Darjat pertama dalam peringkat melaksanakan nahi mungkar ialah memberi peringatan. Yakni mengingatkan orang yang diingkari perilakunya, bahawa apa yang dilakukan itu adalah suatu mungkar yang dilarang oleh agama. Sebab mungkin sekali orang itu melakukannya tanpa pengetahuan dan bila ia diberitahu yang perbuatannya itu adalah suatu mungkar, mungkin sekali dia akan menjauhinya.

Dalam keadaan ini, pemberitahuan itu hendaklah mengambil sikap lemah lembut tanpa kekerasan, kerana dengan pemberitahuan itu sendiri sudah tersingkap keburukan orang itu dan hatinya pun telah tersentuh. Jadi sebaik-baik cara untuk menutup malunya ialah dengan kata-kata yang sopan santun.

Misalnya ia berkata: Sebenarnya manusia itu tidak pernah dilahirkan terus menjadi alim dan mengerti segala-galanya, tetapi semua kita mula-mulanya adalah jahil dan bodoh, kemudian para alim ulama pun mengenalkan kepada kita mana yang betul dan mana pula yang salah. Yang sebenarnya dalam perkara ini ialah begini ….. dan begini.

Demikianlah caranya kita menunjukkan orang itu akan kesalahannya, supaya pemberitahuan kita kepadanya sampai tanpa menyakiti hatinya. Sebab menyakiti hati seorang Muslim adalah haram dan ditegah dengan keras, manakala mengakui kemungkaran yang dibuatnya dengan bersikap mendiamkan diri pula sama di larang. Bukan orang berakal namanya, bila ia mencuci darah dengan darah atau membersihkan darah dengan air kencing.

Demikianlah perumpamaan bagi orang yang menegur sesuatu kemungkaran yang dilakukan oleh seseorang kawan dengan menyakiti hatinya.

Klik di sini untuk rujuk senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.

Advertisements