Ketahuilah, bahawasanya sesiapa yang memperhatikan sifat-sifat Rasulullah s.a.w. dan mendengar berita-beritanya yang berkenaan dengan akhlak dan budi pekertinya, perbuatan dan perilakunya hal-ehwal dan keadaannya, adat-istiadat dan watak tabiatnya, kelebihan dan keutamaannya, siasah dan politiknya terhadap sekalian makhluk, hidayat dan petunjuknya untuk menyusun dan mengatur cara kehidupan mereka, kebiasaan dan kemesraannya dalam pergaulan dengan segala lapisan masyarakat dan kepimpinannya terhadap mereka agar mentaati segala perintahnya, tambahan pula jika diperhatikan dan diteliti pula segala cerita-cerita mengenai keluar biasaan jawabannya terhadap persoalan-persoalan yang rumit, kegemilangan pentadbirannya dalam kepentingan rakyat umum, keindahan pengaturannya dalam mengupas hukum-hukum syariat Islam yang zahir, yang kiranya dikemukakan kepada para cendekiawan, tentu sekali akal fikiran mereka akan menjadi buntu untuk mencari pangkal permulannya, meskipun mereka berusaha sepanjang umur mereka.

Oleh kerana itu, maka tiadalah dapat diragukan atau disyaki lagi, bahawa semua itu adalah suatu pancaran yang bersumber dari kekuasaan langit, dan kekuatan yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala. Segala-gala itu tidak mungkin digambarkan oleh seorang pendusta atau penipu.

Bahkan semua budi pekerti dan perilakunya, semua hal-ehwal dan keadaannya menjadi saksi dan bukti atas kebenarannya. Sehingga seorang Arab yang tidak mengerti apa-apa apabila melihat saja kelakuan Rasulullah s.a.w. itu, ia terus berkata: Muka ini bukan muka pendusta.

Jika orang yang hanya melihat perilaku dan akhlaknya saja, sudah berani menyaksikan kebenarannya, bagaimana pula dengan orang yang sehari-harian bersama-samanya menyaksikan segala keluhuran budi pekertinya dan merasakan kejempolan hal-ehwalnya dalam segala sumber dan puncanya.

Advertisements