December 2011


Ketahuilah bahawa para Salaf menganggap budi pekerti yang baik itu laksana sebutir buah atau tujuan sesuatu perkara. Lihat apa yang dikatakan oleh al-Hasan rahimahullah iaitu: Budi perkerti yang baik itu adalah menunjukkan wajah yang manis, suka membelanjakan harta kekayaan dan mencegah hal-hal yang boleh menyakiti hati orang lain.

Pada lain peristiwa al-Hasan berkata lagi: Budi pekerti yang baik itu ialah mendapatkan keredhaan manusia pada masa kesenangan dan masa kesusahan.

Ada pengertian-pengertian yang lain lagi dalam hal ini, tetapi pokoknya sama: iaitu terasnya akhlak yang terpuji.

Adapun hakikat budi pekerti itu, ialah perilaku (hal dan keadaan) yang meresap dalam jiwa seseorang. Perilaku inilah yang menerbitkan perbuatan-perbuatan dengan perasaan senang dan mudah, tanpa perlu lagi kepada pemikiran dan pertimbangan.

Jika yang terbit dari perilaku itu, ialah perbuatan-perbuatan yang elok dan terpuji, menurut ukuran akal mahupun syara’, maka perilaku itu dinamakan budi pekerti yang baik. Sebaliknya jika yang terbit pula perbuatan-perbuatan yang jahat, maka perilaku yang menjadi sebab terbitnya segala perbuatan jahat itu, dinamakan budi pekerti yang jahat.

Sebab kita katakan, bahawa perilaku itu meresap dalam jiwa, ialah kerana kalau terbit dari seseorang itu perbuatan mengorbankan harta bendanya secara tidak selalu, melainkan kerana timbulnya sesuatu keperluan yang mendadak saja, maka tidaklah boleh dinamakan orang itu bersifat murah hati, selagi sifat suka mengorbankan harta benda itu tidak tetap meresap dalam jiwanya.

Begitu pula, bila kita mensyaratkan, bahawa perbuatan-perbuatan itu mestilah terbit dari orang itu dengan jiwa yang tenang, tanpa pemikiran atau pertimbangan, kerana orang yang mencuba mengorbankan harta bendanya, ataupun orang yang mencuba mendiamkan diri ketika sedang marah dengan paksaan atau pertimbangan, tidak boleh dikatakan orang itu bersikap murah hati atau pun bersikap penyantun.

Allah s.w.t. telah memuji NabiNya serta menunjukkan nikmatNya terhadap Baginda s.a.w. dalam firmanNya yang berbunyi:

Sesungguhnya engkau mempunyai budi pekerti yang luhur.” (al-Qalam: 4)

Berkata Siti Aisyah radhiallahu-anha

“Adalah Rasulullah s.a.w. itu budi pekertinya al-Quran.”

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Sebenarnya aku diutus untuk menyempurnakan kemuliaan budi pekerti.”

Bersabda Rasulullah s.a.w. lagi:

“Agama itu adalah kemuliaan budi pekerti”.

Maksudnya ialah supaya anda jangan selalu marah-marah. Kemudian Rasulullah s.a.w. pernah ditanya: Apakah kecelakaan itu? Baginda menjawab: Kecelakaan itu ialah kejelekan budi pekerti.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Takutlah kepada Allah di mana saja engkau berada, ikutilah segala kejelekan dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan menghapuskannya. Dan pergaulilah sekalian manusia dengan budi pekerti yang baik.”

Ketika diberitahu kepada Rasulullah, bahawa wanita anu itu berpuasa di siang hari dan bertahajud di malamnya pula akan tetapi dia berbudi pekerti jahat, selalu mengganggu tetangganya dengan kata nista. Baginda menjawab: Tidak ada gunanya wanita itu. Dia tergolong ahli neraka.

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagi ZatNya, maka tiadalah sesuai bagi agamamu itu, melainkan dengan sifat murah hati dan berbudi pekerti luhur. Ingatlah supaya kamu menghiasi agamamu dengan kedua sifat tersebut”

Ketika Rasulullah s.a.w. ditanya, siapakah di antara kaum Mu’minin yang paling utama keimanannya? Baginda menjawab: Yang paling baik budi perkertinya.

“Sesungguhnya kamu sekalian tidak akan sanggup mempengaruhi manusia dengan hartamu, maka dari itu pengaruhilah mereka dengan wajah yang manis dan budi pekerti yang baik.”

