Cara ketiga untuk mengenal keaiban diri ialah hendaklah ia mengambil faedah (berlapang dada) bila mengetahui keaiban-keaiban diri dari cacian lidah-lidah musuh. Ini adalah kerana pandangan orang yang benci itu akan menampakkan berbagai-bagai kekurangan diri kita.

Barangkali faedah yang didapati dari seorang musuh yang hatinya penuh kebencian, dan mulutnya tidak lepas dari cacian, lebih banyak faedahnya dari seorang kawan yang suka bermuka-muka, menyanjung dan memuji-muji, padahal keaiban diri kita tidak pula ditunjukkan kepada kita.

Hanyasanya tabiat itu memanglah lebih tertarik kepada mendustakan apa yang dikatakan oleh musuh walaupun benar, serta menganggap segala-gala itu timbulnya dari sebab hasad dan dengki. Akan tetapi bagi orang yang bijaksana, dianggapnya segala kata-kata musuhnya itu amat berguna, sebab keaiban-keaiban diri itu tidak boleh tidak mestilah dihambur-hamburkan oleh mereka.

Advertisements