Dari huraian yang lalu, kita telah mengetahui, bahawa kesederhanaan (iaitu sifat menengah yang unggul) dalam mendidik budi pekerti itu merupakan kesihatan jiwa, sedangkan menyeleweng daripadanya menimbulkan penyakit di dalam jiwa.

Demikian pula dengan kesederhanaan dalam tabiat badan menimbulkan kesihatan bagi badan itu, manakala menyeleweng daripadanya menjadikan badan itu ditimpa penyakit pula.

Sebagai misalan, kita ambil saja badan sebagai contoh.

Kita berkata: Perumpamaan jiwa dalam mengusahakan pengubatannya dari sifat-sifat yang rendah dan kelakuan-kelakuan yang buruk dengan menggantikan tempatnya dengan sifat-sifat yang utama dan kelakuan-kelakuan yang molek, samalah seperti perumpamaan badan dalam mengusahakan pengubatannya dari penyakit-penyakit yang membahayakannya agar kesihatan dapat mengambil tempatnya.

Sebagaimana biasa bahawa tabiat badan itu memanglah condong kepada kesederhanaan, akan tetapi perut sering ditimpa berbagai-bagai bahaya disebabkan makanan yang tidak tentu, udara yang tidak sihat atau hal-hal yang lain.

Demikianlah keadaannya setiap bayi baru lahir. Kelahirannya dalam keadaan sederhana, sempurna fitrahnya: hanya sesudah itu kedua ibu bapanyalah yang menyebabkan ia menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi. Iaitu dengan jalan kebiasaan dan pengajaran sajalah sifat-sifat kerendahan itu akan terselamat di dalam dirinya.

Sebagaimana badan juga, pada mulanya tiadalah dijadikan dalam keadaan cukup kesempurnaannya. Tetapi ia menjadi sempurna dan kuat dengan pertumbuhan dan menjaga makanan.

Maka begitu pulalah yang berlaku pada jiwa. Ia mula dijadikan memanglah tidak sempurna, tetapi bersedia untuk disempurnakan. Dan kesempurnaannya akan berlaku dengan memelihara dan mendidik akhlak serta mengisi jiwa dengan berbagai-bagai ilmu pengetahuan.

Jika badan itu sihat, maka tugas doktor hanya menentukan cara-cara dan peraturan-peraturan yang akan memelihara badan itu supaya terus-menerus sihat. Tetapi jika badan itu berpenyakit, maka sudah tentulah tugas doktor ialah mencari punca penyakitnya, lalu mengusahakan cara mengubatinya, supaya badan itu kembali sihat semula.

Begitu pulalah halnya dengan jiwa. Jika jiwa anda bersih, suci dan terdidik, maka seharusnyalah anda berusaha untuk melindunginya dari kekotoran dan mengusahakan sumber kekuatan dan kebaikan baginya, agar ia bertambah bersih dan murni. Tetapi jika jiwa anda itu tidak sempurna dan tidak murni, maka sepatutnyalah anda berusaha lebih kuat lagi untuk menarik sumber kesempurnaan dan kemurniaan itu kepadanya.

Dan sebagaimana punca yang menyebabkan penyakit itu tidak boleh diubati melainkan dengan lawannya, yakni jika puncanya panas, ubatnya sejuk atau sebaliknya; maka demikian pulalah keadaannya dengan kerendahan budi pekerti yang merupakan penyakit hati. Ubatnya tiada lain melainkan dengan lawannya. Maka penyakit bodoh hanya terubat dengan belajar. Penyakit kikir hanya terubat dengan murah hati. Penyakit gelojoh hanya terubat dengan menahan diri dari segala kelazatan makanan secara paksaan.

Dan sebagaimana seorang pesakit itu mesti sanggup menahan kepahitan ubat dan sabar menahan kepahitan ubat dan sabar menahan diri dari segala macam keinginannya, kerana kepentingan mengubati badan yang sakit; begitu pulalah hendaknya seseorang itu, mestilah ia sanggup menanggung kepahitan perjuangan melawan nafsu dan bersabar dalam menghadapi pengubatan penyakit pula.

Malah perkara yang akhir ini lebih utama. Sebab penyakit badan itu selesai dengan kematian. Tetapi penyakit hati, mudah-mudahan kita dipelihara Allah daripadanya, adalah suatu penyakit yang abadi, terus diderita oleh badan selepas mati hingga ke masa yang tidak ada penghujungnya.

Kesimpulannya:

Jalan yang menyeluruh untuk mengubati penyakit hati itu, ialah dengan menempuh jalan yang berlawanan dengan kehendak kemahuan hawa nafsu dan kecenderungan jiwa. Allah Ta’la telah pun menyimpulkan kesemua perkara ini dalam kitabNya yang mulia dalam sepotong ayat berbunyi;

“Adapun orang yang takut akan kedudukan Tuhannya, seraya menahan nafsu dari keinginan, maka sesungguhnya syurgalah menjadi tempat tinggalnya.” (an-Nazi’at: 40-41)

Pokok yang terpenting dalam perjuangan menahan nafsu itu ialah menepati janji diri dengan penuh keazaman. Jika ia telah berazam untuk meninggalkan sesutau keinginan nafsunya, maka sebenarnya sebab-sebabnya telah pun menjadi mudah baginya. Sedangkan perkara itu adalah sebagai suatu cubaan dan ujian dari Allah Ta’ala, Maka sebaik-baiknya hendaklah ia bersabar dan meneruskan keazaman yang baik itu. Sebab jika sekiranya ia membiasakan dirinya berpaling dari sesuatu keazaman yang baik nescaya kebiasaan itu akan menjadi tabiat bagi dirinya, padahal kebiasaan serupa itu adalah tidak baik dan membinasakan.

Moga-moga Allah selamatkan kita sekalian dari angkara nafsu. Amin.

Advertisements