Kini anda telah mengetahui, bahawa keluhuran budi pekerti itu berpunca dari kesederhanaan dalam kekuatan akal fikiran dan kesempurnaan kebijaksanaan dan seterusnya kepada pertengahan dalam kekuatan marah dan keinginan syahwat sedang keadaan kedua-duanya itu patuh dan tunduk kepada pertimbangan akal fikiran dan batasan syara’.

Kesederhanaan ini boleh terjadi kerana dua perkara.

Pertama: Terjadi dikeranakan kemurahan Tuhan dan kesempurnaan fitrah (semula jadi); iaitu bila Tuhan mencipta manusia itu, diciptaNya dalam keadaan sempurna akal fikiran, elok budi pekerti, dilengkapi baginya kemahuan syahwat dan marah, bahkan kedua-dua sifat telah dijadikan baginya sebagai sederhana dan tunduk di bawah pertimbangan akal fikiran syara’.

Kedua: Memperolehi budi pekerti itu dengan perjuangan dan latihan-latihan diri, yakni memaksa diri dengan perbuatan-perbuatan yang dikehendaki oleh budi pekerti yang dituntut.

Misalnya: Orang yang ingin melengkapkan dirinya dengan budi pekerti pemurah hati, maka caranya ialah dengan memaksa diri mentauladani perbuatan-perbuatan seorang pemurah hati, seperti membelanjakan harta bendanya.

Perbuatan serupa itu, hendaklah diteruskan dan dibiasakan atas diri secara paksaan, dan melawan dengan sungguh-sungguh nafsu syahwat yang menentangnya, sehingga perbuatan-perbuatan itu lama-kelamaan menjadi tabiatnya. Ketika itu apa yang dituju akan menjadi mudah, dan tidak sukar lagi baginya untuk menjadi seorang pemurah hati.

Advertisements