Dan yang menunjukkan bahawa yang dituntut itu ialah kesederhanaan dalam akhlak dan kelakuan dan bukan kedua hujungnya, ialah bahawa sifat murah hati itu adalah suatu kelakuan yang terpuji menurut ukuran syara’, sebab ia adalah sifat pertengahan antara kedua hujung; iaitu antara sifat terlalu boros dan sifat terlalu kikir. Allah Ta’ala telah memuji orang yang bersifat murah hati dalam firmanNya yang berbunyi:

“Dan mereka yang apabila membelanjakan hartanya, mereka tidak terlalu boros dan tidak pula terlalu kikir, dan mereka dalam hal itu bersifat pertengahan.” (al-Furqan: 67)

FirmanNya lagi:

“Dan janganlah engkau menjadikan tanganmu itu terbelenggu pada tengkukmu (terlalu kikir) dan jangan pula melepaskannya seluas-luasnya (terlalu boros).” (al-Isra’: 29)

Begitu pula yang dituntut dalam syahwat makanan, hendaklah sederhana tidak terlalu gelojoh dan serakah ataupun membeku saja.

Firman Allah Ta’ala:

Dan makanlah dan minumlah, tetapi jangan melampaui batas, sesungguhnya Allah tiada suka kepada orang-orang yang melampaui batas.” (al-A’araf: 31)

Firman Allah pula dalam membicarakan sifat marah:

Mereka itu amat keras terhadap orang-orang kafir, tetapi belas kasihan antara sesama sendiri.” (al-Fath:29)

Sabda Rasulullah s.a.w. pula:

“Sebaik-baik perkara ialah pertengahannya.” 

Advertisements