Baginda Rasulullah s.a.w. memakai apa saja pakaian tanpa memilih, tetapi kebanyakkan dari pakaian yang dipakainya ialah yang berwarna putih. Semua pakaian baginda melabuh hingga ke buku lali, manakala qamisnya sentiasa terkancing butang-butangnya tetapi kadang-kadang terbuka juga.

Baginda mempunyai dua salinan baju khusus untuk sembahyang Juma’at selain pakaian-pakaian yang dipakainya pada hari-hari selain Juma’at. Ada kalanya Baginda memakai selembar pakaian saja, tidak ada padanya selain dari itu, lalu Baginda mengimami orang ramai dengan memakai pakaian itu juga.

Pernah suatu masa dahulu, Baginda mempunyai pakaian serba hitam yang dipakainya, tetapi kemudian diberikannya pada orang.

Baginda memakai cincin. Kadangkala Baginda keluar rumah dan pada cincin itu diikatkan seutas tali, agar tali itu akan mengingatkannya sesuatu yang dilupainya. Dengan cincin itulah, Baginda mengkhatam (memohorkan) semua surat-surat.

Baginda juga memakai kopiah (songkok) di bawah ikatan serbannya kadang-kadang memakai kopiah saja tanpa serban. Kadang-kadang pula Baginda menanggalkan kopiah itu dari kepalanya lalu dijadikannya sebagai batasan tempat sembahyang, kemudian Baginda bersembahyang berhadapan dengannya.

Bila Baginda memakai pakaian, baginda memulakan dari kanan seraya berdoa:

“Segala kepujian bagi Allah yang telah memberikan pakaian untuk menutupi auratku dan untuk aku menghiaskan diri dari muka orang ramai.”

Apabila menanggalkan pakaian, dimulakannya dari kiri dan bila baginda menukar pakaian baru, diberikanlah yang lama itu kepada orang miskin, kemudian dia bersabda:

“Setiap orang Muslim yang memberi pakaian kepada Muslim yang lain kerana Allah, nescaya ia berada dalam jaminan Allah dan pemeliharaanNya semasa hidup mahupun setelah mati.”

Baginda mempunyai tempat tidur yang terbuat dari kulit berisi jerami, dan bersamanya selembar baju ‘abaah yang dijadikan hamparan tidur dibawa ke mana saja perginya.

Selain itu, Baginda juga sering memberi nama kepada binatang tunggangannya, senjatanya dan juga barang-barangnya.