Maka anda telah maklum, bahawa budi pekerti yang baik itu, adakalanya berlaku menurut tabiat dan fitrah adakalanya dengan melatih diri dengan perbuatan-perbuatan baik, dan adakalanya pula dengan mencontohi perbuatan-perbuatan baik orang ramai dan bergaul dengan mereka, kerana mereka itu adalah kawan-kawan yang menuntun ke jalan kebaikan.

Sering pula sesuatu tabiat itu mempengaruhi tabiat yang lain, dalam kejahatan atau kebaikan sama belaka.

Barangsiapa yang telah muncul dalam dirinya ketiga-tiga sifat tadi, sehingga ia menjadi seorang yang terkenal baik dalam tabiatnya atau dalam kebiasaannya atau dalam mencontohi kebaikan orang lain, maka berbahagialah ia kerana ia telah berada di kemuncak keutamaan.

Sebaliknya jika ia menjadi jahat dalam tabiatnya dan sering pula bercampur gaul dengan rakan-rakan yang buruk perilakunya dan suka pula meniru perbuatan-perbuatan rakan-rakan yang jahat, sehingga terbukalah di hadapannya pintu-pintu kejahatan dan akhirnya membiasakan diri berbuat jahat, maka celakalah ia kerana ia telah berada di tempat yang jauh dari Allah azzawajalla.

Di antara dua darjat ini, ada pula orang-orang yang berbeza-beza tingkatannya dalam segi ketiga-tiga cara yang tersebut di atas tadi. Walau bagaimanapun tiap-tiap orang mempunyai darjatnya yang tersendiri, antara dekat dan jauh, sesuai dengan keadaan sifat dan hal yang ada pada diri orang itu.

“Barangsiapa membuat baik seberat zarrah, Allah akan melihatnya, dan barangsiapa membuat jahat seberat zarrah, Allah akan melihat juga.” (al-Zilzal: 7-8)

Allah tidak menganiayai, melainkan merekalah yang menganiayai diri mereka sendiri.” (an-Nahl: 33)

Advertisements