Bersabda Rasulullah s.a.w. kepada Abu Zar: Tidak akan sempurna akal, melainkan dengan pentadbiran (perencanaan) dan tidak sempurna keturunan, melainkan dengan budi pekerti yang mulia.

Al-Hasan berkata pula: Orang yang buruk akhlaknya samalah seperti orang yang menganiaya dirinya.

Wahab berkata: Perumpamaan budi pekerti yang buruk seperti tembikar yang telah pecah, tidak boleh diperbaiki dan tidak boleh kembali menjadi tanah liat.

Al-Fudhail berkata: Berkawan dengan orang yang derhaka tetapi baik budi pekertinya, lebih utama dari berkawan dengan orang yang ‘abid (banyak ibadatnya) tetapi buruk budi pekertinya.

Bab-bab kecil dalam kitab Melatih Diri Mendidik Budi Pekerti adalah seperti berikut:

Kiriman seterusnya secara beransur satu persatu akan disusuli.

Maka kita telah tamat memaparkan turutan kiriman (posting) dari Jilid 1 Kitab Bimbingan Mukminin (Mau’izhatul Mukminin) yang mengandungi tajuk kitab-kitab berikut (klik pada tajuk-tajuk tersebut untuk membaca seterusnya – dan padanya nanti akan ada link untuk tajuk-tajuk kecil yang berikutnya):

Bermula lusa, kita akan memasuki Jilid 2 pula dan akan dipaparkan tajuk-tajuk kecilnya dengan cara beransur-ansur. Tajuk-tajuk utama dalam jilid ini adalah:

  • Kitab Melatih Diri Mendidik Budi Pekerti
  • Kitab Bencana Lisan
  • Kitab Mencela Marah, Dendam dan Dengki
  • Kitab Mencela Dunia
  • Kitab Mencela Kekikiran Dan Harta Kekayaan
  • Kitab Mencela Pangkat Dan Riya’
  • Kitab Mencela Takabbur Dan Bangga Diri
  • Kitab Mencela Ghurur (Terpedaya)
  • Kitab Taubat
  • Kitab Sabar Dan Syukur
  • Kitab Takut Dan Harap
  • Kitab Kemiskinan Dan Kezuhudan
  • Kitab Niat, Ikhlas Dan Benar
  • Kitab Menghisab Dan Meneliti Diri
  • Kitab Tafakkur (Berfikir)
  • Kitab Mengingati Mati

***********************************

******       Selamat membaca dan beramal         ******

******       Terima kasih kerana terus memberi sokongan         ******

******       Semoga segala usaha ini ada manfaatnya         ******

***********************************

Demikianlah sebahagian dari mukjizat-mukjizat Nabi s.a.w. yang dapat disebutkan di sini hingga kepada selainnya dari hal-hal yang luar biasa dan dari mukjizat-mukjizatnya yang amat banyak itu.

Barangsiapa yang masih menyangsikan terjadinya perkara-perkara yang luar biasa ini atas diri Rasulullah s.a.w. serta menganggap bahawa berita tentang peristiwa-peristiwa dan kejadian-kejadian yang luar biasa itu tidak dibawa menurut tawatur (bersambung-sambung sehingga sukar dibohongi lagi) seperti tawaturnya Al-Quran, maka yang demikian itu samalah seperti seorang yang masih menyangsikan ketangkasan Saiyidina Ali bin Abu Talib r.a. atau seperti seorang yang masih meragui tentang kemurahatian Hatim at-Tha’i.

Memang benar, bahawa tiap-tiap satu dari kejadian-kejadian tadi tidak tawatur pemberitaanya, akan tetapi pada umumnya keseluruhan kejadian-kejadian itu memberitahu kepada kita semacam pengetahuan yang dharuri. Dan tawatur al-Quran al-Karim itu sudah tidak dapat dipertelingkahkan lagi, dan ia juga merupakan satu-satunya mukjizat yang paling utama dan terbesar sekali, yang masih ada di antara manusia hari ini. Tidak ada seorang Nabi yang mempunyai mukjizat yang masih tinggal, selain dari mukjizat Rasulullah s.a.w. telah mencabar sekalian pakar ilmu bahasa dalam kalangan manusia dan sasterawan-sasterawan Arab seluruhnya.

