Kemungkaran-kemungkaran yang sering terdapat di jalan-jalan orang ramai banyak sekali, antaranya ialah meletakkan kayu-kayuan atau menimbun biji-bijian dan makanan di tempat lalu-lalang orang ramai, ataupun menambah halaman sampai di tengah jalan; semua ini merupakan kemungkaran-kemungkaran, jika ia menyebabkan tempat perjalanan orang ramai menjadi sempit, atau menyukarkan mereka untuk berlalu-lalang di situ.

Jika yang demikian itu tidak sama sekali menimbulkan kesukaran kepada orang ramai disebabkan jalan raya itu amat luas, maka tiadalah terlarang perkara-perkara yang tersebut tadi.

Jika maksud menimbun kayu-kayan dan makan-makanan di jalan raya itu hanya sementara saja, setakat masa hendak memindahkannya ke dalam rumah, maka yang demikian itu adalah diharuskan, kerana semua orang mesti berbuat demikian, maka tiadalah boleh dilarang.

Termasuk kemungkaran lagi ialah menambat binatang di tempat lalu-lalang orang, sehingga jalan raya menjadi sempit dan tahi binatang itu akan menajiskan orang yang berjalan di situ. Perbuatan ini mestilah dilarang, kecuali sekadar hajat, iaitu ketika menunggang atau turun dari binatang itu.

Tegasnya penggunaan jalan raya itu mestilah dikongsi manfaatnya oleh orang ramai, tidak kira siapa pun dia, dan tidak boleh diutamakan seseorang atas yang lain, melainkan sekadar hajat atau yang perlu saja. Jadi yang wajib dijaga ialah keperluan umum orang ramai, yang mana jalan-jalan raya itu biasanya telah dibina untuk kegunaan mereka, bukan kerana keperluan-keperluan yang lain.

Termasuk perkara yang harus dihalang ialah apa yang berlaku di pasar binatang-binatang yang kerap terdapat di situ duri-duri yang banyak, sehingga terkadang-kadang sampai mengoyakkan baju-baju orang yang lalu lintas di situ. Itu juga suatu kemungkaran.

Tetapi jika boleh dicabut dan dikumpulkan di suatu tempat, sehingga orang ramai tiada terancam lagi ataupun kalau boleh dipindahkan binatang-binatang itu ke suatu tempat lain yang lebih luas, maka tiadalah terlarang pula, kerana keperluan orang ramai kepada binatang itu patut diberikan perhatian juga. Dan kalau ada barang-barang yang hendak dipindahkan, tidak boleh dibiarkan terlonggok di jalan raya terlalu lama, melainkan sekadar untuk menaikkan atau menurunkan saja.

Yang lain lagi ialah menimbun barang-barang yang berat ke atas belakang binatang, sehingga binatang itu tiada terdaya untuk memikul. Ini juga suatu kemungkaran yang patut diingatkan kepada tuan punya binatang itu.

Lagi ialah membuang sampah-sarap di tempat-tempat yang bukan disediakan untuknya, mencampakkan kulit buah-buahan atau membuang air sesuka hati saja, sehingga boleh menyebabkan orang tergelincir dan jatuh; semua ini adalah termasuk kemungkaran-kemungkaran yang wajib dilarang.

Termasuk kemungkaran juga memasang saluran-saluran air kotor yang keluar dari rumah terus ke tempat perjalanan orang ramai yang sempit, kerana yang demikian itu akan menajiskan pakaian orang yang lalu-lalang di situ dan akan menyempitkan jalan itu, kerana orang-orang yang berlalu lintas di situ tentu akan mengelakkan tempat-tempat yang basah, dan hanya memilih jalan yang kering saja.

Demikian juga, jika seseorang meletakkan air batu di tengah-tengah jalan orang ramai, ataupun air yang bertakung disebabkan saluran-saluran yang tertentu yang dipasang di jalan, maka dalam kedua hal ini orang yang menyebabkannya harus meratakan jalan itu, supaya airnya dapat mengalir. Adapun air yang bertakung disebabkan hujan, maka kerja membersihkannya adalah tertanggung atas Penguasa Negara.

Termasuk kemungkaran juga, jika seseorang menyimpan anjing buas di hadapan pintu rumahnya yang seringkali menggangu orang yang lalu lintas, maka perkara itu wajib dilarang.

Klik di sini untuk rujuk senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.