Adapun pokok akhlak yang mulia dan asasnya adalah empat:

  1. Hikmat atau kebijaksanaan
  2. Syaja’ah atau keberanian
  3. ‘Iffah atau kebersihan jiwa
  4. ‘Adl atau keadilan

Yang dimaksudkan dengan kebijaksanaan ialah suatu keadaan dalam diri yang mana menerusinya ia dapat membezakan yang benar dari yang salah dalam semua hal-ehwal ikhtiariah (perbuatan pilihan diri sendiri).

Yang dimaksudkan dengan keberanian, ialah bahawa keadaan marah yang sedang meluap-luap itu dapat dituntun oleh akal untuk terus memajukan keberanian itu ataupun menahannya dari berlaku.

Yang dimaksudkan dengan kebersihan jiwa, ialah menahan kemahuan syahwat dengan mendidiknya supaya tunduk kepada petunjuk akal dan syara’.

Yang dimaksudkan dengan keadilan, ialah suatu kekuatan dalam jiwa yang dapat mengatasi sifat marah dan kemahuan syahwat, lalu membimbing keduanya ke arah kebijaksanaan, serta menetukan bila masanya boleh diikutkan, dan bila pula harus dikekang dari berlaku menurut hal dan keadaan yang dihadapinya.

Dengan menegakkan keempat-empat sifat yang tersebut di atas tadi, barulah dapat dilengkapi diri dengan semua akhlak dan budi pekerti yang indah.

Advertisements