Kebetulan di masa itu, Jazirah Arab penuh dengan pakar-pakar ilmu bahasa dan sasterawan-sasterawan ulung, sehingga mencapai bilangan ribuan. Orang-orang ini memanglah kerjanya memajukan kesusasteraan dan kefasihan bahasa Arab, maka dengan mukjizat al-Quran itulah Rasulullah s.a.w. telah mencabar mereka dan mengatasi ilmu pengetahuan mereka.

Seringkali pula Rasulullah s.a.w. berdiri di hadapan mereka seraya menyeru mereka mencipta seperti al-Quran, kiranya mereka masih meragui al-Quran. Kemudian meminta mereka mencipta sepuluh Surah saja seperti al-Quraan. Kemudian dengan satu Surah saja … tetapi semua cabaran dan rayuan Rasulullah s.a.w. itu, mereka tetap tidak berkuasa menandinginya.

Baginda s.a.w. lalu membacakan kepada mereka ayat al-Quran yang berbunyi:

“Katakanlah sekiranya berkumpul manusia dan jin untuk mendatangkan (mencipta) seperti al-Quran ini, mereka tidak akan mampu mendatangkan sepertinya, meskipun sebahagian mereka menjadi penolong kepada sebahagian yang lain.” (al-Isra’: 88)

Baginda s.a.w. telah berkata demikian untuk membuktikan kelemahan mereka itu. Sememangnyalah mereka itu menjadi lemah sekali, bila mereka berhadapan dengan al-Quran al-Karim, sehingga mereka mendedahkan diri mereka kepada penawanan oleh kaum Muslimin dalam peperangan-peperangan yang mereka masih tidak berkuasa untuk menetang al-Quran. Juga tidak mampu untuk mencacatkan keindahan dan kemurniaan al-Quran.

Sesudah itu tersebarlah cerita I’jaz al-Quran ini ke seluruh antero dunia, baik di timur mahupun di barat, dari satu abad ke abad yang lain, dan dari suatu masa ke masa yang lain, hinggalah sampai ke zaman kita ini, tidak ada seorang pun yang sanggup menentangnya.

Adalah suatu kebodohan yang besar, orang yang melihat pada hal-ehwal Rasulullah s.a.w. kemudian kepada tutur katanya, perilakunya, perbuatannya, akhlaknya, budi pekertinya dan seterusnya kepada mukjizat-mukjizatnya, kemudian kepada penyebarannya ke seluruh antero alam, kemudian melihat pula bagaimana sekalian raja-raja dalam zamannya dapat ditundukkan, kemudian raja-raja sesudah zamannya juga dapat ditundukkan sama, padahal Baginda tiada lain, melainkan seorang anak yatim yang lemah saja.

Kemudian sesudah orang itu melihat segala-gala yang tersebut di atas tadi, lalu ia cuba mahu mempertelingkahkan tentang kebenarannya? Alangkah besarnya taufiq dan petunjuk orang yang sudah beriman dengan Nabi s.a.w. kemudian ia membenarkannya pula seraya mengikut jejak langkahnya terhadap semua perintah yang diwahyukan.

Marilah kita memohon Allah Ta’ala agar kita diberikanNya taufiq dan pentunjuk untuk mengikuti jejak langkah Nabi s.a.w. dalam akhlak dan budi pekertinya dalam perilaku dan perbuatannya, dalam segala hal dan keadaannya, dalam kata-kata dan tutur bicaranya dengan kurniaannya dan keluasan kasih sayangnya. Amin.

… bersambung dari Mukjizat-mukjizat Rasulullah s.a.w. (1) dengan menyebutkan lagi berbagai-bagai mukjizatnya yang banyak seringkas-ringkas yang boleh, iaitu:

8.  Dalam suatu peristiwa pula, Suraqah bin Malik telah mengejar baginda (ketika berhijrah ke Madinah), lalu tiba-tiba kaki kudanya terbenam ke dalam tanah, sehingga Suraqah meminta tolong kepada Rasulullah supaya melepaskannya. Baginda pun berdoa dan kaki kuda itu pun terlepas.

9.  Rasulullah s.a.w pernah menelah bahawa akan diletakkan ke atas dua belah bahunya gelang Kisra/Kaiser (Maharaja Parsi) dan ini juga telah berlaku.

10. Baginda s.a.w. telah memberitahu tentang pembunuhan al-Aswad Al-Ansi, pendakwa Nabi yang bohong. Ia akan di bunuh pada malam hari, ketika berada di Sana’a (Yaman). Diberitahukan sekali pembunuhnya.

