Ketahuilah bahawasanya setengah orang yang telah dipengaruhi oleh kerosakan peribadi merasa sangat berat sekali untuk berjuang, melatih diri atau berusaha untuk membersihkan diri dan mendidik budi pekerti. Selalunya orang seperti itu tidak meyakini, bahawa akhlak yang jahat itu dapat diubahnya, disebabkan kelalaian atau sempit pandangan atau buruk percampuran. Ia menganggap, bahawa akhlak seseorang itu mustahil dapat diubah, kerana tabiat manusia itu mungkin berubah-ubah.

Kalau begitu sikap orang itu, maka kita berkata: Kiranya akhlak dan kelakuan itu tidak mungkin berubah, maka sudah tentulah tidak ada gunanya peringatan yang kita dituntut untuk menyampaikannya, atau nasihat-menasihati antara satu dengan yang lain,

“Mereka itu amat keras terhadap orang-orang kafir, tetapi belas kasihan antara sesama sendiri.” (al-Fath:29)

Allah s.w.t, telah mensifatkan kaum Mu’minin dari para sahabat Rasulullah s.a.w. itu sebagai berwatak keras, sedang sifat kekerasan itu terbit daripada sifat marah. Andaikata sifat marah itu telah lenyap dari sikap mereka itu, bagaimana pula dapat dilaksanakan perjuangan dan jihad fi-sabilillah. Bagaimana boleh dicabut sifat-sifat marah dan syahwat sekaligus dari akar-umbinya, padahal para Nabi alaihimussalam sendiri tidak terlepas dari kedua-dua sifat tersebut:

Pernah Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sebenarnya aku ini ialah seorang manusia, Aku marah seperti mana orang lain marah.”

Selalu juga bila seseorang berbicara dengan sesuatu yang dibenci oleh baginda, nescaya baginda akan  marah sehingga kedua pipinya menjadi merah padam. Tetapi baginda tidak berkata melainkan yang benar saja. Dan marah baginda juga tidak pernah keluar dari yang hak dan benar semata-mata.

Allah telah berfirman:

Dan orang-orang yang sanggup menahan marah dan orang-orang yang suka memaafkan manusia.” (ali-Imran: 134)

Firman tadi tiada pula mengatakan: Dan orang-orang yang telah menghilangkan marahnya.

Jadi nyatalah yang dimaksudkan itu, ialah mengembalikan sifat marah dan syahwat itu ke batas kesederhanaan, sehingga salah satu dari kedua-dua sifat itu tidak memaksa dan mengalahkan akal, tetapi sebaliknya akallah yang menjadi pengendali terhadap keduanya dan menguasai keduanya. Itulah yang diertikan dengan perubahan akhlak dan kelakuan.

Boleh jadi juga, sekali-sekala syahwat itu dapat menguasai jiwa manusia, sehingga akal terlepas dari kendalinya dan tidak sanggup untuk menahannya dari berfoya-foya dan tercebur ke dalam berbagai-bagai kekejian, tetapi apabila segera dijalankan latihan, ia akan kembali semula kepada batas kesederhanaannya. Ini membuktikan bahawa perubahan dan pengalaman juga telah menunjukkan kemungkinan berlakunya perubahan itu tanpa syak dan ragu lagi.

Advertisements