Ketahuilah bahawa setiap orang yang menganggur duduk dalam rumah saja, tidak sepi dari kemungkaran dalam zaman ini, disebabkan keengganannya untuk mengambil bahagian dalam membimbing orang ramai, mengajar serta mengajak mereka kepada jalan kebaikan.

Dalam zaman ini, kebanyakan orang masih jahil tentang selok-belok syariat Islam di merata negara, terutama sekali di kampung-kampung dan di desa-desa pendalaman. Jadi pada tiap-tiap masjid atau tempat di ceruk-rantau negara, wajiblah ada seorang faqih (ahli agama) yang boleh mengajar orang ramai tentang urusan agamanya, terutama sekali di kampung-kampung.

Demikian juga bagi setiap ahli agama itu, setelah selesai segala kewajiban Fardhu ‘Ainnya dan bila memulakan Fardhu Kifayahnya, hendaklah ia pergi ke daerah-daerah yang berdekatan dengan tempat tinggalnya untuk menyebarkan ilmu pengetahuan agama yang diketahuinya dan menyampaikan pelajaran agama Islam kepada penduduk-penduduknya.

Dalam tugas kewajiban ini, sekiranya seorang telah memikul tanggungjawabnya, maka gugurlah dosanya dari orang lain, kerana tugas mengajar perkara-perkara yang wajib dalam syariat itu adalah Fardhu Kifayah.

Kesimpulannya, patutlah atas setiap Muslim mengajukan dirinya untuk menjadi perintis jalan dalam melaksanakan tugas mengajar ini.

Mula-Mula hendaklah ia menglengkapkan diri sendiri dengan menjaga betul-betul segala-segala yang difardhukan ke atasnya serta meninggalkan segala-gala yang terlarang.

Sesudah itu barulah ia memulakan pula dengan ahli rumahtangganya. Sesudah itu pula, dia berpindah kepada jiran tetangganya, dan seterusnya kepada seluruh penduduk kampungnya.

Kemudian barulah pula kepada seluruh rakyat yang terdekat, mahupun yang tinggal jauh darinya. Akhir sekali, barulah ke penjuru alam semesta ini.

Sebagaimana yang telah ditegaskan di atas, bahawa semua orang Muslim yang berkuasa, wajib menanggung tugas menyebarkan pengajaran agama ini. Tetapi jika salah seorang yang terdekat telah melaksanakan tugas tersebut, maka gugurlah dosanya atas orang yang terjauh. Kalau tidak ada seorang pun melaksanakannya, maka berdosalah semua orang yang kuasa untuk mengerjakannya, sama ada yang dekat mahupun yang jauh.

Klik di sini untuk rujuk senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.