October 2011


Pelbagai kemungkaran-kemungkaran yang sering berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari, seperti yang berlaku di dalam masjid, di pasar, di jalan-jalan raya, tempat-tempat mandi dan di waktu menerima tetamu serta segala kemungkaran-kemungkaran yang berlaku di tempat-tempat lain.

Untuk perbincangan satu persatu kemungkaran-kemungkaran tersebut sila klik pada tajuk-tajuk di atas.

Klik di sini untuk rujuk senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.

 

Orang-orang yang menjalankan tugas menyuruh berbuat baik dan melarang dari berbuat jahat mempunyai tiga tata-cara atau adab yang mesti tidak boleh tidak, ia bersifat dengannya iaitu:

  1. Berilmu
  2. Wara’
  3. Berbudi pekerti baik

Berilmu maksudnya: Patutlah ia mengetahui letak duduknya perkara-perkara yang hendak disuruh atau dilarang, supaya ia tiada terkeluar dari had dan batasan syariat Islam.

Wara’ maksudnya: Mencegah seseorang dari melakukan kemungkaran itu saja, dan jangan ia sekali-kali melampaui batas yang diizinkan oleh syariat dalam tugas ini, disebabkan oleh tujuan-tujuan yang lain.

Hendaklah kata-katanya itu masuk akal, dapat diterima oleh orang itu. Kalau tidak tentulah ia  akan dijadikan bahan ejekan dalam menjalankan tugas menyuruh atau melarang ini. Kelak orang itu akan menunjukkan sikap berani terhadapnya.

Adapun berbudi pekerti baik pula, seberapa boleh biarlah ia bersikap lemah-lembut dan berbalas kasihan kepada sesiapa pun, sebab ia merupakan pokok bab ini dan tujuan asalnya.

Berilmu dan berwara’ saja tidak mencukupi, kerana bila kemarahan menguasai diri tiada memadailah untuk menahannya hanya dengan berilmu dan berwara’ semata-mata, melainkan jika ada pada tabiat kita sifat berbudi pekerti baik yang akan melenyapkan perasaan marah dan tidak sabar itu.

Dengan terkumpulnya ketiga-tiga sifat ini pada diri seseorang maka akan sempurnalah maksud untuk membimbing dan terkiralah ia salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah. Dengan itu sajalah akan tertolaknya kemungkaran, dan tanpanya tentu sekali kemungkaran itu tidak dapat dihapuskan.

Sekali peristiwa pernah Khalifah al-Ma’mun diberi nasihat oleh seorang dan orang itu menggunakan ucapan-ucapan yang kasar dan keras. Maka berkata al-Ma’mun kepadanya: Wahai manusia! Berkata lunaklah! Sebenarnya Allah telah mengutus orang lebih mulia daripadamu kepada orang yang lebih hina dariku.

Dalam menggalakkan hakikat lemah-lembut dan lunak kata-kata, Allah telah berfirman:

Maka katalah (wahai Musa dan Harun) kepada Firaun dengan kata-kata yang lemah-lembut semoga ia akan ingat atau takut.” (Taahaa: 44)

Orang yang mahu membimbing orang lain, patutlah ia meniru sikap lunak dan lemah-lembut para Anbia’ salawatullahi-alaihim.

Klik di sini untuk rujuk senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.

Darjat keempat dalam peringkat melaksanakan nahi mungkar ialah dengan mengubah atau mencegah kelakuan pelaku kemungkaran itu dengan tangan sendiri, seperti menuangkan khamar dan memusnahkan barang-barang atau harta benda yang menyebabkan berlakunya kemungkaran atau menahan pelakunya dari melakukan kemungkaran itu.

Dalam hal ini, tiada dibenarkan kepada rakyat umum melainkan hanya menahan diri pelakunya saja.

Adapun menuangkan arak atau memusnahkan harta benda, maka kewajiban ini terletak di atas tanggungjawab Penguasa Negara (Pemerintah) dan wakil-wakil mereka saja yang boleh menjatuhkan hukuman sebat atau penjara ke atas orang-orang yang bersalah.

Klik di sini untuk rujuk senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.

Darjat ketiga dalam peringkat melaksanakan nahi mungkar ialah dengan menggunakan kekerasan dalam mencegah kemungkaran, iaitu dengan mengucapkan kata-kata yang kasar dan berkesan.

Ini dilakukan apabila cara berlemah lembut dan memberi nasihat dengan baik tidak meninggalkan apa-apa faedah yang berkasan, malah pelakunya semakin menunjukkan sikap menentang dan tidak peduli dan seterusnya mengejek-ejek terhadap nasihat dan petunjuk yang diberikan kepadanya.

