakan, bahawa pelayaran pada hari ini merupakan suatu kenikmatan yang utama – pent.

Klik untuk kembali ke tajuk: Tata-tertib orang musafir
Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Tata-tertib Pelayaran (Musafir)”

Advertisements