11. Baginda s.a.w. telah memberitahu bahawa ia sendiri akan membunuh Ubai bin Khalaf al-Jumahi. Maka pada peperangan Uhud, Baginda berjaya memancung leher Ubai dengan sekali pancungan yang lembut saja, di mana Ubai telah menemui ajalnya.

12. Baginda s.a.w. pernah dihidangkan makanan yang beracun. Orang yang makan bersama-sama Baginda telah mati kerana racun itu, tetapi Baginda terselamat dan masih terus hidup empat tahun lagi sesudah peristiwa itu. Baginda terselamat disebabkan daging itu memberitahunya yang ia beracun.

13. Baginda s.a.w. memberitahu perihal tempat pertempuran dengan pasukan-pasukna Quraisy, maka Rasullah s.a.w telah menghentikan mereka itu seorang demi seorang, tidak seorang pun dapat maju lagi ke hadapan dari tempat itu.

14. Baginda s.a.w. memberitahu juga, bahawa segolongan dari ummatnya akan mengharungi lautan, yang kemudian berlaku tepat seperti telahannya.

15. Allah Ta’ala telah menggulung bumi bagi Baginda sehingga terlihat olehnya sudut timur sampai sudut barat. Lalu diberitahukan kepada Baginda, bahawasanya kekuasaan ummatnya akan meliputi segala tempat dalam bumi yang terlihat olehnya tadi. Maka hal ini sebenarnya telah pun berlaku. Sebab kaum Muslimin pernah berkuasa dari sudut timur bermula dari negeri Turki, hingga ke sudut barat dari laut Andalus (Spain) dan negeri Barbar (Algeria dan sekitarnya).

16. Baginda s.a.w. memberitahu puterinya Siti Fatimah radhiallahuanha, yang ia adalah orang pertama sekali akan menyusul Baginda setelah Baginda wafat. Ini betul-betul telah berlaku.

17. Baginda s.a.w. memberitahu isteri-isterinya juga, bahawa yang paling ringan tangannya akan lebih dahulu menyusulnya, setelah Baginda wafat. Maka isterinya yang bernama Zainab r.a. yang terkenal seorang dermawan adalah paling awal sekali mengikutinya di antara isteri-isteri Baginda.

18. Baginda s.a.w. pernah suatu ketika mengusap-usap tetek seekor kambing yang telah kering susunya, maka dengan serta-merta tetek itu mengeluarkan susu. Ini juga telah menyebabkan Abdullah bin Mas’ud r.a. masuk Islam.

Sebelum itu telah berlaku perkara yang sama juga di Khemah Ummi Ma’bad al-Khuza’iah.

19. Sekali peristiwa pernah mata seorang sahabat terkeluar dari kelopaknya, lalu Rasulullah s.a.w. mengembalikan semula mata itu di tempat asalnya dengan penglihatan orang itu menjadi lebih sihat dan lebih baik dari sebelumnya.

Perkara yang sama telah berlaku diri Saiyidina Ali bin Abu Talib r.a. ketika matanya sakit di waktu peperangan Khaibar, lalu baginda pun meludah ke mata yang sakit itu, maka baiklah mata itu serta merta. Baginda pun menyerahkan kepadanya panji-panji Islam untuk membuka Kota Khaibar itu.

Demikianlah sebahagian dari mukjizat-mukjizat Nabi s.a.w. yang dapat disebutkan di sini hingga kepada selainnya dari hal-hal yang luar biasa dan dari mukjizat-mukjizatnya yang amat banyak itu.

Berikut kita cuba menyebutkan sedikit dari berbagai-bagai mukjizatnya yang banyak, yang mana beritanya sudah tersebar dengan luas. Kita sebutkan di sini seringkas-ringkas yang boleh, iaitu:

1.  Telah tersiar berita Rasulullah s.a.w. telah menjamu makan kepada segolongan orang yang ramai dari makanan yang sedikit. Iaitu seperti yang berlaku di rumah Jabir, di rumah Abu Talhah, pada hari mengorek Khandaq (Kubu). Pernah berlaku juga suatu masa, Baginda menjamu makan seramai 80 orang dari beberapa keping roti syair yang dibawa oleh Anas kepada Baginda. Mereka sekalian telah memakannya sehingga kenyang sekenyang-kenyangnya, dan sesudah itu ada pula bakinya lagi.

