Dalam harta yang dimiliki pula ada dua kemungkaran iaitu:

  1. Mensia-siakan harta
  2. Terlalu boros dalam membelanjakan harta

Mensia-siakan harta, bererti membelanjakan harta itu tanpa mendapat apa-apa faedah daripadanya, seperti membakar pakaian dan mengoyak-ngoyaknya, atau apa saja yang boleh dikategorikan dalam pengertian mengeluarkan harta ke jalan kemusnahan dan kemungkaran.

Dan terkira kemungkaran juga, bila dibelanjakan harta dalam perkara-perkara yang harus, tetapi amat melampaui batas dan amat keterlaluan. Manakala maksud dari pengertian keterlaluan itu pula berbeda-beda menurut perbedaan keadaan-keadaannya.

Cuba lihat pula firman-firman Allah berikut:

“Janganlah membukakan tanganmu itu seluas-luasnya (terlalu murah hati), maka nanti kamu jadi tercela dan sengsara.” (al-Isra’: 29)

“Janganlah kamu terlalu boros (dalam membelanjakan hartamu), sesungguhnya orang-orang yang boros itu menjadi kawan-kawan syaitan, sedangkan syaitan kufur (ingkar) kepada Tuhan.” (al-Isra’: 26-27)

“Dan orang-orang yang bila membelanjakan hartanya tiadalah terlalu boros dan tiada pula terlalu kikir, bahkan mereka berlaku sederhana dalam kedua hal itu.” (al-Furqan: 67)

Apabila seseorang hanya memiliki RM100.00 misalnya, sedangkan ia mempunyai keluarga yang besar dan anak-anak pun banyak, dan tiada lagi baginya pendapatan selain itu, lalu ia membelanjakan semua wang itu untuk mengadakan suatu jemputan makan, maka ia adalah dicap seorang musrif (boros) yang mesti dan wajib dihalang.

Begitu juga jika ia membelanjakan semua wangnya itu untuk melukis dinding-dinding rumah dan menghiaskannya, maka itu juga dikira boros yang termasuk dalam larangan Allah, seperti tersebut ayat-ayat dia atas tadi.

Tetapi sekiranya ia melakukan yang demikian itu, sedangkan ia seorang yang kaya mempunyai wang yang banyak, maka tiadalah haram baginya dalam melukis dan menghiaskan rumahnya, sebab mencantikkan rumah itu termasuk perkara-perkara yang baik.

Demikian juga menghias diri dengan pakaian, dan memakan makanan-makanan yang lazat termasuk perkara-perkara yang harus pada dasarnya. Tetapi semua itu boleh bertukar menjadi boros yang terlarang dengan menilik keadaan seseorang dan harta yang dimilikinya.

Klik di sini untuk rujuk senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.

Advertisements