Adapun Rasulullah s.a.w seorang yang amat fasih sekali dalam kata-kata dan amat manis sekali dalam tutur bicara. Baginda pernah berucap, ujarnya: Saya adalah orang yang sangat fasih bertutur dalam bahasa Arab.
Kata bicara Baginda sentiasa padat lengkap, tidak panjang, tidak pendek, sehinggat amat mudah bagi orang yang mendengarnya untuk menghafalkan dan menurut arahannya. Bila bercakap, suara Baginda sangat nyaring, indah tekanannya bila didengar. Baginda tidak bicara tanpa perlu. Tiada berkata-kata dalam ketika redha atau marah, kecuali yang hak semata-mata.
Bila mendengar ada orang yang berbicara kurang baik, Baginda akan memalingkan mukanya dari orang itu. Tetapi bila ada sesuatu yang harus disampaikan sedangkan ia benci kepadanya, maka Baginda akan menggunakan kata-kata kiasan atau sindiran.
Bila Baginda berbicara dalam sesuatu majlis semua para hadirin akan mendengar dengan penuh minat. Apabila Baginda selesai dari bicaranya, barulah pada hadirin pula berbicara, seorang demi seorang tanpa bertelingkah antara satu dengan yang lain. Dalam semua perbicaraannya, Baginda sering isikan dengan kata-kata yang hak dan nasihat-nasihat yang berguna.
Baginda seringkali tersenyum dan tertawa di hadapan para sahabatnya. Sering terharu terhadap apa saja yang dibicarakan oleh mereka, malah kadang-kadang Baginda turut sama dalam perbicaraan itu. Ada kalanya Baginda tertawa agak melebar sedikit hingga ternampak gigi-gigi serinya. Manakala para sahabat turut tertawa sama, tetapi tidak lebih dari kuntum senyuman, kerana menuruti jejak langkah Baginda sambil menghormati kedudukannya di dalam majlis.
Apabila turun sesuatu bencana yang menimpa ummat, maka Baginda segera akan menyerahkan perkara itu sepenuhnya kepada Allah dan membersihkan dari dari segala kekuasaan dan kekuatan. Kemudian Baginda memohon turunnya petunjuk dari Allah Ta’ala lalu berdoa:
“Ya Allah! Ya Tuhanku! Dan wahai Tuhannya Jibril, Mikail dan Israfil, Tuhan yang mencipta semua petala langit dan bumi. Maha Mengetahui segala yang ghaib dan yang terang, Engkaulah yang menghukumkan antara sekalian hamba-hambaMu dalam segala perkara yang mereka pertelingkahkan. Berikanlah kepadaku petunjuk yang benar dalam perkara yang dipertelingkahkan itu dengan keizinanMu, sesungguhnya Engkaulah yang memberikan petunjuk kepada siapa yang Engkau kehendaki ke jalan yang lurus.”
July 11, 2013 at 1:08 pm
[…] Percakapan Rasulullah s.a.w. dan ketawanya […]