2.  Memancarkan air dari antara jari-jemari Baginda, sehingga dapat menghilangkan dahaga seluruh askar-askarnya, padahal mereka sedang dalam keadaan dahaga yang amat sangat. Juga pernah pula mereka itu dapat berwudhu’ dari semangkuk air yang amat kecil, sehingga apabila Baginda hendak memasukkan tangannya ke dalam mangkuk itu pun sukar dikeranakan sempitnya.

3.  Rasulullah s.a.w. pernah mencurahkan air yang disediakan untuk Baginda berwudhu’ ke dalam perigi Tabuk, sedangkan perigi itu kekeringan air pada ketika itu, tetapi kemudian memancar semula mata air itu mengeluarkan airnya, sehingga dapat diminum oleh askar-askar yang bilangannya berjumlah ribuan orang dengan puas dan berlebihan lagi. Demikian pula peristiwa yang sama berlaku lagi di salah sebuah perigi Hudaibiah, di mana seramai 1,500 orang telah meminum dari perigi itu, padahal perigi itu perigi buta, tidak pernah berair sama sekali sebelumnya.

4.  Pernah Rasululullah s.a.w. melempar tentera musuh dengan segenggam tanah, sehingga penglihatan mereka seolah-olah buta, tidak boleh melihat lagi. Peristiwa ini telah dikuatkan beritanya oleh al-Quran al-Karim sendiri dalam ayatnya yang berbunyi: “Bukannya engkau yang melempar ketika engkau melempar itu, akan tetapi Allah yang melempar.”  (al-Anfal: 17)

5.  Ada sebatang pokok yang dahulunya Rasulullah s.a.w. pernah berkhutbah di atasnya. Tetapi apabila telah dibuatkan bagi Maginda mimbar untuk digunakan berkhutbah menggantikan batang pohon itu, maka kedengaranlah batang pohon itu seolah-olah menangis seperti suara unta yang mengeluh sehingga suara itu terdengar oleh para sahabat sekalian. Oleh Baginda maka batang pohon itu lalu dipeluknya tanda kesayangan, barulah suara itu diam.

6.  Pernah kaum Yahudi mencabar baginda supaya mencita-citakan maut. Lalu Baginda pun bertaruh mengatakan, bahawa mereka sekalian tidak berani mencita-citakan maut. Maka kaum Yahudi itu dapat merasakan kebenaran kata-kata Rasulullah, lalu mereka pun menarik balik cabarannya itu.

7.  Pernah Rasulullah s.a.w. memberitahukan tentang berita-berita ghaib, kemudian berita-berita itu berlaku tepat seperti yang ditelahinya, iaitu: Saiyidina Usman bin Affan, pernah diberitahu oleh Baginda bahawa malapetaka akan menimpanya suatu masa nanti dan sesudah itu ia masuk syurga. (Malapetaka yang dimaksudkan itu ialah berlakunya suatu pemberontakan rakyat terhadap pemerintah Khalifah Usman, di mana beliau akhirnya terbunuh syahid, ketika sedang membaca al-Quran). Ammar bin Yasir akan dibunuh oleh segerombolan manusia penganiaya. Al-Hasan bin Ali ditakdirkan Tuhan akan mendamaikan antara dua puak Muslimin yang besar. (Semua telahan-telahan itu telah berlaku tepat seperti yang diberitahukan oleh Rasulullah s.a.w. yang telah menjadikan setengah kaum Muslimin insaf dan setengah yang lain tetap atas penganiayaannya)

Dalam suatu peristiwa pula Rasulullah s.a.w. telah memberitahu tentang diri seorang yang berjihad dalam sabilillah, bahawasanya orang itu dari ahli neraka, maka orang itu talah diintip-intip oleh seorang sahabat dan mendapatinya telah membunuh diri sendiri disebabkan tidak tertahan lagi oleh pedihnya luka-luka di badan.

Semua telahan-telahan ini adalah perkara-perkara yang bersumber dari Tuhan, tidak mungkin diketahui oleh sesiapa dengan apa cara sekalipun. Tidak pernah pula diketahui bahawa Rasulullah s.a.w. telah mengambil sumber pengetahuannya tentang perkara semacam rumusan atau dengan ramalan, atau secara kasyaf, bukan pula dengan rumusan atau dengan ramalan tetapi kesemuanya adalah datangnya dari Allah yang telah memberitahukannya menerusi wahyuNya.

Next Page »