Seringkali Rasulullah s.a.w. bersikap merendah diri memperkecilkan kedudukannya, sentiasa memohon kepada Allah s.w.t. agar Dia, yakni Allah, memperhiaskan dirinya dengan tata-sopan yang mulia dan budi pekerti yang luhur. Baginda sering menyebut dalam doanya:
“Ya Allah! Ya Tuhanku! Elokkanlah kejadianku dan budi pekertiku!”
Dalam doa yang lain pula, baginda mengucapkan:
“Ya Allah! Ya Tuhanku! Jauhkanlah diriku dari budi pekerti yang terkeji.”
Allah Ta’ala telah mengabulkan doanya, kerana menepati janjiNya dalam ayat berikut:
“Mohonlah kepadaKu, nescaya pasti aku mengabulkan.” (al-Mukmin: 60)
Lalu Allah Ta’ala menurunkan ke atas Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. al-Quran dan mendidiknya sesuai dengan akhlak al-Quran, sehingga baginda menerima kepujian yang amat tinggi dengan dikatakan, bahawa budi pekerti baginda itu adalah al-Quran.
Sebenarnya al-Quran telah mendidik baginda supaya bersifat pemaaf suka mengajak orang ke jalan kebaikan serta tiada menendahkan kata-kata yang bodoh, seperti firman Allah yang berbunyi:
“Berikanlah kemaafan dan suruhlah dengan kebaikan serta pedulikanlah orang-orang yang bodoh itu.” (al-A’raf: 199)
Al’Quran juga mendidik baginda supaya melaksanakan keadilan, melakukan kebaikan kepada orang ramai, ingat kepada kaum kerabat melarang melakukan segala macam kemungkaran dan kekejian seperti firman Allah Ta’ala yang berikut:
“Sesungguhnya Allah memerintah agar berlaku adil, berbuat baik dan memberi keluarga yang terdekat dan Dia melarang berbuat kekejian (zina) kemungkaran dan kedurhakaan.” (an-Nahal: 90)
Al-Quran juga mendidik baginda supaya sentiasa bersabar dalam segala hal, sebagaimana firmanNya:
“Dan bersabarlah terhadap apa yang menimpamu, sesungguhnya yang demikian itu termasuk perintah-perintah yang sungguh-sungguh.” (Luqman: 17)
Al-Quran juga mendidik baginda supaya bersifat pemaaf dan memberi kelonggaran, sebagaimana firmanNya:
“Maka maafkanlah mereka dan berikanlah kelonggaran, sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berbuat baik.” (al-Maidah: 13)
Al-Quran juga mendidik baginda supaya kejahatan itu ditolak dengan kebaikan, sebagaimana firmanNya:
“Tolaklah kejahatan itu dengan cara yang paling baik, sehingga kiranya ada permusuhan di antaramu dengannya menjadi seolah-olah kawan yang setia.” (as-sajdah: 34)
Al-Quran juga mendidik baginda supaya menahan marah dan memaafkan orang lain, sepertimana ayat yang berikut pula:
“Dan mereka yang menahan kemarahan serta memaafkan orang-orang lain.” (ali-Imran : 134)
Al-Quran juga mendidik baginda supaya meninggalkan semua sangkaan-sangkaan buruk, tidak mengintip-intip atau mengeji orang lain, sebagaimana firman Allah yang berikut:
“Jauhilah banyak-banyak prasangka, kerana setengah dari prasangka itu dosa. Dan janganlah kamu mengintip-intip dan jangan seseorang kamu mencaci seorang yang lain.” (al-Hujurat: 12)
Demikianlah pengajaran al-Quran terhadap peribadi Rasulullah s.a.w dan pengajaran-pengajaran seumpama ini sangat banyak terdapat di dalam al-Quran.
Seterusnya kita lihat Rasulullah s.a.w. mendidik umatnya serta menyeru mereka supaya bersifat dengan budi pekerti yang luhur dan akhlak yang mulia dalam posting berikut.
July 11, 2013 at 1:08 pm
[…] Bagaimana Allah mendidik Rasul pilihanNya dengan al-Quran […]