Ketahuilah bahawa para Salaf menganggap budi pekerti yang baik itu laksana sebutir buah atau tujuan sesuatu perkara. Lihat apa yang dikatakan oleh al-Hasan rahimahullah iaitu: Budi perkerti yang baik itu adalah menunjukkan wajah yang manis, suka membelanjakan harta kekayaan dan mencegah hal-hal yang boleh menyakiti hati orang lain.

Pada lain peristiwa al-Hasan berkata lagi: Budi pekerti yang baik itu ialah mendapatkan keredhaan manusia pada masa kesenangan dan masa kesusahan.

Ada pengertian-pengertian yang lain lagi dalam hal ini, tetapi pokoknya sama: iaitu terasnya akhlak yang terpuji.

Adapun hakikat budi pekerti itu, ialah perilaku (hal dan keadaan) yang meresap dalam jiwa seseorang. Perilaku inilah yang menerbitkan perbuatan-perbuatan dengan perasaan senang dan mudah, tanpa perlu lagi kepada pemikiran dan pertimbangan.

Jika yang terbit dari perilaku itu, ialah perbuatan-perbuatan yang elok dan terpuji, menurut ukuran akal mahupun syara’, maka perilaku itu dinamakan budi pekerti yang baik. Sebaliknya jika yang terbit pula perbuatan-perbuatan yang jahat, maka perilaku yang menjadi sebab terbitnya segala perbuatan jahat itu, dinamakan budi pekerti yang jahat.

Sebab kita katakan, bahawa perilaku itu meresap dalam jiwa, ialah kerana kalau terbit dari seseorang itu perbuatan mengorbankan harta bendanya secara tidak selalu, melainkan kerana timbulnya sesuatu keperluan yang mendadak saja, maka tidaklah boleh dinamakan orang itu bersifat murah hati, selagi sifat suka mengorbankan harta benda itu tidak tetap meresap dalam jiwanya.

Begitu pula, bila kita mensyaratkan, bahawa perbuatan-perbuatan itu mestilah terbit dari orang itu dengan jiwa yang tenang, tanpa pemikiran atau pertimbangan, kerana orang yang mencuba mengorbankan harta bendanya, ataupun orang yang mencuba mendiamkan diri ketika sedang marah dengan paksaan atau pertimbangan, tidak boleh dikatakan orang itu bersikap murah hati atau pun bersikap penyantun.

Advertisements