Misalnya ialah seperti yang berlaku ke atas Nabi Ibrahim a.s. sebagaimana yang diceritakan oleh al-Quran al-Karim:

“Cis kamu sekalian! Mengapakah kamu menyembah sesuatu selain dari Allah, apakah kamu tiada berakal?” (al-Anbiya’: 67)

Walau bagaimanapun apa yang dilakukan kepada orang itu hendaklah jangan sampai bersikap keterlaluan dalam mengejinya.

Dalam tingkatan ini ada dua cara yang mesti diikuti iaitu:

  1. Janganlah sampai ia tergesa-gesa hendak mengambil sikap yang keras, melainkan dalam keadaan dharurat saja; iaitu sesudah semua usaha-usaha lain gagal dan sikap berlemah-lembut tidak berguna lagi.
  2. Hendaklah ia tidak mengucapkan sesuatu kecuali yang benar saja, ringkas pula, tidak menyeleweng kepada perkara-perkara yang tidak perlu, sehingga ucapan itu tidak menepati sebabnya, tetapi memadailah ia bercakap sekadar yang perlu saja.

Klik di sini untuk rujuk senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.

Darjat kedua dalam peringkat melaksanakan nahi mungkar ialah dengan jalan memberi kuliah/ajaran, memberi nasihat dan menggambarkan ancaman Allah Ta’ala dan kemurkaanNya.

Cara begini ditujukan kepada orang yang berani melakukan kemungkaran itu, padahal ia mengetahui bahawa yang dilakukannya itu suatu kemungkaran yang ditegah oleh Allah s.w.t.: iaitu seperti orang selalu meminum minuman keras (khamar), atau yang sering menganiayai manusia lain, atau suka mencaci kaum Muslimin dan seumpamanya.

Orang yang semacam ini perlu diberikan peringatan dan nasihat serta diancam dengan kemurkaan Allah Ta’ala. Kepadanya harus diingatkan mengenai berita-berita dari al-Quran atau Hadis tentang ancaman yang dijanjikan terhadap pelaku kemungkaran itu.

Perbanyakkanlah nasihat kepadanya tentang cerita-cerita perjalanan Salaf Saleh dan peribadatan kaum muttaqin. Semuanya itu hendaklah disampaikan dengan cara berlemah-lembut, penuh belas kasihan, bukan dengan cara kekerasan dan marah-marah.

Juga hendaklah ia memandang terhadap orang itu dengan pandangan seorang pembelas dan pengasih.

Klik di sini untuk rujuk senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.

Darjat pertama dalam peringkat melaksanakan nahi mungkar ialah memberi peringatan. Yakni mengingatkan orang yang diingkari perilakunya, bahawa apa yang dilakukan itu adalah suatu mungkar yang dilarang oleh agama. Sebab mungkin sekali orang itu melakukannya tanpa pengetahuan dan bila ia diberitahu yang perbuatannya itu adalah suatu mungkar, mungkin sekali dia akan menjauhinya.

Dalam keadaan ini, pemberitahuan itu hendaklah mengambil sikap lemah lembut tanpa kekerasan, kerana dengan pemberitahuan itu sendiri sudah tersingkap keburukan orang itu dan hatinya pun telah tersentuh. Jadi sebaik-baik cara untuk menutup malunya ialah dengan kata-kata yang sopan santun.

Misalnya ia berkata: Sebenarnya manusia itu tidak pernah dilahirkan terus menjadi alim dan mengerti segala-galanya, tetapi semua kita mula-mulanya adalah jahil dan bodoh, kemudian para alim ulama pun mengenalkan kepada kita mana yang betul dan mana pula yang salah. Yang sebenarnya dalam perkara ini ialah begini ….. dan begini.

Demikianlah caranya kita menunjukkan orang itu akan kesalahannya, supaya pemberitahuan kita kepadanya sampai tanpa menyakiti hatinya. Sebab menyakiti hati seorang Muslim adalah haram dan ditegah dengan keras, manakala mengakui kemungkaran yang dibuatnya dengan bersikap mendiamkan diri pula sama di larang. Bukan orang berakal namanya, bila ia mencuci darah dengan darah atau membersihkan darah dengan air kencing.

Demikianlah perumpamaan bagi orang yang menegur sesuatu kemungkaran yang dilakukan oleh seseorang kawan dengan menyakiti hatinya.

Klik di sini untuk rujuk senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.

Dalam melaksanakan nahi mungkar, terdapat beberapa darjatnya, iaitu:

  • Memberi peringatan
  • Memberi ajaran, nasihat dan menggambarkan ancaman Allah
  • Menggunakan kekerasan dalam mencegah kemungkaran,
  • Mencegah kelakuan kemungkaran itu dengan tangan sendiri

Perbicangan terperinci untuk setiap darjat tersebut akan disusuli dalam kiriman seterusnya.

Klik di sini untuk rujuk senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.

Next Page »