Cara keempat untuk mengenal keaiban diri ialah hendaklah ia suka bergaul dengan orang ramai. Kemudian setiap yang dilihatnya tercela di kalangan mereka itu, maka hendaklah ia bertanya pada diri sendiri, adakah perkara serupa itu dilakukannya. Sebab orang Mu’min itu adalah cermin kepada Mu’min yang lain. Sepatutnya ia boleh melihat dan meneliti keaiban-keaiban dirinya daripada keaiban-keaiban orang lain.

Sesungguhnya tabiat manusia itu lebih kurang sama dalam menuruti hawa nafsu. Setiap suatu sifat yang ada pada orang lain, tidak mustahil ada juga pada diri sendiri, malah kadangkala lebih dahsyat dari itu, ataupun sekurang-kurangnya ada juga sedikit daripadanya barangkali. Sebaik-baiknya ia meneliti diri sendiri, dan adalah lebih baik ia membersihkan kecelaan dirinya daripada mencela orang lain. Ingatlah tiada cara lebih utama dari mendidik diri secara ini.

Andaikata semua orang mahu menjauhi segala kecelaan yang dilihatnya ada pada orang lain, nescaya mereka tidak perlu lagi kepada didikan pendidik. Kesemua ini adalah sebagai jalan keluar bagi orang yang tiada mendapatkan guru yang pintar yang boleh mendidik dan menasihatinya dalam urusan agama. Kecuali jika ia boleh mendapat seorang guru, maka samalah seperti mendapat seorang doktor. Hendaklah ia membiasakan diri dengan doktor itu, sebab doktor akan menyelamatkan dirinya dari penyakit.

Advertisements