Cara kedua untuk mengenal keaiban diri ialah hendaklah ia mencari seorang teman karib yang boleh dipercayai, bijaksana dan lurus agamanya.

Teman ini akan memerhatikan segala tingkah lakunya. Apa yang dibenci dari kelakuan, perbuatan atau keaiban-keaibannya diingatkannya. Cara beginilah yang biasa dilakukan oleh orang-orang bijak pandai dari pemuka-pemuka agama.

Umar Ibnul-Khattab r.a. pernah berkata: Semoga Allah merahmati orang yang menunjuki aku akan keaibanku. Beliau pernah bertanya kepada Huzaifah, katanya: Engkau adalah tempat Rasulullah s.a.w. menyimpan rahsianya mengenai orang-orang munafikin. Adakah kiranya padaku ini tanda-tanda nifaq?

Meskipun kita semua telah mengetahui, bahawa Saiyidina Umar itu mempunyai tingkatan yang tinggi dan kedudukan yang mulia, namun beliau masih juga mencurigai dirinya sendiri.

Oleh itu sepatutnya setiap orang yang telah sempurna akalnya, dan yang mulia kedudukannya, hendaklah bersikap mengurangkan kemegahannya, tetapi memperbanyakkan prasangkanya terhadap diri sendiri. Malah harus merasa gembira jika ada orang yang suka menegur tentang keburukan-keburukan perilakunya. Tetapi alangkah amat jarang sekali orang yang bersikap semacam ini!

Ini semua terbit dari kelemahan iman manusia kepada Tuhan. Padahal budi pekerti jahat boleh diumpamakan seperti ular dan kala jengking yang suka menyengat orang.

Andaikata ada orang yang memberitahu kita, bahawa di dalam baju kita ada kala jengking, tentulah kita akan merasa terhutang budi kepada orang itu. Kita akan merasa gembira dan berterima kasih kepadanya, lalu kita segera pula menghapuskan kala jengking itu dan membunuhnya. Padahal sengatan kala jengking terhadap badan kita itu tidak kekal sakitnya, hanya sehari dua saja. Adapun penguasaan budi pekerti yang rendah ke atas pangkal hati dikhuatiri akan berterusan, kekal abadi sehingga sesudah mati.

Kemudian kita sering tidak senang jika ada orang yang mengingatkan tentang budi pekerti kita yang rendah itu, dan kita sendiri tidak pernah pula mencuba untuk menghilangkannya dari jiwa kita. Malah kita menentang pula orang yang memberi nasihat itu dengan berkata: Engkau juga tidak kurang cacatnya dariku. Dengan itu kita bukan mengambil manfaat dari nasihat orang itu, malah telah menghidupkan suatu permusuhan dengannya.

Kelakuan serupa ini adalah timbul dari kekerasan hati yang telah disebabkan oleh terlalu banyak dosa. Dan pokok serta punca segala-gala itu ialah keimanan yang lemah.

Kita bermohon kepada Allah agar Dia mengurniakan kita petunjuk, menampakkan kepada kita keaiban-keaiban diri kita, dan mendorong kita supaya mengubatinya serta memberi kita taufiq dan hidayatNya, supaya kita dapat berterima kasih kepada sesiapa yang memberitahu kita tentang kesalahan-kesalahan kita dengan anugerah dan keutamaan Allah.

Advertisements